Banyak salah faham tentang wasiat yang berlegar dalam masyarakat yang menyebabkan mereka keliru tentang fungsi sebenar wasiat dalam pewarisan. Ini ditambah lagi dengan kekeliruan yang disengajakan oleh pemain industri yang mengatakan semua orang Islam mesti ada wasiat kerana ianya WAJIB.
Meletakkan hukum wasiat itu wajib adalah tersasar jauh kerana hukum wajib itu telah dimansuhkan dan untuk praktis kita pada hari ini wasiat adalah sunat muakkad.
Ada juga daripada perunding mereka yang mengelirukan masyarakat dengan menafikan dokumen wasiat yang dibuat kepada waris boleh terbatal apabila ada waris lain tidak bersetuju. Namun apakah penafian tidak terbatal itu merujuk secara khusus tentang wasiat pentadbiran atau wasiat agihan?
Berikut saya senaraikan tiga SALAH FAHAM tentang wasiat yang banyak berlegar dalam masyarakat:
a) Terdapat Ayat Quran yang Me’wajib’kan Wasiat
Masih ada perunding yang menyebarkan salah faham wasiat itu wajib dilakukan, dengan bersandarkan ayat al-Quran dari surah al-Baqarah:180
كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِن تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ
“Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, (hendaklah ia) berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.
Memang benar, ayat ini mensyariatkan kewajipan berwasiat kepada ibu bapa dan kaum kerabat. Namun begitu, jangan berpegang kepada hukum secara zahir sahaja, kita perlu baca juga tafsiran ulama kerana dalam ilmu Quran, ada ayat hukum yang telah dinasakh atau digantikan dengan ayat lain.
Hukum wasiat dari ayat dari surah Baqarah:180 ini hanya terpakai semasa awal peringkat permulaan Islam. Kewajipan berwasiat ini telah dimansuhkan dengan turunnya ayat-ayat pewarisan dari surah an-Nisa’: 11, 12, dan 176 yang menggariskan dengan terperinci siapa waris-waris Faraid dan hak setiap dari mereka.
Ini adalah pandangan ijma’ ulama semasa dan terdahulu, antaranya para sahabat seperti Abu Bakr, Ali, Ibnu Umar dan keempat-empat Mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali. Dengan itu, hukum berwasiat adalah harus, dan tidak lagi menjadi wajib.
b) Boleh Buat Wasiat Kepada Waris
Ini adalah salah faham yang boleh mendatangkan mudarat di kemudian hari, kerana ramai yang menyangka wasiat itu kepada waris akan terlaksana tanpa adanya masalah. Dalam drama juga sering memperlihatkan peguam membacakan wasiat di hadapan waris yang berkumpul; Walaupun ada waris yang membantah, kerana kurangnya pengetahuan tentang ilmu pewarisan, wasiat itu tetap dilaksanakan menurut apa yang tertulis.
Wasiat kepada waris adalah tidak selari dengan hukum syariah. Jumhur fuqaha’ tidak mengharuskan wasiat kepada waris. Wasiat hanya sah ditujukan kepada bukan waris Faraid seperti anak angkat, anak tiri, cucu yang bukan waris, infaq dan sebagainya.
أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
Maksudnya: “Sessungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris” Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)
Pemberian wasiat juga terhad kepada 1/3 daripada keseluruhan harta.
عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه, قُلتُ: يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ
Maksudnya: Daripada Saad bin Abi Waqqas RA, aku telah berkata: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”. Riwayat al-Bukhari
Walaubagaimanapun, ada yang berpendapat wasiat kepada waris sah, dengan syarat mendapat persetujuan daripada ahli waris yang lain SELEPAS KEMATIAN pemberi wasiat. Dari segi praktikal, membuat wasiat kepada waris lebih berbentuk PESANAN, kerana arahan wasiat itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua waris tidak membantah selepas pewasiat itu meninggal dunia.
