Bagi pemberian harta secara hibah, pemilik harta bebas untuk menghadiahkan hartanya kepada sesiapa sahaja tanpa ada had. Ini berbeza dengan wasiat yang terhad kepada 1/3 harta dan kepada penerima yang bukan waris sahaja. 

Pun begitu, terdapat saranan syariat untuk berlaku adil dalam memberi.

Bagi ibu ayah yang mempunyai lebih dari seorang anak, terdapat pelbagai pandangan mengenai tindakan ibu ayah yang melebihkan pemberian hibah hartanya kepada anak yang tertentu berbanding anak-anak yang lain.

Adakah tindakan tersebut diharuskan syariat?

Adakah hibah tidak samarata ini boleh menyebabkan kesahan hibah terjejas?

 

Pandangan Ulama Isu Melebihkan Pemberian Kepada Sebahagian Anak

Terdapat khilaf ulama’ mengenai isu ini. 

  • Ada ulama’ mengharuskannya selagi tidak berniat untuk menafikan hak waris yang lain.
  • Terdapat ulama’ menyifatkan melebihkan (tafdil) antara waris bertentangan dengan syariat.  

Mengikut pandangan jumhur fuqaha’, sunat menyamaratakan pemberian kepada semua anak.  

Melebihkan pemberian kepada sebahagian anak tidak disukai (makruh), tetapi SAH di sisi syara’ dan TIDAK menjejaskan kesahan hibah. Ini pandangan Mazhab Syafie.

Oleh yang demikian, ibu ayah bebas untuk memberikan harta yang lebih kepada anak yang tertentu sekiranya berkehendak sedemikian.

 

Syariat Untuk Berlaku Adil

Dalam satu Hadith riwayat Bukhari, ayah kepada Nu’man Ibn Bashir telah memberinya hadiah, tetapi pemberian tersebut ditentang oleh ibunya.

Lalu bapanya merujuk hal ini kepada Rasulullah.

Baginda menyoal beliau, “Adakah kamu memberi kepada semua anak-anak kamu serupa juga?”

Jawabnya, “Tidak”.

Nabi bersabda, “Bertaqwalah kepada Allah, berlaku adillah kepada semua anak-anak kamu”.

Bapanya pulang dan menarik balik pemberian hadiah tersebut. 

 

Kita disyariatkan untuk berlaku adil dalam apa jua situasi termasuklah dalam memberi.

Definisi adil ialah meletakkan sesuatu pada tempat, waktu dan kadarnya.

Maka tidak semestinya adil bermaksud mestilah disamaratakan pemberian kepada semua anak.

Tidak disyariatkan untuk memberikan hadiah yang sama kepada anak-anak. Mungkin adil dicapai apabila mengambil kira perbezaan disebabkan umur dan jantina. 

Malah tuntutan agama untuk berlaku adil kepada anak-anak bukan sahaja bagi pemberian material, bahkan lebih meluas meliputi emosi dan hak mereka mendapatkan kasih sayang ibu bapa. 

Berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi:

أن رجلًا كان جالسًا مع النبي  صلى الله عليه وسلم قال: فجاء بني له فأخذه فقبّله وأجلسه في حجره، ثم جاءت ابنة له، فأخذها فأجلسها إلى جنبه فقال النبي صلى الله عليه وسلم: فما عدلت بينهما.

.Seorang lelaki sedang duduk bersama Nabi SAW dan dia berkata: Anak lelakinya datang kepadanya lalu dia mengambilnya, menciumnya dan meletakkannya di pangkuan.

Kemudian anak perempuannya pula datang kepadanya lalu dia mengambilnya dan meletakkannya di atas pangkuan.

?Nabi SAW bersabda: Mengapa kamu tidak memperlakukan kedua-duanya secara adil

 

Hujah Dibolehkan Pemberian Berbeza 

Hujah dan dalil dibolehkan melebihkan pemberian kepada sebahagian anak ialah dengan mengqiyaskan hukum pandangan ijma’ SAH MENGHIBAHKAN SELURUH harta kepada ORANG LUAR.

