Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) adalah satu bentuk pelaburan yang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya Bumiputera. ASB dikategorikan sebagai pelaburan selamat dengan dividen tahunan antara 7 hingga 9 peratus manakala ASN berisiko sederhana. Namun, isu yang sering dibincangkan ialah mengenai hukum pelaburan ASB dan ASN.

Isu ini timbul apabila masyarakat keliru dengan perbezaan fatwa hukum yang dikeluarkan oleh institusi terlibat. Hukum ASB harus menurut Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Kesemua majlis fatwa negeri juga sependapat, kecuali Majlis Fatwa Selangor dan Pulau Pinang. Hanya baru-baru ini sahaja mereka telah menimbang semula dan telah mengubah fatwa pelaburan ASB kepada harus, masing-masing pada 27 April 2017 dan 15 Ogos 2017.

Maka dengan itu kesemua fatwa majlis negeri dan kebangsaan sepakat mengharuskan ASB.

 

Mengapa Berbeza Pendapat Hukum ASB

Perbezaan pendapat tentang pelaburan ASB ialah kerana PNB memegang 70% saham dalam Maybank, di mana Maybank menawarkan produk syariah dan juga konvensional. Produk konvensional Maybank mengandungi unsur riba’ dah hukumnya Haram. Maka isu yang timbul ialah mengenai percampuran pelaburan Halal dan Haram dalam ASB.

Sesuatu syarikat itu diiktiraf patuh Syariah sepenuhnya apabila pendapatannya diperoleh daripada lebih 80% sumber yang Halal. Had toleransi yang ditetapkan oleh Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk sumber Haram sekadar 20% sahaja. Atas dasar ini, pelaburan ASB masih tidak menepati sasaran menepati syariah menurut Suruhanjaya Sekuriti.

 

FAQ JAKIM Pelaburan ASB dan ASN

Soalan dan jawapan yang berikut adalah rumusan daripada brosur yang diedarkan oleh JAKIM. Isu perbezaan pendapat seperti yang disebutkan diterangkan secara lebih terperinci.

1) Apakah perbezaan pandangan di antara Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai hukum pelaburan ASB?

> Perbezaan peranan badan autoriti: JAKIM ditubuhkan oleh Majlis Raja-raja sebagai pengeluar dan penyelaras hukum dalam semua perkara melibatkan umat Islam. Suruhanjaya Sekuriti mengklasifikasikan sesuatu sekuriti itu patuh Syariah atau tidak berdasarkan garis panduannya.

> Metodologi: JAKIM mengambil kira aspek lain juga seperti kepentingan umum, keperluan dan Maqasid dan Siasah Syar’iyyah. Suruhanjaya Sekuriti menggunakan pendekatan kuantitatif dengan melihat tanda aras aktiviti perniagaan dan nisbah kewangan.

2) Suruhanjaya Sekuriti menerusi suratnya bertarikh 12 Februari 2009 kepada sebuah bank tempatan memutuskan ASB dan ASN tidak mematuhi garis panduannya patuh syariahnya.

> PNB tidak pernah memohon pengesahan patuh syariah daripada Suruhanjaya Sekuriti. Ini kerana PNB dan dana unit amanah ASNB telah ditubuhka lebih awal daripada Suruhanjaya Sekuriti dengan mandat daripada Kerajaan untuk mengembangkan ekonomi Bumiputera.

3) Mengapa PNB tidak memohon?

> PNB mengambil pendekatan menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan ummah. Sehubungan itu, PNB mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

> PNB telah menubuhkan Majlis Penasihat Syariah untuk urusan pelaburan unit amanah seperti yang disarankan oleh JK Fatwa Kebangsaan.

4) Mengapa syarikat pengurus amanah lain mendapatkan pengesahan patuh syariah daripada Suruhanjaya Sekuriti?

> Syarikat berkenaan ialah syarikat swasta yang ingin memasarkan tabung mereka kepada umat Islam.

> Ia penting untuk mendapatkan keyakinan mereka melabur, walaupun ada tabung tersebut diuruskan atau dimiliki hampir sepenuhnya oleh orang bukan Islam.

5) Pendekatan JK Fatwa Kebangsaan yang memutuskan hukum harus ASB?

> JK Fatwa Kebangsaan melihat kekukuhan ekonomi umat sebagai satu masalah daruriyyah yang perlu diberi perhatian.

> Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan yang lebih besar.

> PNB tidak melabur dalam sektor yang berkait langsung dengan perkara yang Haram qat’ie seperti arak, judi dan pelacuran. Percampuran adalah dalam sektor kewangan di mana yang Halal lebih banyak daripada Haram.

> Menurut Hanafi, Maliki, Shafi’i dan Hanbali, pendekatan mengharuskan pelaburan saham syarikat yang bercampur aktiviti Halal Haram adalah berasas.

6) Keputusan JK Fatwa Kebangsaan tidak mengikut syarak?

