Kebelakangan ini banyak timbul kes-kes perceraian dan pergaduhan suami isteri yang melibatkan artis dan selebriti. Antara yang menarik perhatian saya ialah satu kes suami yang cuba memujuk isterinya supaya membatalkan permohonan bercerai di Mahkamah Syariah dengan menawarkan ‘hibah’ hadiah bernilai lebih RM300,000.

Asbab kepada isteri memfailkan permohonan perceraian itu dikatakan kerana tiada lagi persefahaman antara mereka yang membawa kepada berlakunya syiqaq, iaitu perbalahan suami isteri yang berpanjangan.

Meskipun begitu, si suami enggan melafazkan talaq dan bertegas untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. 

Saya tidak berhasrat untuk mengulas tentang perbalahan suami isteri berkenaan, tetapi khusus mengenai tawaran ‘hibah’ harta benda mewah dari suami untuk menarik isteri kembali kepada rumah tangga mereka.

Terdapat sedikit persamaan dengan hibah harta bagi tujuan pewarisan; bezanya terletak pada konteks ia dilaksanakan.      

 

Asas Hibah Ialah Pemberian Tanpa Mengharapkan Balasan

Hibah… menurut definisinya adalah pemberian sesuatu harta yang dimiliki tanpa pemberi mengharapkan balasan dari penerima. 

Hibah adalah pemberian ikhlas sebagai tanda kasih sayang pemberi terhadap penerima.

Dalam konteks pewarisan harta, seseorang itu menghibahkan hartanya kerana prihatin dengan kelangsungan hidup penerima di kala ketiadaannya.

Satu pengorbanan besar dari pihak pemberi, kerana telah menyerahkan hak ke atas material dan harta benda yang dimilikinya kepada penerima. 

Penerima pula, dengan penuh kesyukuran atas tindakan pemberi, melihatnya sebagai satu tanda jelas hubungan perkahwinan atau silaturrahim itu hendak dikekalkan berpanjangan. 

Jikalau tidak, apa mungkin pemberi bertindak menyerahkan harta yang diperoleh dengan susah payah kepada penerima?

 

Hibah Harta Untuk Pujuk Rayu

Dalam kes pasangan artis di atas, tawaran hibah harta dibuat bagi memujuk isterinya untuk membatalkan hasrat memohon perceraian.   

Dalam konteks hibah yang ditawarkan, pada pandangan saya pemberian tersebut sudah kelihatan seperti satu pemberian mengharapkan suatu balasan yang sukar ditunaikan, dengan keadaan penerimanya sudahpun tawar hati untuk meneruskan perkahwinan mereka.  

 

Buatlah Hibah Semasa Perkahwinan Bahagia

Dalam perhubungan suami isteri yang telahpun keruh, tawaran hadiah mungkin menampakkan suami sebagai seorang yang desperate. Negotiation atau perundingan yang dibuat dalam keadaan sedemikian tidak ideal untuk mencapai hasil yang dihasratkan. 

Soal keikhlasan akan menjadi persoalan.. dan halangan.

Oleh yang demikian, bagi suami mahupun isteri, Hibahkan harta bagi mengeratkan perhubungan kasih sayang sesama pasangan dalam keadaan perkahwinan sedang bahagia.

Jangan ditunggu lama, yakni ketika sudah retak barulah hendak menawarkan hibah sebagai alat dan usaha untuk membaikpulih.

Andainya perkahwinan dilanda ombak, tindakan hibah harta yang pernah dibuat itu mungkin dapat mengikat kembali perhubungan suami isteri.

Mengingatkan semula mengenai harta yang telah dihibahkan atas dasar kasih sayang yang pernah terjalin. 

Tambah lagi..

Hibah TIDAK terbatal dengan perceraian.

Dan hibah sesama pasangan tidak boleh ditarik balik, melainkan penerima berkenaan bersetuju untuk pembatalan. 

Bukankah kekangan ini menuntut agar perhubungan silaturrahim terus kekal lama lagi? 

 

Pemberi Perlu Bersetuju Untuk Hibah

Saya pernah ditanya oleh seorang isteri yang dalam keadaan desperate. Beliau ingin membuat hibah, tetapi bagi harta yang dimiliki oleh suaminya.

Masalahnya, beliau dan suami tidak berada dalam keadaan perhubungan yang baik. Maka agak mustahil untuk suaminya bersetuju untuk hibah.

Dalam kes lain, seorang isteri yang mana suaminya bakal berpoligami. Apabila si isteri cuba memujuk suami untuk menghibahkan harta kepadanya bagi memelihara hak harta yang dikumpul bersama, si suami enggan. Isteri itu terpaksa menerima dengan redha, simpati saya dengan keadaannya. 

Apabila suami telah berkahwin baru, bukan sahaja kasih sayang dan perhatian dibahagi dua. Malah hak Faraid bagi isteri yang pertama dan kedua tiada bezanya walaupun tempoh perkahwinan madunya baru sahaja bermula. 

Disebabkan itu, buatlah hibah semasa perkahwinan sedang bahagia.

Tiada sebab untuk pemilik harta tidak bersetuju, apabila tujuan hibah harta dibuat adalah bagi mengeratkan kasih sayang suami isteri agar berkekalan sehingga ke jannah.

 

Wallahua’lam

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This