Saya telah bercerai lima tahun lalu. Oleh sebab saya tidak diwakili oleh peguam maka saya tidak membuat sebarang tuntutan terhadap harta sepencarian. Saya hanya mendapat tahu tentang tuntutan harta sepencarian ini setelah diberitahu oleh seorang teman. Saya dan bekas suami telah sama-sama membeli sebuah rumah sebelum bercerai, dan rumah itu dibeli atas namanya. Saya dan bekas suami berkongsi membayar deposit dan ansuran bulanan untuk rumah tersebut. Bolehkah saya menuntut rumah itu untuk harta sepencarian walaupun rumah tersebut atas nama bekas suami? Bagaimana caranya untuk menuntut hak saya ini? Masih bolehkah saya membuat tuntutan walaupun perceraian sudah lama berlaku?

Sukma Kenchana. Semenyih, Selangor.

————————————-

Jawapan

Seorang isteri yang diceraikan masih mempunyai hak ke atas nafkah dan harta yang dikumpul semasa perkahwinan. Hak ini adalah hak ke atas idah, mutaah dan harta sepencarian.

Dari segi undang-undang syariah berkenaan harta sepencarian, kita perlu merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 yang menyatakan bahawa harta sepencarian adalah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Ini termaktub dalam seksyen 122 Enakmen.

Menurut seksyen ini juga, Mahkamah berhak untuk membahagikan mana-mana harta tersebut. Dalam kes puan, rumah kelamin adalah termasuk dalam kategori harta sepencarian yang boleh dituntut.

 

Faktor yang diambil kira Mahkamah

Apabila membahagikan harta tersebut, Mahkamah akan melihat kepada beberapa faktor yang ternyata dalam seksyen 122(2), iaitu:

(a) Takat sumbangan yang telah dibuat oleh puan dan bekas suami dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu;

(b) Sebarang hutang yang diambil atau dibuat sama ada oleh puan atau bekas suami bagi manfaat bersama;

(c) Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, dan berikutan dengan pertimbangan-pertimbangan di atas, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

 

Rujukan Kes Mahkamah Terdahulu

Kita juga boleh merujuk kepada keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan dalam kes Anita Abdullah lwn Zainuddin Ariffin (1982) 4 JH 73 yang telah menggariskan panduan pembahagian ke atas harta sepencarian dijalankan. Antara lainnya penghakiman tersebut menyatakan bahawa:

1. Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu, maka harta tersebut akan diberi kepadanya.

2. Jika tidak ada keterangan yang cukup mengenai takat usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah dan harta akan dibahagikan sama banyak. Jika semuanya enggan bersumpah ia dibahagikan sama banyak juga.

Tetapi jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu diberi kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas wasiat si mati sekiranya waris menuntut.

Oleh itu jelas di sini bahawa puan perlu memberi bukti yang kukuh kepada Mahkamah bahawa puan telah memberi sumbangan ke atas harta tersebut. Puan boleh mengemukakan bukti mengenai sumbangan kewangan yang telah puan beri ke atas pembelian rumah kelamin tersebut. Ini termasuklah resit bayaran bulanan, perjanjian pinjaman bank, akuan bank atau saksi-saksi yang tahu mengenai perkara ini.

Apa yang penting di sini adalah puan perlu mengemukakan bukti kepada Mahkamah supaya Mahkamah boleh memberi hak puan.

 

Tempoh Masa Untuk Membuat Tuntutan

Mengenai tempoh masa untuk membuat tuntutan, mengikut hukum syarak, pada dasarnya tiada had waktu yang tertentu untuk seseorang membuat tuntutan kerana hak tetap hak dan ia tidak boleh dilupuskan oleh tempoh masa, tetapi seeloknya-eloknya tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh masa yang munasabah.

 

Masukkan Kaveat Ke Atas Rumah

Untuk menjaga kepentingan puan, puan boleh memasukkan kaveat ke atas rumah tersebut. Kaveat adalah satu bentuk perlindungan yang diberi oleh sesiapa yang mempunyai kepentingan ke atas sesuatu hartanah. Kepentingan puan di sini ialah tuntutan harta sepencarian terhadap rumah tersebut. Ini untuk mengelakkan bekas suami menjual atau menukar milik rumah tersebut sebelum keputusan berkenaan harta sepencarian dicapai.

Untuk memasukkan kaveat, puan perlu mengisi Borang 19B. Borang ini boleh didapati di mana-mana pejabat tanah tetapi penyerahan borang yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan di pejabat tanah di mana rumah tersebut terletak. Ini kerana setiap pejabat tanah mempunyai bidangkuasa terhadap kawasan yang telah ditetapkan.

Contohnya, jika rumah itu terletak di Semenyih, puan perlu merujuk kepada Pejabat Daerah Hulu Langat. Borang tersebut harus dilampirkan bersama Akuan Bersumpah untuk didaftarkan di pejabat tanah.

Akuan Bersumpah haruslah dilakukan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan sebab mengapa kaveat harus didaftarkan perlu puan nyatakan.

Puan boleh menyatakan tunggakan proses permohonan harta sepencarian di Mahkamah sebagai alasan untuk permohonan memasukkan kaveat. Terdapat perbezaan pembayaran bagi permohonan kemasukan kaveat. Puan harus merujuk kepada pejabat tanah yang berkenaan.

Sebagai contoh, sekiranya hartanah tersebut terletak di Selangor, bayaran RM80 akan dikenakan. Jika hartanah itu terletak di Kuala Lumpur, bayaran sebanyak RM300 pula dikenakan.

 

Tempoh Masa Kaveat Luput

Bagaimanapun, tempoh masa sesuatu kaveat hanya sehingga enam tahun dari tarikh ia didaftarkan. Ini termaktub dalam seksyen 328 Kanun Tanah Negara. Setelah luput tempohnya maka puan boleh memohon semula kemasukan kaveat dengan membuat satu permohonan baru.

Puan boleh memasukkan kaveat setiap enam tahun kerana tiada had dikenakan kecuali jika bekas suami mengambil tindakan Mahkamah untuk mengeluarkan kaveat tersebut.

 

Sumber: Utusan

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This