Semua orang sedar yang kita sedang berada dalam kegawatan ekonomi. Mengikut perangkaan Malaysia Institute of Economic Research (MIER) anggaran seramai 2.4 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja. Lebih teruk lagi, peluang kerja menjadi terhad kerana banyak perniagaan dan syarikat tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Kebanyakan operasi syarikat terkesan kerana penjarakan sosial dan langkah pengawalan untuk membendung penularan COVID-19.
Dalam keadaan ini, kita disaran untuk berjimat cermat dan meneliti setiap perbelanjaan sen yang dikeluarkan. Belum tentu bila kesan COVID ini akan berakhir. Maka usaha kita hari ini untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu menentukan kelestarian hidup yang akan kian sukar dalam beberapa bulan mendatang.
Kalau Sekarang Dah Rasa Susah..
Dalam keadaan susah sekarang, sekurang-kurangnya keluarga masih ada kita untuk menyokong dan mencari ikhtiar pekerjaan lain. Norma baharu apabila ramai yang tersekat pergerakan membawa kepada peluang pekerjaan baru yang kurang popular sebelum ini iaitu sebagai runner, menjual secara online, ecommerce dan sebagainya. Semasa kita masih hidup bersama keluarga, beban itu dapat kita pikul, dengan sokongan psikologi dan fizikal juga dari keluarga.
Walaupun susah, tetapi mampu dipikul.
Bagaimana keadaannya setelah ketiadaan kita, isteri seorang yang terpaksa memikul beban mencari punca pendapatan? Lebih-lebih lagi sekiranya pemergian kita dalam keadaan ekonomi meruncing dan isteri tiada pekerjaan hakiki.
Sudahlah dibebani hujanan emosi kerana kehilangan yang tersayang tempat bergantung selama ini, ditambah lagi dengan akses kepada pusaka wang ringgit di bank disekat kerana belum dibuat tuntutan pusaka. Lebih dahsyat lagi kalau adanya risiko hilang tempat berteduh akibat hak rumah dituntut oleh waris lain?
Merancang Harta.. Kemahuan atau Keperluan?
Adakah perancangan harta untuk pewarisan dimasukkan dalam kategori keperluan atau kehendak?
Kalau respon anda kena tunggu sampai ekonomi ‘stabil’ barulah perlu merancang pewarisan, maka anda dah menganggapnya sebagai kehendak; Bagi anda, ia tidak kritikal, dan boleh dibuat semasa senang sahaja.
Saya okay dan tiada masalah pun kalau masyarakat beranggapan begitu. Cuma pastikan anda jangan mati dalam tempoh masa ekonomi kritikal begini. Hanya mati selepas ekonomi stabil ya!
Maaf, sedikit kasar. Tetapi itulah realiti.
Sebenarnya kalau anda mati dalam keadaan ekonomi seperti sekarang, waris-waris anda akan lebih terkesan.
Harta pusaka mungkin lambat diperolehi kerana perlu melalui sendiri proses undang-undang yang bersifat teknikal dan tidak difahami oleh waris. Sekiranya waris hendak menggunakan perkhidmatan profesional untuk menguruskan tuntutan pusaka, mereka terpaksa menanggung kos yg mahal sehingga 5% dari nilai harta pusaka.
Waris juga tiada masa hendak berurusan dengan agensi berkenaan, permasalahan komunikasi dengan waris lain dan pelbagai masalah yang boleh timbul.
Sudahlah dalam Covid-19 sekarang ini banyaknya risiko kehilangan punca pendapatan, harta yang anda tinggalkan pula lambat dan sukar diperolehi mereka!
Ditakdirkan kita mati sekarang dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini, waris2 lagi berkeperluan ke atas harta pusaka kita.
Merancang harta ialah satu KEPERLUAN dan bukan KEMAHUAN!
