Tindakan menghibahkan harta mesti dilakukan semasa pemberi masih hidup lagi. Malah dari sudut hukum syara’, hibah terlaksana dan berkuatkuasa sebaik sahaja selesai ijab qabul dan setelah cukup rukun-rukun dan syaratnya.
Walau bagaimanapun, keadaan penyakit terminal boleh membuatkan seseorang pemilik harta tergerak dan terdesak untuk menghibahkan hartanya secepat mungkin. Semasa sedang sihat walafiat, wang dan harta digunakan untuk memenuhi pelbagai keperluan dan kehendak. Namun ketika sedang menghidapi sakit terminal dan berada di ambang maut, harta dunia tersebut sudah kurang bermakna untuk dirinya sendiri dan akan dilepaskan jua.
Meskipun masih bernyawa dan masih mampu menandatangani kontrak, namun terdapat hukum khusus bagi hibah yang dilakukan oleh pemilik harta yang sedang sakit terminal yang menghampiri kematian, atau dalam keadaan maradhul maut. Ia penting kerana hibah yang dibuat dalam kondisi tersebut boleh jatuh ke taraf wasiat.
Definisi ‘Sakit Terminal’ Menurut Perbahasan Fiqh
Terdapat pelbagai jenis sakit kritikal dan tiada senarai khas yang menyenaraikan jenis-jenis penyakit yang tergolong dalam kategori maradhul maut.
Ditambah lagi dengan kemajuan teknologi perubatan, penghidap penyakit yang kronik pun boleh sembuh akhirnya. Pada satu tahap dia berada dalam keadaan kritikal, namun kemudiannya beransur pulih. Bagaimana hendak menetapkan seseorang itu dalam keadaan maradhul maut?
Oleh yang demikian, perbahasan dari sudut fiqh menetapkan definisi seseorang yang dalam keadaan maradhul maut kepada tiga pemerhatian dan penilaian, iaitu:
- Tidak mampu untuk melakukan aktiviti kebiasaan atau memenuhi kemaslahatannya
- Perasaan takut dan hampir kepada kematian
- Berlaku kematian dalam tempoh tertentu.
Tidak mampu untuk melakukan aktiviti kebiasaan
Disebabkan sakit yang dideritai, pesakit terminal tersebut tidak mampu untuk melakukan aktiviti kebiasaannya seperti tidak mampu pergi ke pasar dan mengemas rumah dan sebagainya.
Termasuk dalam golongan ini ialah orang yang tidak berupaya untuk keluar bekerja disebabkan sakitnya.
Perasaan takut dan hampir kepada kematian
Syarat ini menjadi syarat utama dalam penentuan maradhul maut. Disebabkan penyakit yang dideritainya pada tahap kritikal dan serius, timbul rasa takut yang mendalam dan bimbang dalam dirinya akan hampirnya detik kematian.
Ulama’ memberikan garis panduan bagi menjelaskan syarat ini dari sudut pandang zahirnya, iaitu:
- Penyakit kritikal yang tidak mampu diubati dan boleh membawa maut
- Penyakit kronik yang semakin hari semakin kritikal sehingga datang rasa takut
akan kematian
Berlaku kematian dalam tempoh tertentu
Secara umumnya apabila seseorang pesakit terminal itu meninggal dunia akibat penyakit terminal tersebut dalam tempoh setahun selepas hibah dibuat, dan berlakunya dua syarat di atas, maka ia boleh dikategorikan sebagai maradhul maut.
Hukum hibah yang dilakukan ketika dalam kondisi maradhul maut berbeza dengan hibah yang dibuat semasa pemilik harta dalam keadaan sihat.
Kewarasan Akal Fikiran Semasa Sakit Terminal
Hibah adalah pemberian secara sukarela dan mestilah dilakukan dalam keadaan seseorang itu waras akal fikiran atau rushd. Ia berkait dengan konsep ahliyyah yang membawa maksud seseorang itu dalam keadaan mampu dan berkelayakan untuk memikul tanggungjawab atau taklif atas segala perkataan dan perbuatan yang dilakukannya.
Begitu juga keupayaannya untuk membezakan baik dan buruk (tamyiz) dan dalam membuat keputusan yang rasional.
Sekiranya kecuaian dan kesalahan dalam pemberian berlaku akibat akal yang terganggu atas faktor fisiologi dan psikologinya, ia akan mendatangkan risiko dan mudarat kepada pemberi, waris-warisnya dan pemberi hutangnya. Pesakit mungkin melakukan tindakan luar jangka berikutan pengaruh penyakitnya dengan menghibahkan keseluruhan hartanya sehingga menimbulkan kemudaratan kepada pihak terbabit.
Hukum Hibah Semasa Sakit Terminal
Menurut jumhur ulama’ termasuklah pandangan mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali, hukum hibah yang dilakukan dalam keadaan sakit terminal atau kondisi maradhul maut tertakluk kepada kadar wasiat.
Iaitu terbatas sekadar maksimum satu pertiga harta sahaja.
Walaupun pemilik harta menghibahkan keseluruhan hartanya, namun disebabkan kerana pemberian hibah tersebut dilakukan semasa dirinya dalam keadaan maradhul maut, maka hanya satu pertiga harta sahaja yang dapat ditunaikan.
Namun begitu, sekiranya berlaku pertikaian antara waris setelah meninggalnya pemberi hibah tentang kondisi maradhul maut semasa hibah dibuat, maka haruslah dibawa segala keterangan dan bukti yang menyokong dakwaan bagi ditentukan di Mahkamah.
Bagi mengelakkan semua kesukaran dan ketidaktentuan yang di atas, hibahkan lah harta semasa masih sihat jika anda mempunyai hasrat tersebut.
Sakit kritikal boleh datang tak tentu masa, dan tak tentu sebabnya. Malah eksiden pun boleh menjadi punca kritikal yang melarat dan berpanjangan!
Rujukan: Pengurusan Harta dalam Konteks Tabarruatt Marad Marad Al-Mawt Menurut Pandangan Fuqaha
Untuk konsultasi dan kos servis penyediaan dokumen hibah harta,
boleh Whatsapp saya, Ansari 019-749 8210
- Hibah Solusi Bagi Muallaf Wariskan Harta Kepada Keluarga Bukan Islam - November 11, 2024
- Old Money: Warisan Kekayaan dan Pewarisan Harta dari Generasi ke Generasi - November 10, 2024
- Takaful untuk Langsai Hutang: Pilih Agihan Secara Hibah atau Wasi? - November 6, 2024