Banyak pemberian hibah harta melibatkan pasangan suami isteri. Suami menghibahkan hartanya kepada isteri, dan sebaliknya isteri menghadiahkan hartanya kepada suami.

Hibah ialah satu pengorbanan yang dibuat atas dasar kasih sayang. Melalui akad hibah, pemberi dengan sukarelanya telah melepaskan pemilikan hartanya kepada penerima. Lazimnya hibah dibuat semasa dalam perkahwinan yang harmoni. Pasangan suami isteri prihatin dengan kebajikan masing-masing. 

Meskipun begitu, tidak mustahil perkahwinan boleh dilanda badai pada masa hadapan. Yang demikian menimbulkan kerisauan kepada sesetengah isteri, terutamanya… sekiranya ditakdirkan bercerai, apa yang akan berlaku pada harta yang telah dihibah?

 

Adakah hibah terbatal apabila berlakunya perceraian?  

Akad Hibah yang sempurna memberi kesan perubahan hakmilik terhadap empunya harta yang dihibahkan. Meskipun harta tersebut dari sudut pendaftaran harta masih belum berubah lagi, namun di sisi Syariah ia telahpun berpindah milik kepada penerima.

Apabila berlakunya perceraian, soal pemilikan harta yang dikumpul bersama boleh menjadi isu yang diperselisihkan. Boleh jadi harta yang telah dihibahkan pun ingin diambil semula. 

Namun sekiranya seseorang itu telah faham mengenai konsep pemberian, hadiah dan hibah, sepatutnya dia akur bahawa harta itu telah pun bukan lagi miliknya.   

Tiada syarat yang boleh diletakkan dalam deklarasi hibah yang menyatakan Hibah terbatal apabila ikatan perkahwinan terbubar.  

Merungkai persoalan utama dalam artikel ini; Hibah TIDAK terbatal dengan perceraian.

 

Apa yang membatalkan Hibah?

Seperti yang dinyatakan, perubahan hubungan pemberi-penerima tidak menyebabkan hibah tersebut batal. 

Apakah yang boleh membatalkan hibah?

Hibah antara pasangan suami isteri yang telah sempurna rukun dan syaratnya hanya boleh terbatal sekiranya pemberi hibah (contoh: suami) menarik balik pemberian, dan penerima (contoh: isteri) bersetuju dengan pembatalan. 

Sebagai analogi, seorang suami yang telah memberi hadiah kepada isteri tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil semula hadiah tersebut setelah bercerai, kerana hadiah itu telahpun sah menjadi hakmilik isteri.

Melainkan sekiranya isteri tersebut dengan rela hatinya melepaskan pemilikan harta berkenaan, maka barulah suami boleh mengambilnya semula.

 

Takut Buat Hibah Kerana Takut Bercerai?

Banyak juga persoalan hibah dan bercerai yang saya terima. 

Sedangkan dengan membuat hibah yang sepatutnya dapat mengikat dan mengeratkan hubungan perkahwinan.

Hibah itu adalah satu pemberian, dan satu pengorbanan material bagi menjaga kepentingan pasangan sekiranya mereka tiada dahulu.

Orang tidak akan berkorban, melainkan bagi orang yang disayangi. 

Tersirat di sebalik keprihatinan itu juga suatu tekad untuk sama-sama memelihara perhubungan suami isteri agar kekal panjang sehingga ke hujung hayat.

Lebih baik difokuskan kepada tindakan yang boleh menguatkan perkahwinan, dari memikirkan implikasi jika bercerai.

Mengambil iktibar dari kata-kata Robin Sharma,

“What you focus on grows, what you think about expands, and what you dwell upon determines your destiny”

 

Fokus kepada yang baik-baik, dan buat tindakan yang menyokong ke arah kebaikan. 

Wallahua’lam..

 

 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This