‘Guru’ Bisnes Korporat

Tan Sri Ali Hashim ialah ahli bisnes berjaya yang telah membangunkan JCorp menjadi syarikat konglemerat yang besar di Malaysia. Beliau adalah Presiden dan CEO JCorp selama 28 tahun (1982 – 2010). Bagi saya, JCorp amat sinonim dengan rangkaian restoran KFC yang telah diambil alih oleh Jcorp beberapa tahun dahulu. Sejak diambil alih, KFC tidak lagi diletakkan dalam senarai boikot Yahudi sebagaimana McD. Terdapat 280 anak syarikat yang bernaung di bawah JCorp, antara yang utama – KPJ Healthcare dalam industri kesihatan dan perubatan pakar, Kulim Malaysia dalam industri minyak sawit dan sebagai syarikat induk pelaburan, QSR Brands dan sebagainya.

Saya gemar membaca buku perkongsian bisnes, terutamanya yang ditulis oleh tokoh itu sendiri. Dari buku itu, kita dapat menghalusi caranya berfikir, sikapnya dalam menghadapi cabaran dan filosofi hidup yang boleh kita ambil teladan untuk berjaya dalam bisnes dan hidup.

Buku Khalifah Menjadi Superman ini sudah lama saya perhatikan, dah akhirnya digerakkan untuk meminjamnya daripada sebuah perpustakaan pada suatu pagi itu. Mungkin suratan ataupun kebetulan, pada petang harinya dikhabarkan Tan Sri Ali Hashim meninggal dunia. Secara automatik, buku ini sudah menjadi satu warisan khazanah ilmu yang wajar dikongsikan dengan masyarakat.

Meskipun secara jujurnya pada pandangan saya buku ini ada kekurangan seperti banyak pengulangan data, isinya kurang tersusun dengan baik dan pengolahan ayat yang bersifat akademik, namun kekuatanya adalah pada mesej yang hendak disampaikan.

ceo jcorp

Mengapa Tan Sri Ali menulis buku ini

Melalui perkataan Tan Sri Ali sendiri, tujuan buku ini ditulis ialah untuk..

“Membangkitkan kesedaran baharu bangsa Melayu dan umat Islam ke arah memperkasa ekonomi menerusi pendekatan institusi dan secara berorganisasi dengan menggunakan kaedah institusi Islam. Ia menganjurkan bisnes diperjuangkan secara kolektif dan kreatif dengan mengadaptasi institusi korporat amanah seperti syarikat milik kerajaan (GLC) dan institusi wakaf, dengan menjadikan Wakaf Korporat sebagai institusi barisan hadapan.”

Walaupun fokus utama beliau untuk memperkasa Melayu dan umat Islam, ia tidaklah meminggirkan bangsa lain. Ciri utamanya ia bersifat bottom-up approach dan tidak elitis yang digerakkan melalui konsep Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat.

 

Ditendang keluar dari JCorp

Buku ini diterbitkan pada tahun 2011. Tahun sebelumnya pada Julai 2010, sekembalinya Tan Sri Ali dari London beliau telah diberikan memo bahawa kuasanya sebagai Presiden/CEO telah ditarik balik oleh Lembaga Pengarah JCorp serta merta, tanpa diberi notis awal mahupun beliau diberi tahu sebabnya. Atas dasar prinsip hidupnya, beliau berundur diri.

Buku ini ditulis kerana bimbang percampuran tangan politik akan menjejaskan masa depan JCorp sebagai GLC, kesinambungan perjuangan Jihad Bisnes dan institusi Waqaf Korporat (WANCorp). Ia boleh terjejas melalui kegiatan penjualan aset strategik JCorp (asset stripping), penjualan saham syarikat, dan pemusnahan motivasi kerja atau entrepreneurial drive melalui percampuran langsung pihak ketiga iaitu micro-managing hal ehwal operasi bisnes JCorp.

 

Mengapa Jihad Bisnes

Sekian lama kita terpengaruh dengan ideologi penjajahan Barat sehingga mencorak persepsi dan minda mengagungkan budaya Barat. Kita anggap Barat sebagai Superman. Antara doktrin ekonomi Barat liberal yang kerap digunapakai ialah menolak peranan kerajaan dan mengutamakan penswastaan. Akibat dari perlaksanaan ini, syarikat MNC asing secara tidak langsung ‘menjajah’ dengan mengukuhkan kepentingannya dalam sistem ekonomi negara kita. Penjajah Inggeris dahulu kalanya meluaskan penjajahan menerusi syarikat East India Company (EIC) di mana tentera dan pegawai tinggi berkhidmat dengan EIC, bukan kerajaan Inggeris.

Harus ada check and balance untuk menolak unsur materialistik dan individualistik dalam budaya kapitalism Barat dan pada masa yang sama mencontohi ilmu bisnes dan pengurusan organisasi korporat mereka. Jihad bisnes ialah untuk membina kekuatan ekonomi umat Islam, meningkatkan harga diri dan cara hidup berpaksikan agama sehingga berupaya menanamkan nilai Khalifah bagi menggantikan Superman.

