Perniagaan perkongsian menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah bentuk perniagaan sepertimana enterprise atau milikan tunggal, tetapi bezanya ia dimiliki bersama oleh dua atau lebih individu. Perkongsian didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan tertakluk kepada beberapa syarat serta tanggungjawab tertentu.

Sekiranya salah seorang rakan kongsi mati, kesinambungan operasi dan kewujudan perniagaan boleh terjejas.

 

Liabiliti dalam Perniagaan Perkongsian

Liabiliti Tidak Terhad

Dalam perniagaan perkongsian, rakan kongsi tidak dilindungi oleh liabiliti terhad. Jika perniagaan mengalami kerugian atau berhutang kepada pemiutang, setiap rakan kongsi mesti menggunakan aset peribadi mereka untuk menyelesaikan hutang tersebut.

Jika perniagaan tidak mempunyai aset yang mencukupi untuk membayar hutang, pemiutang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap rakan kongsi secara individu untuk mendapatkan kembali wang mereka. Ini termasuk merampas harta peribadi seperti rumah, kenderaan, atau simpanan.

Oleh yang demikian, risiko kewangan dalam perniagaan perkongsian adalah lebih tinggi berbanding dengan syarikat yang mempunyai liabiliti terhad. Rakan kongsi berisiko kehilangan bukan sahaja pelaburan mereka dalam perniagaan, tetapi juga harta peribadi mereka jika perniagaan gagal.

Contohnya, sekiranya sebuah perkongsian berhutang RM500,000 dan aset perniagaan hanya mampu menampung RM200,000, pemiutang boleh menuntut baki RM300,000 daripada harta peribadi rakan kongsi.

 

Tanggungjawab Bersama dan Individu (Joint and Several Liability)

Tanggungjawab Bersama (Joint Liability): Semua rakan kongsi bertanggungjawab secara kolektif untuk sebarang keputusan atau komitmen perniagaan yang dibuat oleh mana-mana rakan kongsi. Jika seorang rakan kongsi membuat keputusan perniagaan atau menandatangani kontrak, semua rakan kongsi bertanggungjawab atas kesan keputusan tersebut, walaupun mereka tidak terlibat secara langsung.

Tanggungjawab Individu (Several Liability): Di bawah konsep tanggungjawab individu, seorang rakan kongsi boleh dituntut secara individu oleh pihak ketiga (seperti pemiutang) untuk melangsaikan hutang atau tuntutan. Ini bermakna pemiutang boleh memilih untuk menuntut kesemua wang daripada seorang rakan kongsi sahaja, dan bukannya membahagikan hutang tersebut antara rakan kongsi lain. Rakan kongsi yang membayar lebih daripada bahagiannya kemudian boleh menuntut bahagian daripada rakan kongsi yang lain melalui proses undang-undang.

 

Kesan Kematian Seorang Rakan Kongsi

Menurut prinsip umum undang-undang, perkongsian akan terbubar secara automatik apabila seorang rakan kongsi meninggal dunia, melainkan terdapat perjanjian khas atau perjanjian perkongsian (Partnership Agreement) yang membenarkan perniagaan diteruskan oleh rakan kongsi yang masih hidup.

Sekiranya perjanjian perkongsian wujud yang membenarkan waris si mati mengambil alih tempat si mati sebagai rakan kongsi, pewaris boleh memilih untuk menyertai perniagaan tersebut. Namun, jika tidak ada perjanjian sedemikian, bahagian si mati dalam perniagaan akan dianggap sebagai aset harta pusaka dan diagihkan kepada pewaris.

Hutang perniagaan yang wujud sebelum kematian seorang rakan kongsi tidak dihapuskan. Hutang perniagaan menjadi hutang peribadi yang perlu dilunaskan dengan menggunakan harta pusaka si mati.

Kreditor yang menuntut hutang daripada si mati boleh menuntut daripada harta peninggalan. Jika harta si mati tidak mencukupi untuk melunaskan hutang perniagaan, kreditor boleh menuntut daripada rakan kongsi yang masih hidup kerana mereka juga bertanggungjawab terhadap liabiliti perniagaan.

 

Perlindungan melalui Perjanjian Perkongsian

Untuk mengelakkan kekeliruan dan komplikasi selepas kematian seorang rakan kongsi, adalah penting untuk perniagaan perkongsian mempunyai perjanjian perkongsian yang jelas. Perjanjian ini boleh merangkumi perkara seperti:

  • Terma-terma untuk kesinambungan perniagaan selepas kematian seorang rakan kongsi.
  • Bagaimana pembahagian harta dan tanggungjawab hutang akan dilakukan.
  • Opsyen bagi rakan kongsi yang masih hidup untuk membeli bahagian rakan kongsi yang meninggal dunia.

 

Wallahua’lam

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This