Usai urusan pengkebumian, antara urusan yang perlu diselesaikan secepat mungkin ialah menguruskan prosedur tuntuan pusaka arwah. Arwah sudah beralih ke alam Barzakh, maka harta pusaka itu kini hak kepunyaan waris Faraid. Bagaimanapun, harta Faraid yang tinggal untuk dibahagikan adalah bakinya setelah menolak kos pengkebumian, hutang arwah dengan Allah dan manusia, hibah dan wasiat. Sekiranya ada harta arwah yang telah dihibahkan semasa hidup, dokumen hibah yang berkait dengan harta itu perlu dikemukakan kepada waris untuk membolehkan harta itu diasingkan dari harta pusaka.
Bagi yang tidak berpengalaman menguruskan harta pusaka, prosedur ini boleh menjadi rumit dan memakan masa yang lama. Masa yang lama ini juga termasuklah waris bertangguh2 untuk memulakan prosedur pengurusan, atau tidak mencapai kata persetujuan dan kerjasama dari waris yang lain.
Perkara pertama yang perlu dipastikan oleh Wasi atau pentadbir harta pusaka yang dilantik ialah menentukan terlebih dahulu institusi mana yang perlu dituju untuk memulakan prosedur tuntutan pusaka. Ada tiga institusi terlibat dan secara umumnya jenis dan nilai harta yang diuruskan adalah seperti berikut:
- Pejabat Pusaka Kecil – Harta bawah nilai RM2 juta dan MESTI ada HARTA TAK ALIH seperti tanah atau rumah
- Mahkamah Tinggi – Harta Alih/Tak Alih atas nilai RM2 juta
- Amanah Raya – Harta Alih bernilai RM600,000 ke bawah
Perbezaan kos dan caj bagi setiap institusi di atas tidak sama. Caj di Pusaka Kecil adalah yang terendah. Namun begitu, sekiranya pusaka si mati hanya terdiri daripada harta alih sahaja seperti wang simpanan, saham, ASB dan sebagainya, urusan pusaka akan ditolak ke Amanah Raya atau Mahkamah Tinggi. Urusan di Mahkamah Tinggi jauh lebih mahal dan perlu diwakili oleh peguam untuk kelancaran prosedur, tetapi tempoh prosedur lebih cepat.
Perubahan Nilai Kes di Pusaka Kecil
Baru-baru ini pada 2 Ogos 2019, Mesyuarat ke-75 Majlis Tanah Negara (MTN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah bersetuju untuk meminda Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dengan meningkatkan bidang kuasa nilaian pejabat pusaka daripada RM2 juta kepada RM5 juta.
Mesyuarat juga telah menghapuskan syarat perlunya ada Harta Tak Alih (seperti yang ditulis di atas) dan permohonan pusaka boleh difailkan di mana-mana pejabat pusaka di dalam negeri di mana harta tak alih itu berada.
Kesan Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil
Kesan signifikan kenaikan nilaian dari RM2 juta kepada RM5 juta ialah ia akan membolehkan urusan prosedur tuntutan pusaka dilaksanakan pada kadar yang lebih murah kerana ia boleh diurus di Pusaka Kecil, bukannya ditolak ke Mahkamah Tinggi yang jauh lebih tinggi kosnya.
Kos ini perlu dikeluarkan dari poket waris, atau didahulukan wangnya. Sekiranya kos tersebut diambil dari harta pusaka si mati sekalipun, ia akan mengurangkan harta pusaka yang ada untuk dibahagikan secara Faraid. Sudah tentu, wang simpanan dari pusaka tersebut perlu dipastikan cukup untuk menampung kos pengurusan ini, dan tidak dilupa untuk membayar hutang arwah yang perlu dilangsaikan. Maka, yang lebih murah itu lebih utama dan menguntungkan kepada para waris.
Sumber: Bernama
- Hibah Tanah Rezab Melayu - April 16, 2025
- Simpan Duit Anak: KWSP Bukan Tempatnya - April 13, 2025
- RM12.7 Bilion Wang Tak Dituntut – Adakah Anda Salah Seorang Pemiliknya? - March 12, 2025