Hibah ialah pemberian hadiah yang dibuat semasa pemberi hibah MASIH HIDUP. Secara dasarnya hibah adalah pemberian harta yang dibuat atas dasar kasih sayang, dan tanpa mengharapkan balasan dari penerima.
Namun dengan peredaran zaman dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat, terdapat keperluan berbangkit yang timbul. Dalam pemberi hibah menunaikan hasratnya mewariskan harta kepada penerima, terdapat kebimbangan berlakunya perkara yang tidak diingini setelah harta tersebut dihibahkan.
Selaras dengan itu, para ulama’ membincangkan kaedah bagi meluaskan pengamalan Hibah tanpa melanggar pematuhan rukun dan syarat hibah yang ditetapkan syara’. Hasilnya, terdapat beberapa jenis hibah yang diperkenalkan sebagai metod pewarisan harta.
Jenis-jenis Hibah Dalam Islam
Umumnya, terdapat tiga (3) jenis Hibah yang dipraktis. Iaitu:
- Hibah Mutlak
- Hibah Bersyarat
- Hibah Amanah
Hibah Mutlak ialah pemberian harta yang tidak disertakan dengan syarat manakala Hibah Bersyarat diikatkan dengan syarat tertentu.
Hibah Amanah lebih kompleks dengan menggabung jalin instrumen hibah dengan amanah.
Hibah Mutlak
Hibah Mutlak adalah jenis hibah yang straightforward.
Sebagai contoh Hibah Mutlak yang lazim, ibu ayah membuat pindahmilik rumah kepada anak dengan menggunakan Borang 14A di Pejabat Tanah. Dalam Borang 14A, tiada ruang untuk meletakkan sebarang peruntukan sebagai syarat pemberian.
Setelah selesai sahaja proses pindahmilik, nama di geran berubah kepada nama anak.
Anak sebagai pemilik baru bebas melakukan apa sahaja ke atas rumah tersebut – termasuklah menjual rumah tersebut, atau lebih teruk lagi menghalau ibu ayah keluar dari rumah.
Sedihnya, terdapat kes sebegini yang telah berlaku.
Kaedah alternatif untuk mengelakkan tindakan anak itu ialah dengan membuat dokumen Hibah Mutlak, tidak secara pindahmilik terus. Penama di geran masih kekal yang asal, namun dari sudut syara’ harta itu telah dihibahkan kepada anak.
Namun bagaimana situasi Hibah Mutlak sekiranya penerima yang pergi dulu?
Bagi Hibah Mutlak, sekiranya PENERIMA meninggal dunia dahulu dari PEMBERI, harta yang dihibahkan akan menjadi milik waris-waris Faraid PENERIMA.
Solusinya ialah dengan membuat jenis Hibah Bersyarat Ruqba.
Hibah Bersyarat
Sepertimana namanya, Hibah Bersyarat adalah perakuan pemberian hibah yang diikat dengan syarat.
Adakah pemilik harta boleh menetapkan apa-apa syarat yang disukainya dalam Hibah?
Jawapannya, TIDAK BOLEH.
Malah kesan dari syarat yang ‘rosak’ (fasid) boleh mengakibatkan Hibah berisiko terbatal!
Disebabkan itu, perletakan syarat hanya terhad kepada syarat-syarat yang diperakui oleh ulama’ dan pakar-pakar bidang sahaja.
Hibah Bersyarat yang dibincangkan ulama’ ada tiga (3), iaitu:
- Hibah Bersyarat Ruqba
- Hibah Bersyarat ‘Umra
- Hibah Dengan Syarat Balasan
Hibah Bersyarat Ruqba dan ‘Umra berkait dengan kematian atau umur/hayat pemberi dan penerima.
Hibah dengan syarat balasan pula hibah yang diikat dengan syarat balasan tertentu. Balasan apa yang dibolehkan panjang untuk dikongsikan di sini.
Kebanyakan jenis Hibah yang dibuat ialah Hibah Bersyarat Ruqba.
Contoh lafaz syarat ruqba adalah seperti berikut:
“Jika aku mati sebelum kamu, harta ini menjadi milik kamu. Dan sekiranya kamu mati dahulu sebelum aku, harta ini menjadi milik aku kembali”
Kesan dari syarat tersebut ialah sekiranya anak selaku penerima hibah meninggal dunia dahulu, maka harta itu akan kembali menjadi hakmilik ibu ayah sebagai pemberi.
Ia berlainan dengan Hibah Mutlak yang mana rumah itu akan menjadi hakmilik waris-waris Faraid anak tersebut, meskipun pemberi hibah masih hidup lagi.
Hibah Amanah
Hibah Amanah ialah gabungan prinsip amanah yang dimuatkan dalam produk hibah.
Kaedahnya, Pemberi hibah tidak terus menghibahkan harta tersebut kepada penerima yang dikehendakinya.
Sebaliknya, dia melantik individu atau syarikat amanah sebagai pemegang amanah yang menerima harta yang dihibahkan.
Apabila pemberi sudah tiada kelak, pemegang amanah tersebut bertanggungjawab untuk menyerahkan harta yang diterimanya kepada penerima sebenar.
Memilih Jenis Hibah Yang Sesuai
Jenis hibah yang TERBAIK bergantung kepada keperluan dan kehendak pemilik harta.
Kebanyakan klien memilih untuk membuat hibah bersyarat Ruqba kerana di samping dapat mewariskan harta kepada mereka yang dihasratkan, kaedah ini juga memelihara kebajikan dan kepentingan pemberi hibah dalam situasi penerima yang pergi dahulu.
Ada juga segelintir kecil yang memilih Hibah Mutlak, antaranya untuk mengelakkan harta pergi kepada waris yang kurang disenanginya.
Hibah Amanah pula ada fungsinya tersendiri apabila menggunakan khidmat pemegang amanah sebagai orang tengah. Namun, tidak kurang cabaran yang boleh timbul kerana produk hibah dan amanah tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah yang berlainan.
Perancangan pewarisan harta memang boleh memeningkan. Sebab itu adanya saya untuk membantu anda merancang!
Whatsapp saya Ansari 019-749 8210 untuk mengHibahkan harta
- Hukum Hibah Harta Semasa Menderita Penyakit Terminal - November 1, 2024
- Kesan Kematian Rakan Kongsi Dalam Perniagaan Perkongsian - October 1, 2024
- SC Perkenal Insentif Cukai Sifar Peratus Dari Pelaburan ‘Family Office’ - September 24, 2024