Apabila seseorang memeluk Islam, perubahan besar tidak hanya berlaku dalam aspek kehidupan spiritualnya, tetapi juga dalam cara pengurusan harta. Sistem pewarisan Islam menetapkan aturan pembahagian harta mengikut faraid, iaitu hukum pembahagian pusaka yang diatur mengikut syarak. Bagi muallaf yang baru sahaja mengenal Islam, cabaran ini boleh menjadi lebih rumit, terutamanya jika mereka tidak mempunyai waris Muslim.
Dalam situasi ini, hibah muncul sebagai satu penyelesaian yang berkesan. Hibah bukan sahaja membolehkan seseorang muallaf mengatur pembahagian harta mereka secara bebas dan tidak terikat kepada pembahagian faraid, tetapi hibah juga memberikan kebebasan untuk merancang harta mereka agar sampai kepada penerima yang mereka kehendaki, termasuk ahli keluarga bukan Muslim.
Non-Muslim Tidak Mewarisi
Dalam kes-kes di mana seseorang muallaf meninggal dunia dan tidak mempunyai waris yang memeluk Islam, hukum faraid tidak membenarkan waris bukan Muslim menerima harta pusaka. Meskipun waris tersebut merupakan waris-waris terdekat seperti ibu, ayah, isteri dan anak-anak.
Dalam situasi seperti ini yang mana tiada waris-waris yang berhak menerima harta pusaka disebabkan berlainan agama, harta pusaka tersebut akan disalurkan ke baitulmal, yang akan menguruskan harta tersebut untuk kepentingan masyarakat Islam dan kebajikan umat.
Walaupun baitulmal akan menggunakan harta tersebut untuk tujuan kebaikan, namun ia mungkin tidak selari dengan hasrat sebenar muallaf tersebut untuk memberi manfaat kepada keluarga atau kenalan terdekatnya yang bukan Muslim.
Meskipun sudah berbeza anutan agama, ikatan kekeluargaan masih mahu dipelihara dengan baik.
Mungkin juga ahli keluarga muallaf termasuk dalam golongan susah yang bergantung harap kepadanya. Maka penting bagi muallaf tersebut untuk merancang pewarisan harta agar ahli keluarganya masih dapat menerima manfaat dari hartanya bagi meneruskan hidup.
Hibah Bagi Muallaf
Bagi muallaf yang ingin memastikan harta mereka diberikan kepada ahli keluarga tertentu atau rakan yang bukan Muslim, mereka boleh menggunakan instrumen hibah semasa masih hidup.
Hibah membolehkan mereka memberikan harta kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki samada penerima adalah seorang Muslim ataupun non-Muslim. Tambah lagi, harta hibah akan diasingkan terlebih dahulu dari pembahagian secara faraid kerana hibah adalah pemberian harta yang terlaksana semasa hidup.
Tentunya kita berharap, keseluruhan ahli keluarga muallaf akan terdorong untuk bersama-sama memeluk agama Islam.
Dan mungkin…
..dengan tindakan menghibahkan harta kepada mereka menjadi pencetus yang melembutkan hati mereka untuk berjinak-jinak mengenali Islam.
Wallahua’lam
- Hibah Solusi Bagi Muallaf Wariskan Harta Kepada Keluarga Bukan Islam - November 11, 2024
- Old Money: Warisan Kekayaan dan Pewarisan Harta dari Generasi ke Generasi - November 10, 2024
- Takaful untuk Langsai Hutang: Pilih Agihan Secara Hibah atau Wasi? - November 6, 2024