Mendengar saja tentang waris menuntut harta pusaka sebesar RM300 bilion, antara persoalan yang menjadi tanda tanya adalah siapakah gerangannya arwah Dato’ Salleh Perang sehingga mampu mengumpulkan harta sebanyak itu?

Adakah beliau seorang usahawan berjaya? Ahli politik mungkin? Bagaimanakah arwah memperoleh harta tersebut?

Atau adakah pusaka ini tertangguh begitu lama sehingga nilai harta pada waktu silam itu telah berganda-ganda naiknya?

Biasanya kita sukar membayangkan betapa besarnya nilai bilion kerana begitu banyaknya ‘kosong’ di belakang. RM300 bilion bersamaan dengan RM300 ribu juta, iaitu RM300,000,000,000!

Lebih menarik lagi… tahukah anda nilai pusaka yang dituntut itu hampir bersamaan dengan peruntukan Bajet Kewangan Malaysia bagi tahun 2022, iaitu RM332.1 ribu juta. Peruntukan bajet ini adalah yang tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini!

Nilai bersamaan bajet tahunan satu negara menaungi ~30 juta rakyat dituntut oleh waris-waris pusaka arwah. Dahsyat…   

 

Siapakah Dato’ Salleh Perang?

pusaka dato salleh perang

 

Mohamed Salleh Perang adalah tokoh penting dalam kemodenan Johor sewaktu pemerintahan Sultan Abu Bakar Almarhum Tun Temenggong Raja Daing Ibrahim.

Antara jasa Dato’ Salleh yang signifikan adalah menghasilkan peta lengkap pertama Johor dan ditugaskan oleh sultan pertama Johor moden, Sultan Abu Bakar, untuk membangunkan Batu Pahat.

 

Harta Pusaka Dato’ Salleh Yang Dituntut Waris

Wakil pentadbir pusaka Dato’ Salleh telah memfailkan tuntutan di Mahkamah pada tahun 2017 dan masih belum menemui jalan penyelesaian setakat ini. Berikutan tempoh masa yang telah berlalu sebegitu lama hampir seabad, bilangan waris berlapis telah menjangkau sekitar 4,000 orang.

Nak menguruskan waris pun dah pening kepala.. terlalu ramai! Tapi berbaloi diusahakan kerana potensi hasilnya lumayan mbakkk..

Banyak tanah pusaka sekitar Johor yang dituntut dari Kerajaan Johor dalam bentuk pampasan wang RM300 bilion. Antaranya tanah di sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Gunung Pulai, Sungai Tiram dan Iskandar Puteri.

Jikalau mereka berhasil mendapatkan nilai pampasan seperti yang dipinta, maka setiap waris akan memperoleh RM750 juta.

Fuhh, hidup kaya bergenerasi!

 

Menuntut Tanah Bukit Chagar

Antara tanah pusaka bernilai tinggi yang menjadi pertikaian utama adalah tanah Lot 204 di Bukit Chagar yang terletak di bawah nama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Mereka mendakwa tanah itu telah diberikan kepada keturunannya oleh sultan kedua Johor moden, Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.

Dalam salinan geran Bukit Chagar tersebut, tertera tulisan dalam bahasa jawi lama, bertarikh 27 Jan 1915:

 

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Johor yang dikurniakan Allah bagi kerajaan di atas tanah Johor serta segala jajahan daerah takluknya mudah-mudahan dilanjutkan Allah esanya serta bertambah-tambah daulatnya dan memperolehkan kemenangan dunia akhirat amin.

“Ketahui olehmu dengan fikiran yang sempurna kita dan keturunan waris-waris ganti kita dengan sebenarnya mengurniakan kepada Mohd Salleh bin Perang, Dato Bentara Johor.

“Hingga menurun kepada waris-waris gantinya mempunyai sekeping tanah yang ada di dalam daerah bandar Johor selama-lamanya.”

 

Pada masa ini, lot tanah yang dituntut itu menempatkan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor dan lot PTB 23354, iaitu laluan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang seharusnya dimiliki oleh Putrajaya selepas perjanjian pertukaran tanah bersama Johor pada 2010 lalu.

Namun tanah tersebut telah dipindah milik kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 19 November 2017, iaitu dua hari selepas baginda bersetuju untuk menyusun semula projek RTS. 

 

Halangan Proses Tuntutan Pusaka

Walaupun geran tersebut menjadi bukti penting penyerahan tanah kepada waris Dato’ Salleh, namun muncul dokumen yang menyatakan tanah tersebut telah diserahkan kembali kepada Istana Johor hanya setelah 3 bulan ia dipindahmilik.

Bagaimanapun, wakil pentadbir pusaka arwah mendakwa dokumen itu palsu kerana tandatangan dalam dokumen tidak sepadan.

Selain itu, perlantikan pentadbir juga menemui kesukaran kerana tarikh kematian rasmi Dato’ Salleh yang dicatat dalam sijil kematian iaitu pada 2 Julai 1915 diragui faktanya. Mengikut logiknya, bermakna Dato’ Salleh mendapat anak pertama pada 1859 ketika berusia 11 tahun.

Atas dasar itu, mereka bertindak menyaman Jabatan Pendaftaran Negara untuk mencabar kesahihan sijil kematian tersebut.

 

Rujukan: Malaysiakini

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This