Antara budaya yang dipraktikkan oleh JCorp ialah membina pemimpin yang tidak hanya mementingkan keuntungan sendiri. Pemimpin tertinggi JCorp contohnya bekerja gigih menghasilkan keuntungan untuk syarikat walaupun tidak dijanjikan sebarang pemilikan saham menerusi Management Buy-Out (MBO), stock option, atau penswastaan sebagai imbuhan pencapaian.

JCorp bermula dengan modal pinjaman hanya RM10 juta yang digunakan untuk membeli ladang getah dan kelapa sawit seluas lebih 3,900 ekar di Ladang Tebrau, JB. Berkat kegigihan mereka, saham lapan syarikat tersenarai JCorp mencecah nilai RM18.1 billion selepas 40 tahun.

 

Krisis ekonomi JCorp

JCorp mengalami banyak krisis hebat setiap dekad. Krisis terhebat dialami semasa krisis kewangan tahun 1997. JCorp hampir tenggelam apabila kerugian lebih RM2 bilion sepanjang 5 tahun berikutnya dan berhutang RM4 bilion kepada lebih 4 bank. JCorp diselamatkan melalui pembiayaan semula dengan bank dengan adanya jaminan Kerajaan Johor menerusi Pelan Induk Penstrukturan Korporat (PIPK).

JCorp telah mengambil alih rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut pada tahun 2006.

 

JCorp membangungkan Kawasan Setempat

Visi Tan Sri Ali ialah untuk mengubah sistem ekonomi yang berasaskan shareholder-centric kepada community-centric. Keuntungan syarikat tidak hanya dinikmati oleh staf dan pemegang saham JCorp, tetapi juga dirasai oleh komuniti dan masyarakat.

JCorp telah memberi impak secara langsung kepada pembangunan 29 kawasan perindustrian di seluruh negeri Johor. Antaranya membangungkan Pasir Gudang yang telah diamanahkan oleh kerajaan Johor untuk diurus oleh JCorp selama lebih 32 tahun. Ia berubah dengan ketara daripada perkampungan nelayan kepada sebuah bandar perindustrian berpenduduk lebih 160,000 orang.

JCorp telah membelanjakan lebih RM1 bilion bagi membangunkan Kompleks Perindustrian dan Pelabuhan Tanjung Langsat yang dibiaya tanpa bantuan peruntukan kerajaan.

Pendekatan Model Ekonomi Baru ialah sistem ekonomi berubah kepada business-driven, bukan lagi melalui perbelanjaan kerajaan. Ini bermakna syarikat swasta menjadi player penting dalam memacu ekonomi negara. Pergantungan ini ada keburukannya kerana swasta kurang mementingkan keseimbangan untuk memelihara kepentingan golongan miskin.

 

Wakaf Korporat – WANCorp

JCorp telah mewakafkan saham bernilai RM258.01 juta mengikut nilai aset bersih, yang terdiri daripada saham syarikat Kulim, KPJ Healthcare, Johor Land dan TPM Management. Saham tersebut telah diwakaf dan didaftarkan atas nama Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp), iaitu syarikat di bawah jaminan JCorp yang bertindak selaku mutawali bagi saham dan aset JCorp yang telah diwakafkan.

Wakaf Korporat berbeza dengan wakaf konvensional yang diurus oleh pihak berkuasa agama negeri. Dalam Wakaf Korporat, WANCorp mengurus aset wakaf kerana pengurusan korporat MAIJ tidak berupaya. Namun kepentingan MAIJ masih terpelihara dengan wakilnya dilantik menjadi ahli lembaga pengarah WANCorp. 5% dividen disumbang kepada MAIJ, 25% untuk program fisabilillah dan kebajikan, selebihnya 70% dilaburkan semula untuk manfaat berterusan.

Antara projek besar ialah membangunkan Bandar Dato’ Onn, sebuah bandar baharu di Johor Bharu sebagai bandar wakaf pertama di Malaysia. Konsep bandar wakaf melibatkan pewakafan komponen strategik dalam bandar, khasnya yang memberi identiti kepada pusat bandar seperti masjid dan kemudahan komuniti. Pusat komersil turut akan diwakafkan untuk menjamin keseimbangan hak milik agar tidak didominasi oleh golongan berada sahaja.

Selain itu, Wakaf Korporat juga menyediakan rangkaian 12 klinik dan sebuah hospital wakaf, di mana sebahagian besarnya terletak di perkarangan masjid. Mereka menyediakan rawatan perubatan kepada semua kaum dengan bayaran minima dan turut dilengkapi dengan mesin dialisis dengan bayaran bersubsidi.

.

Maklumat Buku Tajuk : Khalifah Ganti Superman  Penulis : Tan Sri Muhammad Ali Hashim  Tebal : 393 mukasurat  Harga : RM45
 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This