Beberapa hari lepas, Ustaz Ebit Liew mendedahkan pertemuannya dengan seorang anak lelaki berusia 12 tahun yang berubah nasib menjadi gelandangan dan hidup merempat setelah kematian ibu ayahnya akibat dijangkiti COVID.
Anak itu terpaksa tinggal di jalanan, dan mengharapkan belas kasihan orang ramai bagi mendapatkan bekalan makanan.
Namun, dalam keadaan kesukaran begitu sekalipun, dia tetap tidak meninggalkan kewajipan untuk berpuasa. Makanan sahur dan berbuka diberi oleh orang ramai. Baik budak ini.
Dia bernasib baik kerana kisahnya mendapat perhatian Ebit Liew. Kebajikan hidupnya kembali terjaga dan beliau ditempatkan di madrasah. Nak bertemu ibu ayahnya di syurga, katanya.
Adakah Kita Selamat Dari Covid?
Dalam keadaan COVID yang semakin melarat ini, saban hari kita mendapat berita kematian akibat pandemik ini. Virus COVID ini telah berevolusi dan mampu berkembang biak dengan lebih pantas berbanding bentuknya yang asal pada tahun lepas.
Kita telah saksikan kesannya apabila seseorang dalam keluarga yang tinggal sebumbung dijangkiti penyakit ini. Mudah untuk menjangkiti ahli keluarga yang lain.
Sekiranya hanya ibu ayah yang dikuarantin, siapakah yang akan menjaga makan minum dan urusan harian anak-anak?
Bagaimana pula sekiranya ibu ayah kedua-dua kemudiannya tewas kerana COVID?
Inilah yang telah berlaku kepada adik dalam kisah di atas. Baru berumur 12 tahun sudah menjadi anak yatim piatu. Hidup melarat kerana tiada siapa dapat menjadi tempat bergantung.
Covid Boleh Melarat Dengan Cepat
Jarak masa setelah didiagnos positif dan menjadi melarat pula adakalanya tidak lama. Semasa dalam kuarantin pula, pelawat ditegah untuk datang menziarah.
Sempatkah dan bolehkah pesakit itu merancang pembahagian harta sepeti membuat Hibah dalam keadaan itu?
Dari segi syariah, Hibah yang dibuat mungkin berhadapan dengan isu mardhatul maut sekiranya Hibah dibuat dalam keadaan pesakit itu telah dijangkiti COVID.
Seseorang itu tahu dirinya dijangkiti COVID secara tiba-tiba sahaja. Pada mulanya sakit-sakit biasa, tetapi ada yang melarat kesihatan dengan begitu cepat.
Kisah tular di media sosial baru-baru ini mengenai kematian berturutan dalam sela masa beberapa hari sahaja, melibatkan imam, pengerusi dan bilal Surau Jawhar akibat COVID.
Dilaporkan juga hanya beberapa hari sahaja jarak masa, bermula dari imam tersebut positif diagnosis, melarat kesihatan dan akhirnya meninggal dunia.


Bagaimana Nasib Anak Jika Ibu Ayah Tiada?
Ibu bapa yang sayangkan anak pasti akan memikirkan nasib anak sekiranya kedua-dua mereka tiada.
Bagi yang berharta, mereka memikirkan cara bagaimana kaedahnya hendak memastikan anak-anak mereka ada tempat berteduh, dan wang yang mencukupi.
Namun tidak ramai yang berasa urgent untuk bertindak segera. Setelah bertemu atau berbincang dengan perunding pusaka, mereka bertangguh untuk membuat dokumen perancangan harta.
Bertangguh atas pelbagai alasan.
Antaranya kos yang perlu dikeluarkan, terlalu sibuk dengan kerja, tiada masa untuk mengumpulkan dokumen, hendak survey pasaran dulu dan sebagainya.
Jika tidak sempat merancang harta kerana maut yang datang dahulu, yang akan menghadapi kesannya adalah waris yang ditinggalkan.
Fikirkan senario yang boleh berlaku pada ketika itu.
Mungkin bagi anda yang berharta, anda fikir tidaklah sehingga anak boleh menjadi gelandangan. Kerana anak itu masih ada hak Faraid.
Meskipun ada hak tersebut, ada prosedur tuntutan pusaka yang perlu dibuat terlebih dahulu oleh pentadbir harta.
Bagaimana sekiranya para waris bertelagah dan tidak memberikan kerjasama, yang akhirnya menyebabkan harta pusaka itu tidak boleh diuruskan?
Bagaimana nasib anak dan isteri yang mengharapkan harta pusaka anda untuk meneruskan kehidupan?
Adakah maklumat ini cukup untuk menjadikan anda urgent untuk bertindak segera merancang pembahagian dan pengurusan harta?
Menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kebajikan anak-anak kita, termasuklah selepas pemergian kita.
Meninggalkan waris dalam keadaan berharta lebih daripada mereka terpaksa meminta-minta.
