Kerana berita viral..
Seringkali seseorang itu tersedar perlunya merancang harta pusaka apabila berlakunya musibah kematian dalam kalangan ahli keluarganya ataupun melalui berita viral. Seperti iman yang bergolak, kesedaran ini ada naik dan turunnya – dan bermusim. Apabila sesuatu isu keluarga waris berebut harta banyak berlegar di ruangan viral, netizen pun sama rancak membincangkan solusi. Istilah hibah, wasiat dan juga faraid mula menjadi sebutan. Tetapi apabila isu viral berubah topik, yang sedihnya kesedaran ini mula lenyap sama.
Bagi yang membuat tindakan susulan sementelah mengambil teladan daripada berita viral, syabas kepada anda. Namun jangan sembereno mendaftar apa sahaja di depan mata. Sebelum mendaftar dokumen perancangan, anda perlu buat homework dahulu. Secara ringkasnya, anda perlu senaraikan kesemua aset yang ada dan anggarkan nilai keseluruhannya mengikut harga semasa. Anda perlu berbincang bagaimana harta tersebut hendak dibahagikan sebelum memutuskan dokumen perancangan yang paling sesuai digunakan untuk mencapai tujuan tersebut. Seterusnya siapa yang akan dipertanggungjawab untuk menguruskan prosedur tuntutan pusaka tersebut.
Maka sebelum anda perancangan hibah atau wasiat dibuat, pastikan anda sudah buat due dilligence sewajarnya.
4 langkah awal merancang pusaka
1) Membuat senarai aset dan hutang terkini
Ini adalah langkah yang penting bukan sahaja dalam perancangan pusaka malah dalam perancangan kewangan semasa anda hidup lagi. Dengan menyenaikan kesemua aset dan hutang/liabiliti, anda dapat gambaran kedudukan kewangan semasa:
i) Adakah anda perbelanjaan hampir menyamai pendapatan.
ii) Berapa lama lagi tempoh pinjaman yang perlu dilangsaikan.
iii) Dan yang penting, sekiranya anda mati hari ini, adakah aset dan tunai yang ada cukup untuk kegunaan waris dan melangsaikan hutang yang ada.
Tidak ketinggalan ialah menyenaraikan perlindungan Takaful yang diambil, sama ada ia berbentuk pampasan nyawa/ Hibah Takaful ataupun Takaful ke atas pinjaman perumahan seperti MRTA yang akan melangsaikan baki pinjaman. Berkenaan MRTA, anda perlu pastikan MRTA yang diambil
i) melindungi sepanjang tempoh pinjaman, DAN
ii) nilai coverage cukup untuk melindungi nilai harga rumah.
Sekiranya kedua-dua syarat ini tidak dipenuhi, bank tidak akan melangsaikan keseluruhan pinjaman rumah seperti yang anda mahukan. Akibatnya waris terpaksa top up untuk membayar baki pinjaman. Untuk mengelakkan beban ke atas waris, aoa yang anda boleh buat ialah revise kontrak MRTA yang tidak cukup tu dengan menambah coverage atau memanjangkan tempoh coverage.
Cara lain ialah dengan top up baki yang tidak dilindungi MRTA itu dengan mengambil Hibah Takaful. Tentang ini saya nak tambah sikit.. tiada arahan yang akan mengikat waris bagaimana pampasan Hibah itu digunakan. Untuk PASTIKAN Hibah Takaful digunakan untuk melangsaikan baki pinjaman rumah, anda perlu buat Surat Ikatan Amanah dengan Wasiyyah Shoppe.
Sebab saya tekankan mengenai Surat Ikatan Amanah ialah kerana ia bersangkut dengan hutang yang perlu dilangsaikan. Seperti yang saya kongsikan di SINI, hutang akan di bawa sehingga ke akhirat, bukan terhenti di dunia sahaja. Jika kita mati tanpa sempat melangsaikan hutang yang ada, pemiutang boleh menuntutnya di akhirat. Jangan sesekali pandang ringan. Tuntutan hutang di akhirat itu sangat lah buruk azabnya.
Selain daripada fungsi di atas, senarai aset ini juga akan menentukan prosedur tuntutan – sama ada ianya diproses di pejabat pesaka kecil, amanah raya, ataupun mahkamah. Ke mana waris perlu tuju bergantung kepada nilai harta keseluruhannya dan bentuk harta – sama ada harta itu harta alih, harta tak alih atau keduanya. Jika tersilap, ia akan menyusahkan waris kerana terpaksa berulang alik membuat tuntutan. Perlu disebut, tiadanya komitmen masa dan wang untuk membuat tuntutan ini antara faktor yang membuatkan banyak tuntutan pusaka tergendala dan harta tak dituntut bertambah setiap tahun.
Lihat jadual ini untuk tahu institusi mana yang akan memproses tuntutan pusaka waris anda..
2) Ketahui waris yang berhak menerima bahagian mengikut Faraid
Pembahagian harta menurut Faraid telah digariskan dalam al-Quran dengan jelas menerusi surah an-Nisa’:11, 12, 176.
Adakah ini bermaksud kita ditegah membuat Hibah dan Wasiat kerana ia seperti ‘membelakangkan’ faraid, yakni suruhan Allah?
Sudah tentunya TIDAK.
