Dalam perancangan kewangan Islam, polisi takaful sering menjadi alat penting untuk melindungi kewangan keluarga apabila berlaku musibah. Apabila seseorang peserta takaful meninggal dunia, manfaat takaful boleh diagihkan kepada pihak yang layak melalui dua kaedah utama, iaitu diagihkan kepada penerima hibah atau kepada wasi.

Pilihan kaedah agihan ini ditetapkan semasa mengambil polisi Takaful. Kesannya sangat penting yang menentukan peranan penama yang dinamakan. Samada penama itu adalah penerima mutlak atau hanya sekadar pemegang amanah.  

Sekiranya polisi Takaful diambil untuk tujuan melangsaikan hutang yang mungkin berbaki nanti, maka perlu faham implikasi pilihan hibah atau wasi. Kalau salah pilih kaedah agihan tersebut, dikhuatiri penama tidak terikat pun untuk menggunakan wang Takaful untuk membayar hutang seperti yang diharapkan!

 

Agihan Manfaat Takaful Secara ‘Hibah’

Agihan secara Hibah membolehkan peserta menamakan individu tertentu sebagai penerima mutlak wang pampasan Takaful. Manfaat takaful akan disalurkan terus kepada penerima yang dinamakan, dan tidak diagihkan kepada waris-waris lain mengikut hukum faraid.

Penerima hibah Takaful boleh menggunakan wang tersebut mengikut keperluan sendiri. Malah penerima tidak terikat pun untuk menggunakan wang Takaful bagi membayar hutang peserta Takaful yang sudah arwah.

Disebabkan metod agihan yang dipilih adalah ‘hibah’, maka bergantung kepada penerima hibah untuk membantu membayar hutang arwah.

Nak bantu atau tidak, bergantung atas ihsan penerima. 

 

Agihan Manfaat Takaful Secara ‘Wasi’

Selain kaedah ‘hibah’, peserta takaful juga boleh menamakan penama sebagai wasi dalam polisi Takaful. Sebelum kaedah hibah bagi Takaful diluluskan menerusi penggubalan Akta IFSA pada tahun 2013, kaedah wasi ini yang digunapakai bagi mengagihkan manfaat Takaful.

Wasi BUKAN penerima mutlak manfaat Takaful, tetapi sekadar pentadbir dan pemegang amanah yang dilantik untuk menguruskan wang pampasan Takaful yang diterima.

Wasi menguruskan agihan mengikut tertib pengurusan harta pusaka.

Dalam hal ini, wasi dipertanggungjawabkan untuk memastikan hutang si mati dilangsaikan terlebih dahulu sebelum baki manfaat takaful dibahagikan mengikut hukum faraid kepada waris-waris yang layak.

 

Mana yang Terbaik: Hibah atau Wasi?

Keputusan antara hibah atau wasi bergantung kepada objektif dan keutamaan perancangan kewangan peserta takaful.

Jika si mati mempunyai banyak hutang yang perlu dilangsaikan dan ingin mengikat pampasan Takaful digunakan bagi membayar hutang tersebut, maka agihan kepada wasi boleh dipertimbangkan. Tanggungjawab Wasi adalah untuk memastikan kos kebumi dan hutang dilunaskan terlebih dahulu sebelum bakinya dibahagikan mengikut hukum faraid.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan adanya kelemahan dari segi pemantauan. Tidak ada mekanisme yang khusus untuk mengawal tindakan wasi atau memastikan mereka benar-benar melaksanakan tugas ini dengan adil. Jika wasi tidak amanah atau berlaku kelewatan dalam pelaksanaan, waris mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan hak mereka, dan hutang si mati mungkin juga tidak dilunaskan.

Dalam aspek ini, walaupun kaedah hibah tidak mengikat penerima untuk membayar hutang peserta takaful, namun mungkin sebagai balasan keprihatinan menghibahkan manfaat Takaful kepadanya membangkitkan rasa ihsan penerima tersebut nanti untuk memenuhi pesanan untuk membayar hutang. 

Fahami beza agihan manfaat polisi Takaful secara hibah dan wasi dan implikasinya.

Jika pilihan agihan kepada wasi, pastikan wasi seorang yang amanah dan bertanggungjawab.

Jika pilihan kepada penerima hibah, pesan dan yakinkan penerima untuk menggunakan wang pampasan Takaful bagi melunaskan hutang dahulu.

Ada cara lain yang lebih advanced, tetapi saya reserve untuk artikel yang lain..

 

Wallahua’lam

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This