Kekadang ada juga pasangan yang keliru mengenai hak ke atas harta yang diperoleh sebelum tempoh perkahwinan. Iaitu harta yang dibeli sebelum bernikah atau harta pusaka yang diwarisi oleh pasangan.
Perkara yang nampak common sense pun boleh jadi keliru apabila melibatkan harta.
Adakah harta tersebut menjadi aset perkahwinan yang dikongsi bersama..
..atau pasangan langsung tidak berhak ke atas harta itu?
Harta Dibeli Semasa Bujang
Sesetengah orang telahpun memiliki pakej harta yang cukup sebelum berkahwin lagi.
Apabila diijab qabul nikah, pasangan yang baru dikahwini hanya cuci kaki sahaja masuk ke rumah.
Semuanya telah tersedia.
Mereka yang mementingkan perkembangan kerjaya, berkahwin lewat dari umur biasa, dan telah stabil dari sudut kewangan dan harta.
Harta Diperoleh Secara Pusaka
Terdapat juga harta yang diperoleh oleh pasangan menerusi pewarisan.
Harta berkenaan diwarisi dari ahli keluarga yang meninggal dunia, samada sebelum atau selepas berkahwin.
Harta pusaka sebegini biasanya mendatangkan lebih nilai sentimental kepada suami atau isteri yang mewarisi.
Ada ‘Sumbangan’ Dari Pasangan?
Harta yang dibeli semasa bujang, atau diperoleh menerusi pewarisan pada asasnya adalah hakmilik pasangan yang berkenaan sahaja.
Perkahwinan tidak menjadikan kesemua aset yang dimiliki bertukar hakmilik menjadi aset bersama.
Suami tidak boleh memaksa isteri menyerahkan tanah yang dimiliki kepadanya atas alasan harta bersama kerana tanah tersebut tidak diperoleh dalam tempoh perkahwinan.
Malah sekiranya ia dibeli dalam tempoh perkahwinan, penama hakmilik yang berdaftar itu yang diiktiraf sebagai pemilik harta. Jika diletakkan nama salah seorang sahaja, dia lah pemiliknya. Nak jadikan ia milik bersama, letaklah kedua-duanya sebagai penama hakmilik.
Tuntutan Harta Sepencarian
Bagaimanapun, terdapat ruang yang membolehkan harta milik pasangan dituntut sebagai harta sepencarian.
Sebagai contoh, suami boleh menuntut hak sekiranya terdapat sumbangan tertentu yang dibuat bagi memajukan tanah ‘pusaka’ isteri. Seperti suami membelanjakan wang untuk mendirikan rumah di tanah tersebut.
Atau suami bercucuk tanam di tanah tersebut sehingga mendatangkan hasil tanaman.
Namun kadar tuntutan harta sepencarian ke atas rumah dan tanah yang dimajukan itu mestilah berkadaran dengan sumbangan yang diberikan.
Takkanlah dengan pemberian duit deposit sedikit dah rasa diri layak untuk menuntut separuh harta kan?
Kuasa untuk menentukan berapa banyak hak yang boleh dituntut sebagai harta bersama bukan di tangan suami.
Tetapi berada di bawah bidang kuasa Hakim Mahkamah Syariah.
Wallahua’lam
