Penggunaan instrumen wakaf zurri sebagai kaedah untuk pewarisan harta keluarga tidak diketahui ramai dan belum diamalkan secara meluas di Malaysia. Berbeza dengan bentuk wakaf yang sering kita fahami, penerima manfaat bagi wakaf zurri yang juga dikenali sebagai wakaf ahli ditujukan kepada keturunan keluarga pewakaf.

Ciri khusus wakaf yang berbentuk kekal memastikan kesinambungan manfaat dari harta yang diwakafkan bagi keseluruhan keturunan pewakaf sehingga bergenerasi. 

Meskipun begitu, perlaksanaan wakaf zurri lebih kompleks dan sukar untuk dilakukan oleh Majlis Agama Negeri (MAIN). Kepakaran tambahan diperlukan sekiranya harta wakaf berkenaan diserahkan kepada MAIN untuk diusahakan dan dimajukan. Begitu juga sebagai pentadbir, MAIN perlu memastikan hasil manfaat diagihkan kepada waris keturunan tanpa ada yang tercicir. 

 

Sejarah Amalan Wakaf Zurri

Amalan wakaf keluarga ini banyak diamalkan pada masa dahulu iaitu sekitar 1920an sehingga 1960an.

Di Mesir pada tahun 1928-1929, wakaf zurri lebih popular dan menghasilkan lebih banyak pendapatan berbanding jenis wakaf yang lain.

Di Turki, sehingga ke hari ini hasil pendapatan dari wakaf zurri memberi impak terhadap ekonomi negara. 

 

Kesan Baik Wakaf Zurri Kepada Pewakaf

>> Ketenangan jiwa dan kepuasan kepada pewakaf apabila hartanya dapat dimanfaatkan oleh ahli keluarga sendiri yang silih berganti.

>> Pewakaf tidak perlu bimbang kemungkinan ahli keluarga salah guna atau boros menggunakan harta warisannya kerana ia ditadbir secara wakaf.

>> Pentadbiran harta warisan dilaksanakan secara sistematik dan mengelakkan pembaziran.

>> Mengukuhkan persaudaraan dan keprihatinan, yang berterusan dari satu generasi ke generasi lain.

>> Mengikis sifat tamak dan kedekut

 

Kaedah Perlaksanaan Wakaf Zurri

>> Pewakaf melaksanakan hasrat untuk wakaf menerusi dokumen bertulis iaitu ‘Surat Cara Wakaf’. Dokumen ini mengandungi perincian spesifikasi aset yang diwakafkan, benefisiari dan hasrat pewakaf.

>> Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) akan bertindak sebagai pentadbir dan pemegang amanah bagi harta wakaf. Aset tersebut akan didaftarkan di bawah MAIN.     

>> MAIN perlu mengenalpasti dan sentiasa mengemaskini waris-waris dari susur galur keturunan pewakaf bagi memastikan kesemua mereka mendapat agihan manfaat dari harta wakaf.

>> MAIN yang mentadbir dan memajukan harta wakaf sepenuhnya akan mengenakan peratusan kos pengurusan sepertimana yang telah diluluskan oleh majlis fatwa negeri berkenaan. Terdapat MAIN yang mengambil 20% daripada manfaat wakaf zurri bagi kos pengurusan.  

>> MAIN membangunkan aset wakaf zurri melalui kerjasama dengan badan korporat seperti menguruskan kompleks perniagaan, rumah kedai dan sebagainya.

>> Terdapat juga MAIN yang hanya menguruskan pendaftaran aset wakaf zurri di bawah MAIN tersebut sahaja. Pemajuan aset diurus sendiri oleh waris-waris pewakaf. Maka waris-waris yang menguruskan perlulah ada kepakaran agar hasil dari manfaat aset dapat dipastikan berterusan. 

 

Halangan Pengamalan Wakaf Zurri di Malaysia

Kalau diteliti kaedah perlaksanaan wakaf zurri, kita dapat lihat ia agak kompleks untuk dilaksanakan secara efisien dan berkesan. Pelbagai halangan yang boleh berlaku, antaranya:

>> Pentadbiran MAIN haruslah cekap memastikan aset dapat dimajukan dan mengeluarkan hasil yang berterusan. Perlu juga sumber tenaga kerja yang mencukupi dan berkepakaran.

>> Pengagihan hasil perlu teliti agar tiada waris yang tertinggal. 

>> Sekiranya aset wakaf zurri diurus dan dimajukan sendiri oleh para waris, perlu kepada waris yang berkepakaran. Boleh berbangkit juga isu integriti dalam mengagihkan hasil kepada benefisiari kerana waris yang mentadbir mempunyai kepentingan tersendiri. 

>> Isu pemantauan pemajuan aset dan pengagihan hasil secara saksama. Perlu ada pihak ketiga sebagai badan pemantau. 

>> Pengamalan di Malaysia belum lagi mengehadkan bilangan keturunan yang menerima manfaat. Maka ia boleh berterusan sehingga beratus-ratus generasi sekalipun. Perbezaan generasi memungkinkan berlakunya pertelingkahan antara waris.  

 

Perbezaan Wakaf Zurri dengan Hibah dan Wasiat

Ciri-ciri utama yang membezakan wakaf zurri dengan hibah dan wasiat adalah pengekalan status aset berkenaan.

Harta yang diwakaf tidak boleh dijual, dipindah milik dan tiada tarikh luput.

Harta yang diperoleh menerusi Hibah atau Wasiat adalah hak mutlak penerima. Penerima bebas untuk mengguna, menjual ataupun memindahmilik harta tersebut kepada orang lain.  

 

Wallahua’lam.

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This