> Keputusan dicapai berpandukan Ijtihad Jama’i dan konsensus ahli JK yang terdiri daripada Mufti dan pakar dalam bidang akidah, fiqh, hadith, tafsir, muamalat dan sains. Keputusan dibuat berdasarkan kajian pakar ekonomi Islam.

7) PNB sengaja melabur dalam sektor tidak patuh syariah?

> Fokus pelaburan PNB adalah dalam sektor strategik seperti perbankan, perkhidmatan kewangan, automotif, dan hartanah. Sektor ini berkepentingan kepada negara terutamanya kepada Bumiputera Islam. Risiko dan pulangan juga dinilai.

8) Etika dan Falsafah PNB dalam aspek pelaburan yang dilaksanakan?

> Tidak melabur dalam syarikat yang menjalankan aktiviti utama bertentangan Syariah seperti arak, judi, babi, dan pelacuran.

> Setakat Mei 2014, daripada 107 syarikat tersenarai di Bursa yang dilabur oleh PNB dan unit amanah di bawah pengurusannya, 76.6% syarikat patuh Syariah mengikut Suruhanjaya Sekuriti. Selebihnya syarikat yang berkaitan perbankan dan kewangan, dan syarikat yang tidak memenuhi syarat lain seperti:

>> Tahap percampuran melibatkan unsur ‘umum balwa’ iaitu perkara terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar dielakkan. Contohnya syarikat MAHB yang menguruskan kesemua lapangan terbang.

>> Tahap percampuran sumbangan terima sewaan daripada aktiviti tidak patuh Syariah. Contohnya sewaan bangunan daripada premis cawangan bank.

>> Tahap percampuran yang umumnya selaras Syariah dan ada maslahah kepada awam, tetapi terdapat unsur lain yang menjejaskan status Syariah aktivitinya. Contohnya Maybank.

9) Mengapa perlu kekalkan ekuiti Maybank?

> Mengekalkan kepentingan strategik Bumiputera dalam ekonomi negara. Maybank adalah bank terbesar di Malaysia. Tiada bank berasaskan Islam yang mempunyai saiz sebesar Maybank dan boleh menggantikannya setakat ini.

> Transaksi harian unit amanah ASNB sangat besar dan hanya bank yang berkapasiti tinggi yang mampu mengendalikannya. Ketika ini, Maybank dan dua bank lain yang menjadi ejen transaksi jual beli harian operasi  ASNB.

10) Berapa banyak dana unit amanah yang diuruskan oleh ASNB dan secara majoritinya di manakah ASNB melabur?

> ASNB menguruskan 10 dana unit amanah, antaranya ASB dan ASN. Sehingga April 2014, terdapat 11.9 juta pelabur. Purata peratusan dividen antara 2006-2011 yang diterima oleh orang Islam ialah 83%. 5 dana unit amanah dikhususkan untuk Bumiputera sahaja iaitu ASN, ASB, ASN 2, ASD, dan ASB 2.

> PNB melabur dalam automotif, perbankan, perkhidmatan kewangan, makanan/minuman, perladangan, minyak dan gas, farmaseutikal, penjagaan kesihatan, pengangkutan, hartanah, teknologi maklumat, infrastruktur, dan telekomunikasi.

11) Langkah yang diambil PNB ke arah kesempurnaan Syariah?

> Peratusan pendapatan patuh Syariah bagi semua dana ASNB meningkat. ASB: 53% (2007) kepada 80% (2009), ASN: 60% (2007) kepada 75% (2009).

> Selain dana unit amanah ASNB, PNB mempunyai 5 dana unit amanah patuh Syariah iaitu AMB Dana Yakin, AMB Dana Ikhlas, AMB Dana Arif, AMB Dana Nabeel, an AMB Dana Aqeel.

> Menurut Asian Bankers Research, Maybank Islamic adalah institusi perbankan komersial Islam terbesar di Malaysia dan seluruh rantau Asia Pasifik.

12) Mengapa ada perbezaan hukum ASB yang dikeluarkan oleh JK Fatwa Kebangsaan dengan Selangor dan Pulau Pinang?

> Mengikut undang-undang, kuasa untuk mengeluarkan fatwa terletak di bawah bidang kuasa negeri.

> Perlaksanaan fungsi JK Fatwa Kebangsaan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbira Agama Islam Negeri-negeri, iaitu jika isu yang berlaku menyentuh kepentingan nasional, maka pandangan JK Fatwa Kebangsaan perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum fatwa dikeluarkan oleh negeri kerana matlamatnya ialah untuk menyelaraskan hukum yang dikeluarkan di Malaysia.

> Setakat ini (2014) 8 negeri mengharuskan ASB dan ASB kecuali Selangor dan Pulau Pinang. Negeri yang belum mengeluarkan fatwa ialah Johor, Melaka, Perlis dan Sabah. Mereka merujuk dan menggunakan keputusan JK Fatwa Kebangsaan yang diputuskan pada tahun 2008.

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This