Hibah, atau pemberian harta secara sukarela semasa hidup tanpa mengharapkan balasan, adalah amalan yang dianjurkan dalam Islam. Ia bertujuan mempererat hubungan kekeluargaan dan mengelakkan pertikaian harta selepas kematian.
Namun, timbul persoalan mengenai keadilan dalam pemberian hibah, terutamanya apabila ia tidak diberikan secara sama rata kepada anak-anak.
Apakah pandangan Islam mengenai perkara ini?
Konsep Hibah dalam Islam
Hibah merujuk kepada pemberian harta oleh seseorang kepada individu lain semasa hayatnya tanpa sebarang balasan. Amalan ini disokong oleh dalil al-Quran dan hadis.
Allah SWT berfirman:
“…dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi…”
(Surah al-Baqarah: 177)
Hibah dapat memperkukuh silaturahim dan menjadi usaha bagi mengelakkan konflik harta di kalangan ahli keluarga selepas kematian pemilik harta.
Pandangan Ulama Mengenai Pemberian Hibah Tidak Sama Rata
Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum memberikan hibah yang tidak sama rata kepada anak-anak:
Pandangan yang Melarang:
Mazhab Hanbali:
Ulama seperti Aḥmad Ibn Ḥanbal, Ibn Qudamah dan Ibn Taymiyyah berpendapat bahawa memberikan hibah secara tidak adil adalah haram kerana ia dianggap sebagai kezaliman dan boleh menimbulkan permusuhan antara anak-anak.
Mereka merujuk kepada hadis Rasulullah SAW yang bersabda kepada Nu’man bin Basyir:
“Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anak kamu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut pandangan ini, hibah yang tidak adil boleh menyebabkan pembatalan hibah tersebut.
Walaupun nampak strict, namun para ulama membenarkan pemberian hibah tidak sama rata dalam keadaan yang memerlukan.
Ahmad Ibn Hanbal memberi contoh apabila seorang anak dilebihkan hibahnya kerana dia memerlukan duit untuk menyelesaikan hutang, bayar kos perubatan untuk sakit kritikal.
Contoh yang diberikan oleh Ibn Taymiyyah sekiranya anak itu seorang yang alim tetapi miskin dan memerlukan bantuan untuk melakukan kebaikan.
Pandangan yang Membenarkan dengan Syarat:
Mazhab Hanafi, Maliki, dan Syafii:
Ulama dalam mazhab-mazhab ini membenarkan pemberian hibah tidak sama rata tetapi menganggapnya makruh (tidak disukai) tetapi tidak sampai menjadi haram.
Terdapat situasi di mana pemberian tidak sama rata dibenarkan, terutama jika ada sebab yang kukuh seperti keperluan anak yang berbeza.
Sebagai contoh, anak yang sakit, miskin, atau menanggung keluarga mungkin memerlukan lebih banyak bantuan.
Begitu juga sekiranya anak itu memerlukan bantuan kewangan bagi menyara keluarga yang besar, atau anak yang lebih muda dan sedang menuntut ilmu.
Preferential Hibah
Dalam Islam, keadilan tidak selalu bermaksud kesamarataan mutlak. Sebaliknya, keadilan mengambil kira keperluan dan maslahat penerima.
Dalam konteks hibah, tidak terdapat peraturan khusus yang mengatur pembahagian secara sama rata seperti dalam hukum faraid. Oleh itu, preferential hibah menggambarkan pemberian yang tidak sama rata tetapi tetap adil berdasarkan keperluan tertentu.
Ibnu Kathīr menjelaskan bahawa pembahagian warisan dalam faraid, di mana lelaki menerima dua kali ganda bahagian perempuan, tetap dianggap sebagai keadilan kerana ia telah ditetapkan dalam Islam.
Dengan pendekatan yang sama, dalam pemberian hibah, keadilan dapat diterapkan dengan memberikan lebih kepada anak yang lebih memerlukan tanpa menimbulkan ketidakadilan kepada anak-anak lain. Oleh itu, istilah preferential hibah lebih sesuai digunakan berbanding istilah “tidak adil.”
Penting untuk diperhatikan bahawa walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai kewajiban (wujūb) kesamarataan dalam pemberian hibah, semua ulama sepakat bahawa keadilan dan keseimbangan dalam pemberian adalah suatu keutamaan.
Ini kerana tujuan utama adalah memastikan semua anak merasa dihargai secara adil, membersihkan hati mereka daripada perasaan iri hati, serta menghindari kebencian, permusuhan, dan perselisihan dalam keluarga.
Fatwa Kontemporari Mengenai Hibah Tidak Sama Rata
Dalam konteks semasa, beberapa institusi fatwa telah mengeluarkan pandangan mengenai pemberian hibah tidak sama rata:
Dar al-Ifta’ Mesir:
“Pemberian hibah tidak boleh disamakan dengan pewarisan (pembahagian mengikut faraid) kerana apabila matinya seorang ayah, tanggungjawab tertentu diletakkan ke atas anak lelaki tetapi tidak ke atas anak perempuan.”
Malaysia:
Di Malaysia, terdapat beberapa kes mahkamah yang berkaitan dengan pemberian hibah tidak sama rata.
Dalam kes Nor Haily Maizura Binti Hussein v Nur Shamsul Bhariah Binti Hussein di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, seorang ayah memberikan hibah kepada lima anak dari perkahwinan kedua dan tidak kepada dua anak dari perkahwinan pertama. Mahkamah memutuskan bahawa hibah tersebut sah.
Kes-kes seperti ini menunjukkan bahawa pemberian hibah tidak sama rata boleh diterima, terutama jika ada alasan yang munasabah. Namun, adalah penting untuk memastikan bahawa pemberian tersebut tidak menimbulkan konflik dalam keluarga.
Pelihara Hubungan Kekeluargaan
Islam menekankan keadilan dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam pemberian hibah kepada anak-anak.
Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai pemberian hibah tidak sama rata, adalah penting bagi ibu bapa untuk mempertimbangkan implikasi tindakan mereka terhadap hubungan kekeluargaan.
Jika terdapat keperluan khusus yang memerlukan pemberian tidak sama rata, ia hendaklah dilakukan dengan bijaksana dan, sebaik-baiknya, dengan persetujuan semua pihak yang terlibat untuk mengelakkan sebarang konflik di masa hadapan.
Rujukan: Artikel “Are Parents Free To Bestow Their Wealth Onto Their Children? A Juristic Discourse On Equality And Justice In Hibah” , www.dar-alifta.org
Untuk penyediaan dokumen Hibah patuh syariah, sila Whatsapp Ansari 019-749 8210
- Hibah Tanah Rezab Melayu - April 16, 2025
- Simpan Duit Anak: KWSP Bukan Tempatnya - April 13, 2025
- RM12.7 Bilion Wang Tak Dituntut – Adakah Anda Salah Seorang Pemiliknya? - March 12, 2025