Hibah dan Wasiat adalah pelengkap. Kerana setiap struktur keluarga kita berbeza. Perangai berbeza. Pegangan agama berbeza. Ada keluarga yang menjaga tanggungjawab, ada yang melepas tangan. Ada yang hanya berminat merebut harta. Faraid bersangkut paut dengan tanggungjawab memelihara waris menggunakan bahagian harta pusaka yang ditinggalkan. Malangnya adakah itu yang masyarakat faham? Untuk kefahaman lebih baik mengenai isu ini, anda boleh baca persoalan Hibah vs Faraid yang dijawab oleh CEO Wasiyyah Shoppe, En Ariffin Sabirin di SINI.
Faraid ini umpama pembahagian secara default. Sekiranya tiada perancangan lain seperti Hibah atau Wasiat yang dibuat, maka waris yang berhak adalah secara automatik menurut pembahagian faraid. Ayat al-Quran yang menerangkan Faraid seperti berikut:
SURAH AL-NISA’ AYAT 11 (Bahagian anak, ibu dan bapa)
.
“Allah perintahkan kamu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
.
Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh simati.
.
Dan jika anak perempuan itu seorang saja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu.
.
Dan bagi ibu-bapa (simati), tiap-tiap seorang dari keduanya, seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh simati, jika simati itu mempunyai anak. Tetapi jika simati tidak mempunyai anak, sedangkan yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya sahaja, maka bahagian ibu ialah sepertiga.
.
Kalau simati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam.
.
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayar hutangnya…”
.
SURAH AL-NISA’ AYAT 12 (Bahagian suami isteri dan adik beradik seibu)
.
“Dan bagi kamu (suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu, jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta..
.
Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak, maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan dari harta..
.
…yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah seperenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dan perempuan)…
.
wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudharat (kepada waris-waris)”
.
SURAH AL-NISA’ AYAT 176 (Bahagian adik-beradik kandung dan adik beradik sebapa)
.
“…yang tidak mempunyai anak dan dia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan dia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuan, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak.
.
Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh simati.
.
Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan.”
.
3) Mengenalpasti pemberian kepada Bukan Waris/Wakaf
Siapakah golongan Bukan Waris?
Bukan waris adalah individu yang tidak mendapat bahagian pusaka menurut pembahagian Faraid. Antaranya orang luar yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan, anak angkat, anak susuan, anak tidak sah taraf terhadap harta pusaka ayah zinanya, saudara bukan Islam dan sebagainya. Bukan waris juga merujuk kepada harta yang hendak diwakafkan dan disedekahkan ke jalan Allah.
Dalam Islam, pemberian harta pusaka untuk bukan waris dihadkan MAKSIMUM 1/3 daripada harta sahaja. Ini adalah berdasarkan hadis Rasullullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Saad Bin Abi Waqas. Beliau memohon untuk mewasiatkan keseluruhan hartanya, tetapi Rasullullah menegahnya walaupun sebanyak 2/3 bahagian. Akhirnya Rasullullah membenarkan beliau mewasiatkan sebanyak 1/3 daripada hartanya.
Baginda bersabda:
“Sesungguhnya kamu tinggalkan waris kamu itu kaya lebih baik daripada kamu tinggalkan mereka dalam kemiskinan.”
Pelaburan akhirat adalah pelaburan yang tidak akan rugi dan pahalanya akan kita peroleh berkekalan sehingga kiamat. Maka peruntukan untuk Bukan Waris perlu dikenalpasti untuk dimasukkan dalam perancangan pusaka.
4) Mengenalpasti Wasi/Pentadbir Harta
Siapakah Wasi?
Wasi adalah individu atau syarikat amanah yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan pentadbiran harta pusaka selepas kematian pemilik harta. Wasi mestilah dipilih dari kalangan individu atau syarikat yang dipercayai kerana tanggungjawab yang dipikul sangat besar.
Sebaiknya Wasi lantik semasa kita masih hidup. Perlantikan Wasi lazimnya dibuat menerusi dokumen Wasiat. Sekiranya kita meninggal tanpa membuat perlantikan tersebut, proses tuntutan akan menjadi lebih sukar. Waris harus sebulat suara melantik seseorang untuk menjadi Wasi. Nampak seperti mudah, tetapi dengan situasi perebutan harta, ditambah dengan komitmen masa dan wang, bukan mudah seseorang untuk bersetuju menjadi Wasi. Dan bukan mudah juga untuk waris lain kesemuanya bersetuju melantik seseorang individu itu sebagai Wasi.
Sekiranya anda mempunyai anak belum cukup umur yang di bawah umur 18 tahun, anda perlu kenalpasti penjaga amanah harta untuk mereka. Ini kerana bahagian harta pusaka yang berhak mereka terima akan ditahan sehinggalah mereka cukup umur. Melalui Wasiyyah Shoppe, solusi yang ditawarkan ialah dengan membuat Hibah Amanah di mana bahagian anak tersebut akan diserahkan kepada individu yang diamanahkan untuk dibelanjakan ke arah kebajikan dan penjagaan hal ehwal mereka. Dengan ini, harta pusaka tersebut dapat dimanfaatkan segera.
.
Saya akui, bukan mudah untuk kita luangkan masa untuk lakukan 4 Langkah di atas. Ada sahaja yang nak ditangguhkan. Sebab itu, 4 langkah di atas adalah antara perkara yang saya akan guide through dalam membuat perancangan harta pusaka anda.
PM/Whatsapp saya, Ansari 019-7498210 untuk book masa appointment!
- Hibah Solusi Bagi Muallaf Wariskan Harta Kepada Keluarga Bukan Islam - November 11, 2024
- Old Money: Warisan Kekayaan dan Pewarisan Harta dari Generasi ke Generasi - November 10, 2024
- Takaful untuk Langsai Hutang: Pilih Agihan Secara Hibah atau Wasi? - November 6, 2024