Waris patah titi merujuk kepada waris iaitu cucu yang kematian ibu bapa terlebih dahulu sebelum kematian datuk atau nenek mereka, atau dalam keadaan semuanya mati serentak. Cucu tersebut dihalang (mahjub) dari mendapat bahagian Faraid daripada pusaka datuk/nenek mereka apabila terdapat bapa/ibu saudara yang menjadi waris asabah.

Bagaimanapun, menerusi peruntukan wasiat wajibah yang terdapat dalam enakmen wasiat di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan, cucu ini berpeluang untuk menuntut sebahagian hak dari pusaka datuk/nenek meskipun tiada hak Faraid.

 

Wasiat Berdasarkan Peruntukan Undang-undang

Wasiat Wajibah adalah wasiat qanuniyyah yang dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan kehakiman. Hakim berkuasa memutuskan agar sebahagian harta si mati diserahkan kepada cucu yang cukup syarat, walaupun tidak dinyatakan oleh si mati semasa hidupnya.

Ia berbeza dengan wasiat ikhtiyariyah yang ditulis mengikut hasrat pewasiat.

Selangor adalah negeri pertama yang mewujudkan peruntukan khusus bagi wasiat wajibah menerusi Seksyen 27, Enakmen Wasiat Orang Islam 1999; perkenan Diraja diperoleh pada 15 September 1999, diwartakan pada 30 September 1999 dan dikuatkuasakan pada 1 Julai 2004.

 

Wasiat Wajibah Bagi Memelihara Maslahat Waris Patah Titi

Wasiat Wajibah diterima pakai berdasarkan prinsip siyasah syari’iyyah yang membenarkan pemerintah melaksanakan sesuatu perintah untuk mencapai kebaikan dan maslahat.

Ia adalah satu bentuk ijtihad ulama’ bagi membela nasib waris patah titi.

Cucu-cucu yang kehilangan ibu bapa menjadi anak yatim dan mungkin hidup dalam kesusahan, kemiskinan dan hilang tempat bergantung.

Maka perlaksanaan wasiat wajibah dapat membela nasib mereka, mengagihkan harta, dan mengeratkan hubungan sesama keluarga.

 

Hujah Pandangan Yang Menolak Wasiat Wajibah

Bagi pandangan yang menolak pensyariatan Wasiat Wajibah, mereka berhujah bahawa hukum asal wasiat adalah sunat (mandub). Maka tiada hak yang wajib diberikan kepada cucu yang terhalang.

Dalam menafsir suruhan dalam ayat an-Nisa:8, Qurtubi berpandangan kata ‘berikanlah’ sedikit pusaka kepada kerabat yang tidak mendapat pusaka membawa maksud suruhan yang sunat, bukannya wajib.

Perlaksanaan Wasiat Wajibah juga mungkin dilihat tidak selari dengan hukum Faraid yang telah memperuntukkan hak kepada waris-waris yang berhak sahaja mengikut struktur keluarga waris arwah.

Malah hikmah dari pembahagian pusaka mengikut ketetapan Faraid tidak harus dipertikaikan.

Wasiat ini akan memberi kesan langsung kepada waris iaitu jumlah harta pusaka yang sepatutnya diperoleh oleh mereka akan berkurangan setelah diserahkan kepada cucu.

 

Siapakah Cucu Yang Berhak Menuntut?

Benefisiari Dalam Enakmen

Enakmen Wasiat Selangor (1999), Negeri Sembilan (2004), Melaka (2005) dan Kelantan (2009) memperuntukkan cucu lelaki atau perempuan dari anak lelaki si mati sahaja yang berhak menuntut Wasiat Wajibah.

Cucu dari anak perempuan si mati terkecuali, dan tidak berhak menuntut. Ini kerana mereka termasuk dalam golongan waris dhawi al-arham – iaitu tidak berhak mendapat pusaka secara fardu atau asabah, dan kerana adanya waris ashab al-furud dan asabah.

Namun begitu, timbul persoalan..

Sebagaimana situasi cucu dari anak lelaki, cucu patah titi dari anak perempuan turut sama menghadapi kesusahan, kemiskinan dan hilang pergantungan apabila ibu bapa mereka pergi dahulu.

Mengapa dibezakan-bezakan?

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 18-24 Oktober 2008 memutuskan Wasiat Wajibah perlu juga diberikan kepada cucu dari anak perempuan.

Susulan perubahan tersebut, Selangor pada tahun 2016 telah meminda Seksyen 27 Enakmen Wasiat Orang Islam 1999 yang membolehkan cucu daripada anak perempuannya sebagai benefisiari yang boleh membuat tuntutan.

 

Syarat Bagi Benefisiari

Turut menjadi syarat untuk dibolehkan tuntutan adalah:

👉 Cucu tidak termasuk dalam kalangan waris datuk. Jika cucu mewarisi secara fardu atau ta’sib walaupun bahagiannya sedikit, maka dia tidak layak untuk menuntut wasiat ini.

👉 Datuk tidak pernah memberi harta kepada cucu tersebut semasa hayatnya (contohnya menerusi hibah, wakaf dan wasiat) yang menyamai bahagian faraid anak lelaki atau anak perempuannya jika dia masih hidup.

Sekiranya wujud pemberian tetapi kurang dari bahagian faraid, maka perlu dicukupkan mengikut bahagian tersebut.

 

Kadar Tuntutan Wasiat Wajibah

Dalam enakmen, kadar yang boleh dituntut adalah sekadar bahagian pusaka yang diterima oleh ibu atau bapanya sekiranya dia masih hidup.

Juga nilainya haruslah tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka datuk/nenek. Sekiranya melebihi satu pertiga, maka hendaklah dikurangkan kepada kadar satu pertiga sahaja.

 

Tuntutan Wasiat Bagi Negeri-negeri Lain

Bagi negeri-negeri selain Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan yang tiada statut khusus mengenai wasiat, penguatkuasaan wasiat dibuat dengan merujuk peruntukan am dan hukum Syara’ (Peruntukan Seksyen 245(2)) sepertimana terkandung dalam akta/enakmen/ordinan tatacara mal negeri.

Keputusan fatwa kebangsaan dan negeri yang menyentuh Wasiat Wajibah juga dijadikan rujukan oleh Mahkamah Syariah.

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This