Poligami hukumnya harus, tetapi kebiasaannya bukan mudah untuk isteri pertama untuk menghadapinya. Antara isu yang patut dileraikan bagi memastikan keharmonian rumah tangga ialah persetujuan bersama mengenai pembahagian harta yang telah dikumpul sepanjang masa perkahwinan.
Kehadiran orang rumah baru boleh menimbulkan polemik sekiranya urusan harta ini tidak diperjelas dari awal. Dari sudut pewarisan harta, hak isteri pertama dan isteri kedua sama sahaja meskipun berbeza ‘tempoh perkhidmatan’. Bermakna, bahagian Faraid isteri pertama akan mengecil kerana hak faraid sebagai isteri perlu dikongsi sama rata dengan isteri kedua.
Dalam menghadapi situasi suami berpoligami, isteri boleh membuat perjanjian harta sepencarian, ataupun meminta suami untuk menghibahkan harta kepadanya. Persoalannya, solusi mana satu yang lebih menjaga kepentingan isteri… perjanjian harta sepencarian ataupun hibah?
Perjanjian Harta Sepencarian
Perjanjian atau deklarasi harta sepencarian merupakan persetujuan bertulis antara suami dan isteri yang menetapkan pemilikan harta-harta yang dikumpul bersama dalam tempoh perkahwinan.
Namun jangan tidak tahu… perjanjian tersebut tidak terlaksana secara automatik dan belum lagi muktamad.
Maksudnya..?
Walaupun telah ada perjanjian harta sepencarian yang ditandatangani kedua-dua pihak, apabila hendak menuntut hak tersebut tetap perlu mengusulkan tuntutan berkenaan di Mahkamah untuk mendapatkan perintah.
Tuntutan harta sepencarian boleh difailkan di Mahkamah Syariah apabila berlakunya salah satu dari tiga situasi berikut:
✍️ Cerai mati – suami atau isteri meninggal dunia
✍️ Cerai hidup – suami isteri bercerai
✍️ Suami berpoligami
Perbicaraan di Mahkamah lazimnya agak panjang kerana pihak yang menuntut perlu mengemukakan bukti sumbangan langsung dan tidak langsung dalam memperoleh aset bersama yang dituntut sebagai justifikasi tuntutan.
Faktor-faktor lain juga diambil kira oleh Hakim untuk menentukan peratusan hak yang wajar berdasarkan hujah dan bukti yang dikemukakan.
Tidak semestinya nilai bahagian harta sepencarian bagi isteri itu 50% sepertimana kefahaman lazim masyarakat. Mungkin lebih rendah jika isteri tidak bekerja atau menjadi suri rumah tangga.
Meskipun pasangan suami isteri berkenaan pernah menandatangani persetujuan harta perolehan bersama, ia TIDAK mengikat keputusan Hakim untuk menentukan peratusan hak yang wajar diberikan kepada plaintif.
Agak-agak berapa tinggi kemungkinan Hakim akan memutuskan hak harta sepencarian isteri 100%?
Deklarasi Hibah
Hibah adalah pemberian harta semasa pemberi hibah masih hidup lagi.
Oleh itu, hibah boleh ditujukan kepada sesiapa sahaja, dan tiada had pemberian.
Pemberi boleh memberikan 100% harta hibah kepada penerima.
Sekiranya ada pertikaian di kemudian hari, penerima boleh mengusulkan deklarasi Hibah ke Mahkamah untuk dibicara oleh Hakim.
Konteks perbicaraan ialah untuk menentukan Hibah yang itu sah atau tidak, iaitu samada kandungan dokumen dan prosedur hibah yang telah dibuat itu memenuhi rukun-rukun dan syarat Hibah.
Hakim tidak menjalankan perbicaraan untuk menentukan peratusan hak sepertimana perbicaraan harta sepencarian.
Sekiranya Hakim memutuskan Hibah itu sah, maka penerima menerima harta hibah sebagaimana yang telah diakadkan.
Jika peratusan bahagian yang diakad ialah 100% harta hibah, maka isteri akan menerima 100%.
Mana Satu Lebih Efektif?
Secara peribadi, saya beranggapan Hibah lebih mudah untuk dilaksanakan berbanding Harta Sepencarian.
Bukanlah saya maksudkan penyediaan dokumen Hibah dan penghujahan hibah di Mahkamah itu mudah, kerana penyedia dokumen mestilah faham selok belok undang-undang dan syariah.
Maksud saya ialah jika isteri berkehendakkan hak 100% ke atas harta tertentu, dia perlu memujuk suaminya untuk menghibahkan harta itu 100% kepadanya.
Sekiranya berlaku argumentasi di kemudian hari, isteri berpotensi besar untuk mendapatkan 100% hak tersebut menerusi Hibah yang telah dibuat.
Untuk pasangan yang hendak membuat Hibah harta, boleh Whatsapp Ansari 019-749 8210
