Banyak persoalan datang mengenai hasrat pewarisan tanah Felda. Klien berhasrat untuk mewariskan, menghibahkan atau mewasiatkan tanah Felda kepada penerima yang dikehendakinya.

Hibah tidak boleh dibuat secara semberono. Bagi memastikan hibah yang dibuat itu sempurna dan terlaksana, harta yang dihibahkan itu mestilah dimiliki sepenuhnya oleh pemberi hibah. Ini tidak berlaku bagi tanah Felda.

Akta perundangan yang mengikat tanah Felda mengehadkan perubahan pada hakmilik.

Sekatan Status Tanah Felda

Tanah Felda tertakluk di bawah Akta Tanah (Penempatan Berkelompok) (GSA) 1960 (Akta 530). Akta berkenaan mengenakan sekatan-sekatan bagi tanah yang diisytiharkan sebagai tanah berkelompok, antaranya seperti tanah Felda.

Akta ini mengehadkan perubahan milikan, jualbeli dan transaksi ke atas tanah Felda.

Peneroka Felda diberikan dua jenis tanah, iaitu tanah ladang dan tanah kediaman. Kedua-dua tanah berkenaan berstatus tanah berangkai yang tidak boleh dipisahkan dan dibahagikan sepertimana menurut Seksyen 7(2) Akta GSA.

Bermakna, kedua-dua tanah tersebut terikat untuk dimiliki secara bersama, dan tidak boleh dipecah bahagi kepada lot-lot kecil.

 

Status Penama Tanah Felda

Penama yang tertera dalam geran tanah Felda BUKAN pemilik mutlak ke atas tanah berkenaan, tetapi berhak ke atas manfaat dari tanah tersebut. 

Implikasinya, pemilik tanah tidak bebas menjalankan transaksi jualbeli atau penukaran hakmilik sesuka hatinya, dan mesti mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Negeri.

Selain itu, menurut Seksyen 14 Akta Penempatan Berkelompok 1960, hanya dua nama sahaja yang boleh didaftarkan sebagai pemilik bersama tanah.

Peneroka dibenarkan untuk memindahmilik lot rumah dan lot ladangnya kepada seseorang melalui Borang 14A tetapi terhad kepada isteri, bekas isteri peneroka atau waris kadim.

Urusan ini hendak dilakukan dengan persetujuan Felda dan kesemua waris melalui surat akuan persetujuan yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Individu selain itu tidak layak menerima hak milik lot rumah dan lot ladang peneroka.

 

Isu Pewarisan Tanah Felda

Bagaimana jika terdapat lebih dari dua nama waris yang berhak?

Ini adalah isu biasa yang berlaku dalam kalangan generasi kedua peneroka Felda dan seterusnya.

Bila mana pemilik generasi pertama Felda meninggal dunia, para waris yang berhak menuntut harta pusaka peneroka ialah ayah, ibu, isteri, bekas isteri/suami atau anaknya. Namun hanya dua nama yang boleh didaftarkan, walaupun hak ke atas manfaat harta tanah berkenaan diturunkan kepada ramai waris.

Apakah yang berlaku terhadap hak waris-waris yang tidak dapat didaftarkan?

Hak waris-waris berkenaan masih wujud, tidak hilang.

Kaedahnya ialah dua penama yang didaftarkan itu bertindak sebagai pentadbir harta yang bertanggungjawab untuk mengagih-agihkan hasil dan manfaat tanah kepada waris-waris yang berhak mengikut pembahagian Faraid.

Permohonan akan diproses oleh Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil. Semua waris peneroka akan dipanggil untuk hadir ke Pejabat Tanah Daerah (PTD) bagi perbicaraan pembahagian harta pusaka kecil serta turun milik sebagai Pemilik sepenuhnya (Borang E) atau Perlantikan Pentadbir – agihan kepada waris-waris yang lain (Borang F).

 

Hibah Tanah Felda

Sekiranya peneroka ingin menghibahkan tanah Felda kepada warisnya seperti isteri dan anak kandung, perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran pihak Felda.

Selain itu, kesemua waris peneroka yang lain mesti bersetuju dengan hibah yang ingin dibuat, menerusi surat akuan sumpah yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.

Sekatan kebenaran dan persetujuan tersebut menjadikan sukar untuk sesuatu hibah itu dibuat bagi tanah Felda.

 

 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This