Syarikat yang berdaya saing dapat memberikan pendapatan yang cukup untuk menyara keluarga hidup selesa.

Namun pengurusan syarikat yang baik perlu mengambil kira sesuatu yang tidak di‘rancang’ yang boleh mempengaruhi operasi syarikat. Contohnya seperti kematian pemegang saham. Saham miliknya akan diwarisi oleh mereka yang mungkin tidak berada dalam syarikat tersebut dan boleh menimbulkan isu berbangkit. 

Disebabkan itu, perancangan pewarisan syarikat perlu dibuat sedari awal lagi. Bagaimanapun, perlu maklum bahawa tidak semua jenis bisnes di Malaysia boleh diwariskan.  

 

Syarikat, Perniagaan dan PLT di Malaysia

Mengikut statistik keluaran SSM, pada tahun 2022 terdapat hampir 1.5 juta syarikat, 8.8 juta perniagaan dan 34 ribu Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang berdaftar di Malaysia.   

Purata sekitar 4,000 syarikat, 27,000 perniagaan dan 300 PLT yang baru didaftarkan pada setiap bulan.

Setiap jenis pendaftaran bisnes tersebut dikawal selia di bawah akta yang berbeza. Ada yang perlu ditutup dengan kematian pemiliknya; ada pula yang masih boleh meneruskan operasi.

 

Apabila Pemilik Meninggal Dunia..

Apakah jenis bisnes yang ‘mati’ dengan kematian pemiliknya?

 

Bisnes Jenis ‘Perniagaan’ atau ‘Enterprise’

Bisnes yang berbentuk perniagaan atau enterprise dimiliki secara tunggal/berseorangan (sole proprietorship) atau perkongsian (partnership).

Dari sudut perundangan, perniagaan dan pemiliknya adalah satu entiti yang sama. Apabila pemilik enterprise meninggal dunia, perniagaannya pun turut sama akan terbubar. Hutang perniagaan merupakan hutang peribadi yang wajib dilangsai dengan harta pusakanya. 

Bagi perniagaan secara perkongsian (antara dua hingga maksimum 20 rakan kongsi), tanggungjawab hutang dan pemilikan aset perniagaan secara umumnya dibahagikan sama rata antara rakan-rakan kongsi. Kematian salah seorang rakan kongsi akan menjejaskan penerusan perniagaan tersebut, termasuk boleh menyebabkan perniagaan tersebut terpaksa dibubar. 

 

Bisnes Jenis ‘Syarikat’

Syarikat wujud sebagai entiti sendirian berhad, atau berhad yang dimiliki oleh pemegang-pemegang saham syarikat (minimum seorang sehingga maksimum 50 orang). 

Kematian salah seorang pemegang saham TIDAK menyebabkan syarikat perlu ditutup. Namun sahamnya diturunkan kepada waris-waris Faraidnya.

Pemilik syarikat dan syarikat adalah dua entiti yang berasingan. Maka hutang atau kerugian yang dialami syarikat tidak dituntut dari harta peribadi pemilik syarikat.

  

Jenis Bisnes Yang Boleh Dirancang Pewarisan

Bisnes enterprise TIDAK dapat diwariskan kerana perniagaannya akan terkubur bersama-sama dengan pemergian pemiliknya.

Berlainan dengan syarikat yang mana pemegang saham syarikat sdn bhd atau berhad boleh membuat hibah saham kepada penerima yang dihasratkan.

Selain itu, mereka juga boleh membuat perjanjian pemegang saham bagi menetapkan garis panduan menjalankan operasi syarikat.

Merancang pewarisan syarikat adalah penting bagi mengelakkan impak besar berikutan isu-isu berbangkit.  

 

Isu Berbangkit Selepas Kematian Pemegang Saham Syarikat

 

Saham Syarikat Dibekukan

Sepertimana harta pusaka lain yang ditinggalkan, saham syarikat juga akan terbeku sebaik kematian pemiliknya.

Saham syarikat merupakan harta alih yang tidak berpenama. Prosedur bagi menurunkan hakmilik kepada waris-waris yang berhak adalah dengan memfailkan tuntutan pusaka di Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi atau Amanah Raya. 

Prosedur tuntutan pusaka yang tertangguh berisiko mengakibatkan operasi syarikat terganggu. 

 

Tidak Dapat Isu Cek Syarikat

Sekiranya pemegang saham yang meninggal dunia itu juga merupakan salah seorang individu yang menandatangani cek syarikat, pihak syarikat tidak dapat mengeluarkan cek yang baru selagimana belum selesai mengurus tadbir pusaka dan melantik penandatangan cek yang baru

Wang akaun syarikat akan terbeku pengeluarannya, dan tidak dapat digunakan untuk membayar gaji kakitangan, membeli keperluan perniagaan, membayar hutang pembekal dan sebagainya. 

 

Saham Diwarisi Oleh Ramai Waris, Pelbagai Karenah 

Hak saham jatuh kepada waris-waris Faraid mengikut pecahan yang telah ditetapkan, melainkan jika ia telah dihibahkan semasa hidup lagi.

Jika tidak, keadaan akan jadi rumit apabila adanya waris bawah umur.

Lebih ramai waris-waris Faraid yang berhak, maka pelbagai karenah yang perlu dihadapi: 

😢 Tidak semua orang minat berniaga. Mungkin terdapat waris yang tidak berminat meneruskan bisnes syarikat tetapi ingin mendapatkan wang segera dengan menjual saham syarikat.

😢 Atau waris yang berhasrat untuk membubarkan syarikat dan mengagihkan aset syarikat kepada pihak-pihak yang terlibat.

😢 Mungkin juga terdapat waris yang tidak mahir selok belok mengurus syarikat, namun mempunyai kuasa menentukan hala tuju syarikat sebagai pemilik saham yang baru.

😢 Membimbangkan lagi sekiranya para waris tidak sehaluan, ataupun bermasalah dengan pemegang-pemegang saham sedia ada. Maka sukar untuk mendapatkan kata sepakat bagi menerajui syarikat.

 

Perancangan pewarisan syarikat dapat mengurangkan risiko sedemikian dengan.. :

😃 Pemilik boleh menentukan pewaris yang paling berkeahlian untuk meneruskan perjalanan syarikat pada saat ketiadaannya. Perancangan awal lebih menjamin syarikat dapat terus beroperasi dengan baik dan meneruskan legasi yang dibina. 

😃 Sebaliknya sekiranya pemilik syarikat berpandangan bahawa exit strategy adalah satu-satunya pilihan yang ada, maka kaedahnya juga patut dirancang awal. 

 

Teruskan Operasi Syarikat atau Exit Strategy?

Perancangan pewarisan syarikat penting dibuat semasa pemilik syarikat masih ada lagi.

Samada hasratnya untuk memastikan kesinambungan operasi syarikat dan penerusan legasi yang dibina, atau melaksanakan exit strategy dengan melupuskan aset syarikat dan diagihkan mengikut kaedah yang dikehendakinya. 

Sekiranya tidak sempat membuat hibah saham atau/dan perjanjian pemegang saham semasa hidup lagi, dikhuatiri kesan dari isu-isu berbangkit boleh menjejaskan kelancaran operasi syarikat. Impaknya bukan sahaja kepada keluarga terdekat arwah, tetapi juga kepada pemegang saham yang lain, syarikat dan staf. 

 

Boleh Whatsapp saya Ansari 019-749 8210 untuk hibah saham syarikat

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This