Tiada bentuk perjanjian atau cakap mulut daripada waris lain semasa pewasiat hidup yang boleh digunakan oleh waris penerima manfaat sebagai hujah untuk menjamin mereka tidak akan membantah di kemudian hari.
c) Kenapa Ada Perunding Yang Kata Wasiat Tidak Terbatal?
Ada perunding syarikat yang mempromosikan wasiat gigih menafikan wasiat yang mereka buat akan terbatal.
Perunding tersebut cuba mengelirukan masyarakat dengan mengambil kesempatan atas kekurangan pengetahuan umum mengenai wasiat. Sebenarnya, mereka tidak menolak wasiat kepada waris akan terbatal apabila ada bantahan waris lain. Wasiat yang mereka maksudkan tidak terbatal itu adalah wasiat pentadbiran melantik wasi.
Ada beberapa jenis WASIAT di Malaysia untuk orang Islam, dua yang utama adalah:
i) WASIAT PENTADBIRAN
Ini jenis wasiat yang paling banyak dibuat oleh institusi kewangan termasuk syarikat amanah. Kandungan utama wasiat pentadbiran ini ialah untuk melantik WASI yang akan bertanggungjawab menguruskan harta pusaka pewasiat.
WASI boleh terdiri dari individu atau syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad atau majlis agama Islam negeri yang mempunyai bidang kuasa di bawah enakmen wasiat masing-masing.
Inilah sebenarnya jenis wasiat yang dimaksudkan oleh perunding syarikat tersebut yang tidak terbatal.
Lazimnya, wasiat pentadbiran yang mereka buat adalah persetujuan pewasiat untuk melantik syarikat mereka sebagai Wasi. Kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil, meskipun nilai harta di bawah nilaian RM2 juta. Wasiat yang melantik WASI ini akan berkuatkuasa walaupun ditentang oleh waris, jika waris tidak mempunyai asas kukuh untuk menentang.
Kesan utama membuat wasiat pentadbiran melantik syarikat kepada wasi adalah kos yang tinggi, iaitu untuk menampung kos perbicaraan pusaka yang perlu dibuat di Mahkamah (tidak boleh di Pusaka Kecil), dan kos membayar syarikat yang menguruskan pentadbiran tuntutan pusaka.
ii) WASIAT AGIHAN/PEMBAHAGIAN
Wasiat agihan atau pembahagian adalah jenis wasiat yang banyak difahami oleh masyarakat, iaitu dokumen yang menyatakan kepada siapa harta pusaka nak diagihkan. Wasiat orang Islam berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Jangan keliru dengan Akta Wasiat 1959 di bawah kuasa Mahkamah Sivil. Akta Wasiat ini tidak terpakai kepada orang Islam.
Sepertimana yang telah dinyatakan, wasiat agihan 1/3 harta pusaka BERKUATKUASA sekiranya penerima adalah bukan waris. Wasiat kepada waris TIDAK BERKUATKUASA sekiranya ada bantahan daripada waris-waris yang lain.
Kesimpulan
Sebagai ringkasan, ini point yang perlu anda fahami betul-betul agar tidak lagi adanya salah faham tentang wasiat:
i) Wasiat dikhususkan kepada BUKAN WARIS
ii) Jika dibuat juga wasiat kepada waris, ia berfungsi sebagai PESANAN kerana tertakluk kepada persetujuan waris lain SELEPAS penulis wasiat meninggal dunia.
iii) Wasiat yang tidak batal yang dimaksudkan oleh perunding wasiat adalah WASIAT PENTADBIRAN yang dibicarakan di Mahkamah Sivil. Bukannya wasiat agihan. Kesannya adalah kos perlaksanaan untuk pengurusan pusaka yang tinggi.
- Hibah Solusi Bagi Muallaf Wariskan Harta Kepada Keluarga Bukan Islam - November 11, 2024
- Old Money: Warisan Kekayaan dan Pewarisan Harta dari Generasi ke Generasi - November 10, 2024
- Takaful untuk Langsai Hutang: Pilih Agihan Secara Hibah atau Wasi? - November 6, 2024