Kenyataan LHDN baru-baru ini bahawa mereka akan menuntut cukai pendapatan tertunggak apabila seseorang itu meninggal dunia bukanlah sesuatu yang baru, namun baik untuk peringatan. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, “tunggakan pembayar cukai yang sudah meninggal dunia hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dibuat”.

Pastinya LHDN tidak akan bermudah-mudah untuk menghapuskan tanggungjawab cukai. Bagi menuntut bayaran tersebut, antara langkah yang dibuat ialah LHDN akan menghantar surat rasmi kepada waris atau pentadbir harta pusaka si mati.   

Cukai tertunggak ialah hutang kepada manusia yang perlu dilunaskan. Itu yang umumnya kita fahami, namun berbangkit baru-baru ini pendapat yang berlainan dari seorang mufti. Tak apalah.. itu kita serahkan kepada para ilmuan untuk berbahas. 

Secara praktikalnya bagi kita, persoalan yang wajar difikirkan ialah.. 

Bagaimana sekiranya arwah tidak meninggalkan harta pusaka yang banyak dan tidak mencukupi, atau hanya rumah pusaka sahaja harta yang ditinggalkan?

Adakah waris dibebankan untuk menanggung bayaran tunggakan cukai arwah berkenaan? 

 

Tunggakan Cukai Pembayar yang Telah Meninggal Dunia Tahun 2019-2022

Banyak sebenarnya amaun tunggakan cukai yang tidak sempat dibayar oleh pembayar cukai yang telah meninggal dunia.

Menurut rekod LHDN, pada tahun taksiran 2019 sebanyak RM182.93 juta tertunggak, melibatkan 22,455 orang pembayar cukai.

Nilainya menurun kepada RM124.34 juta pada tahun 2020 dan menurun lebih signifikan lagi pada tahun 2021 seiring dengan berkurangnya bilangan pembayar cukai yang meninggal dunia.

Tahun Nilai Tunggakan Cukai (RM) Bilangan Pembayar Cukai yang Meninggal Dunia
2019 182 juta 22,455
2020 124 juta 16,860
2021 23 juta 2,539
2022 42 juta 3,152

Melihatkan perbezaan data yang begitu besar bagi tahun 2019-20 dengan 2021-22, saya sendiri pun curious hurmm..

Pucuk pangkalnya, apabila pembayar cukai meninggal dunia dengan meninggalkan tunggakan, peruntukan bayaran tersebut diambil dari harta pusaka yang ditinggalkannya.

Secara langsung, waris-waris juga akan terkesan – mereka akan menerima bahagian pusaka yang lebih kecil setelah ditolak amaun tersebut

 

Akta Perundangan Mengenai Cukai Tertunggak dan Implikasi Kepada Waris

Cukai tertunggak wujud apabila baki cukai yang dikenakan gagal dibayar oleh pembayar cukai dalam tahun semasa sehingga melangkau ke tahun taksiran berikutnya.

Menurut akta, tanggungjawab melunaskan cukai pendapatan tertunggak arwah diletakkan di bahu waris, wasi atau pentadbir pusaka yang dilantik.

Menurut Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967):  

Sekiranya seseorang meninggal dunia pada tahun asas untuk satu tahun taksiran, pelaksananya hendaklah ditaksir dan dikenakan cukai untuk tahun taksiran tersebut, untuk tahun taksiran berikutnya dan, bila perlu, untuk tahun taksiran sebelumnya mengenai pendapatan bercukai bagi individu tersebut… jika ia boleh dinilai dan dikenakan cukai… kerana individu tersebut akan dinilai dan dikenakan cukai sekiranya dia tidak meninggal dunia.“

Seksyen 74 ini menetapkan bahawa waris si mati boleh dikenakan taksiran sepertimana taksiran dikenakan ke atas si mati.

Taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematian individu tersebut dan taksiran ini akan dibuat atas nama waris yang sah. Satu fail baharu akan didaftarkan untuk tujuan menaksir pendapatan harta pusaka si mati.

Waris atau pentadbir harta pusaka wajib melaporkan pendapatan harta pusaka si mati di bawah pentadbirannya dengan menggunakan Borang Nyata Cukai Pendapatan untuk harta pusaka iaitu Borang TP.

Dari segi kadar cukai yang dikenakan terhadap pentadbir harta pusaka atau waris yang sah pula, ianya adalah sama dengan kadar cukai yang dikenakan atas seseorang individu.

Punca kuasa yang membenarkan LHDN menuntut tunggakan cukai dari pusaka si mati ialah dari Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) dan Seksyen 74 di atas. 

Menerusi Seksyen 106, waris atau wasi si mati yang gagal melangsaikan tunggakan tersebut boleh diambil tindakan dan dihadapkan ke prosiding Mahkamah Sivil bagi tujuan tuntutan.   

“Cukai yang perlu dibayar dan kena dibayar dapat dipulihkan oleh Kerajaan melalui prosiding sivil sebagai hutang yang harus dibayar kepada Kerajaan.”

 

Mufti Berbeza Pandangan: Cukai Bukan Hukum Syarak, Maka Bukan Hutang?

Pandangan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor selari dengan pandangan konvensional, iaitu tunggakan cukai termasuk dalam hutang yang wajib dibayar.

Bagaimanapun Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berbeza pandangan. Menurutnya, cukai adalah tuntutan kerajaan, dan bukannya hukum syarak. Maka tunggakan cukai bukanlah hutang yang boleh dituntut apabila pembayar cukai itu meninggal dunia. Ia berbeza dengan zakat yang disyariatkan; Jika ada zakat tertunggak, wajib dilunaskan. 

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan JAKIM akan mengadakan kajian syarak bersama bagi membincangkan isu berbangkit tersebut.  

 

Cukai ‘Pasti’ Dituntut

Cukai adalah antara sumber pendapatan utama bagi kerajaan. Maka tidak hairanlah pelbagai usaha dibuat bagi mendapatkan cukai tertunggak.

Pendek kata, walau dah tiada di muka bumi sekalipun, kita tidak dapat melepaskan diri dari tuntutan membayar cukai.

Saya akhiri perkongsian dengan kata-kata Benjamin Franklin yang popular menyentuh cukai:

“Our new Constitution is now established, and has an appearance that promises permanency; but in this world nothing can be said to be certain, except death and taxes”  

 

Wallahua’lam.

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This