Jarang kita membincangkan hal pewarisan cucu ke atas harta pusaka peninggalan datuk dan nenek.
Adakah cucu mempunyai hak ke atas pusaka yang ditinggalkan dalam keadaan masih terdapat pakcik dan makcik saudara yang masih hidup?
Asas kepada pembahagian harta pusaka orang Islam adalah mengikut hukum Faraid. Cucu hanya akan dapat mewarisi pusaka datuk/nenek mengikut pembahagian Faraid sekiranya tiada waris yang lebih dekat atau kuat yang menghijab cucu.
Meskipun begitu, terdapat peruntukan undang-undang khusus bagi cucu menuntut sekiranya berkelayakan, yang dinamakan sebagai Wasiat Wajibah.
Pengenalan Wasiat Wajibah
Wasiat wajibah dikenali juga sebagai wasiat qanuniyyah.
Wasiat ini tidak serupa dengan penulisan wasiat yang biasa syarikat atau peguam tawarkan. Yang itu adalah perancangan harta yang dibuat semasa hidup kepada bukan waris.
Wasiat wajibah berdiri di atas peruntukan undang-undang yang berbeza.
Tujuannya adalah untuk menjaga kemaslahatan cucu yang hilang tempat bergantung.
Iaitu cucu yang terhalang daripada mendapat harta pusaka datuk atau neneknya kerana bapanya meninggal dunia lebih awal atau serentak dengan datuk atau neneknya serta terdinding oleh bapa atau ibu saudara mereka.
Bagi tuntutan ini, kadar dan syarat-syarat tertentu tertakluk sebagai satu bentuk wasiat dan bukannya sebagai harta pusaka.
Wasiat Wajibah di Luar Negara
Wasiat wajibah bukanlah suatu konsep yang baru atau asing.
Ibn Hazm berpandangan ia bertujuan untuk memelihara kebajikan waris yang kematian penghubung mereka terlebih awal.
Di luar negara, Mesir telah memperuntukkan Wasiat Wajibah dalam undang-undang negara pada tahun 1946.
Diikuti oleh negara Islam yang lain seperti Syria (tahun 1953), Maghribi (1957), Kuwait (1971), Yamen (1992) dan Tunisia (1957).
Wasiat Wajibah di Malaysia
Para ilmuan Islam berbeza pendapat dan perbahasan berkaitan topik ini.
Di Malaysia, amalan dan perlaksanaan Wasiat Wajibah bergantung kepada ketetapan kerajaan negeri masing-masing.
Setakat ini, hanya empat buah negeri yang telah memperuntukkan klausa berkaitan Wasiat Wajibah dalam enakmen, iaitu;
✍️ Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999
✍️ Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004
✍️ Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Melaka) 2005
✍️ Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Kelantan) 2009
Dalam erti lain, Wasiat Wajibah hanya terpakai di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan yang memberikan ruang kepada cucu yang layak untuk menuntut.
Kadar Tuntutan Yang Dibolehkan
Kadar dan syarat yang telah ditetapkan perlu dirujuk dalam enakmen negeri.
Sebagai contoh, kita lihat peruntukan Wasiat Wajibah dalam enakmen wasiat Selangor.
Peruntukan Khusus dalam Enakmen Selangor
Dalam Seksyen 27 Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999 di bawah tajuk Wasiat kepada cucu, terdapat klausa berikut:
1) Jika seseorang mati tanpa membuat apa-apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap satu pertiga wasiat dan, sekiranya cucu itu diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.
2) Kadar wasiat wajibah untuk kanak-kanak yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah setakat kadar di mana ayahnya berhak daripada harta pusaka datuknya sekiranya diandaikan ayahnya itu mati selepas kematian datuknya:
>> Dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka simati.
3) Kanak-kanak tersebut hendaklah tidak berhak kepada wasiat sekiranya dia telah mewarisi daripada datuk atau neneknya, mengikut mana berkenaan, atau datuk atau neneknya semasa hayatnya, dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah memberi kepada mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka sepatutnya menerima menurut wasiat wajibah:
>> Dengan syarat sekiranya wasiat yang dibuat oleh datuk atau nenek itu kurang daripada bahagian yang sepatutnya dia berhak, haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika bahagian tersebut adalah melebihi bahagian yang dia berhak, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat sukarela dengan tertakluk kepada persetujuan waris.
- Hukum Hibah Harta Semasa Menderita Penyakit Terminal - November 1, 2024
- Kesan Kematian Rakan Kongsi Dalam Perniagaan Perkongsian - October 1, 2024
- SC Perkenal Insentif Cukai Sifar Peratus Dari Pelaburan ‘Family Office’ - September 24, 2024