Kalaulah orang luar pun dibolehkan untuk menerima keseluruhan harta, apatah lagi anak sendiri menerima harta yang lebih berbanding adik beradiknya — lebih utama lagi untuk dibolehkan. 

Menurut pendapat dalam mazhab Hanbali, harus melebihkan pemberian hibah kepada anak yang lebih memerlukan. Contohnya anak yang mengalami situasi berikut:

  • Anak yang cacat
  • Anak yang tidak mampu berdikari
  • Anak yang mempunyai anak dan tanggungan yang ramai
  • Anak yang miskin 
  • Anak yang sedang belajar 

Bagi ibu bapa yang tidak mahu menghibahkan kepada anak yang buruk perangai dan dibimbangi menggunakan harta tersebut untuk melakukan dosa, hukumnya harus berbuat demikian. 

 

Contoh Praktis Sahabat Nabi 

Para sahabat pun ada yang melebihkan pemberian kepada sebahagian anak:

  • Abu Bakar melebihkan hibah kepada Aisyah
  • Umar al-Khattab melebihkan hibah kepada ‘Asim
  • Ibn Umar melebihkan kepada sebahagian anaknya
  • Abdul Rahman ibn Auf melebihkan hibah kepada walad Ummu Kulthum berbanding anak yang lain

 

Merancang Hibah Harta Yang Berbeza Nilai

Ibu ayah lebih mengenali anak-anak sendiri, sikap, kecenderungan bagaimana setiap anak membelanjakan harta dan keperluan ekonomi keluarga kecil masing-masing. 

Mungkin ada dari kalangan anaknya yang lebih memerlukan kerana

  • belum ada rumah;
  • keluarga lebih besar dan memerlukan;
  • pendapatan keluarga rendah berbanding adik beradik; dan sebagainya. 

Dari sudut praktikal perancangan hibah hartanah, nilaian rumah dan tanah berbeza-beza.

Rumah yang dihibahkan khusus kepada seorang anak mungkin nilaiannya lebih rendah berbanding rumah yang diterima anak yang lain. 

Sekiranya ibu bapa hendak berlaku ‘adil’ dengan meletakkan kesemua nama anak-anak sebagai penerima hibah bagi setiap hartanah untuk memberi secara samarata, akan timbul isu berbangkit pada masa hadapan, antaranya:    

  • Rumah sukar diuruskan kerana ramai pemilik. 
  • Rumah sukar dijual beli sekiranya perlu.
  • Hibah rumah juga menjadi lebih complicated.
  • Apabila ada penama yang meninggal dunia, bahagiannya akan menjadi hakmilik waris-warisnya. Kesannya, terlalu ramai pemilik dalam geran rumah tersebut.

 

Buat Hibah Semasa Masih Boleh

Apa yang dibincangkan di atas adalah perancangan hibah yang dibuat semasa pemilik harta masih hidup.

Iaitu semasa Hibah harta masih lagi boleh dibuat. 

Pemilik harta bebas untuk merancang pengagihan hartanya kepada anak-anak secara samarata mahupun melebihkan serahan kepada anak yang tertentu.

 

Walau bagaimanapun, sekiranya pemilik harta pergi dahulu sebelum sempat membuat hibah, maka kaedah pembahagiannya mengikut apa yang digariskan dalam Hukum Faraid. 

Anak lelaki mendapat sekali ganda bahagian berbanding anak perempuan.

Meskipun terdapat perbezaan hak penerimaan, namun tiada perbahasan dibolehkan pada ketika itu.

Faraid wajib dilaksanakan apabila tiada hibah dan seumpamanya dibuat semasa pemilik harta masih hidup.

 

Wallahua’lam

 

Untuk merancang Hibah Harta, Whatsapp saya Ansari 019-749 8210

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This