Penerbitan fatwa yang khusus mengenai Hibah telah lama dinantikan. Keperluannya semakin ketara. Umat Islam di Malaysia semakin peka dengan peri pentingnya merancang pewarisan, dan hibah menjadi instrumen yang semakin popular dipraktis.

Seiringan dengan itu, syarikat yang menawarkan servis penyediaan hibah juga tumbuh bak cendawan. 

Saya sendiri telah mendengar ura-ura fatwa hibah akan diterbitkan sejak awal pembabitan saya sebagai perunding hibah pusaka lagi. Namun baru kini ia menjadi kenyataan.

Negeri Selangor telah memulakan langkah pertama melopori negeri-negeri lain dengan mengeluarkan fatwa hibah.

Beberapa hari yang lepas, fatwa tersebut telah diwartakan. Isi kandungan fatwa ini telah disebarkan buat panduan masyarakat dan pengamal industri.

 

Fatwa Hibah Selangor

Antara intisari kandungan Fatwa hibah ini adalah:

Definisi Hibah

1. Hibah adalah pemberian harta secara sukarela, dan berkuat kuasa semasa hidup.

 

Fatwa Hibah Selangor

 

2. TIDAK SAH Hibah yang menetapkan tarikh kuat kuasa selepas kematian penghibah, dan dianggap sebagai wasiat.

 

Hibah Bersyarat

3. SAH Hibah yang menetapkan syarat penghibah masih boleh menikmati harta yang dihibahkan, sekiranya penerima hibah bersetuju dengan syarat tersebut.

4. TIDAK SAH Hibah yang menetapkan syarat tempoh harta yang dihibahkan akan dikembalikan semula kepada penghibah, ia dianggap sebagai pinjaman (‘ariyah).

 

Qabd dan Tarik Balik Hibah

5. Hibah yang menetapkan syarat penerimaan (qabd) harta yang dihibahkan berlaku selepas kematian penghibah boleh ditarik balik pada bila-bila masa oleh penghibah.

6. Hibah yang telah berlaku qabd tidak boleh ditarik balik kecuali hibah daripada ibu, bapa, nenek atau datuk kepada anak atau cucu tertakluk kepada syarat-syarat:

  • Anak atau cucu itu hendaklah berkelayakan (ahliyyah) mengikut hukum syara’ untuk menguruskan harta (tasarruf), ie tidak gila atau tidak muflis.
  • Harta yang dihibahkan masih berada dalam pemilikan anak atau cucu tersebut
  • Bukan hibah bersyaratkan balasan
  • Harta yang dihibahkan tidak rosak. Jika sebahagian fizikalnya rosak, bahagian yang tidak rosak boleh ditarik balik.

7. Tarik balik hibah dibuat semasa penghibah dan penerima hibah masih hidup. Hak untuk menarik balik tidak boleh dipindahkan kepada waris penghibah.

 

Hibah Akaun Bersama

8. SAH Hibah antara pemegang akaun bersama sekiranya wujud ijab qabul dan penguasaan penuh penerima ke atas harta yang dihibahkan.

 

Hibah Harta Dalam Gadaian

9. SAH hibah harta dalam gadaian sekiranya harta yang dihibahkan dilindungi oleh takaful seperti MRTT dan MLTT atau mendapat keizinan daripada pemegang gadaian.

 

Fatwa Hibah Selangor

 

Hibah Manfaat Takaful

10. SAH Hibah ke atas manfaat Takaful sekiranya ijab qabul telah disempurnakan. Penerima adalah benefisiari dan tidak tertakluk kepada hukum Faraid.

 

Hibah Tanah

11. SAH Hibah tanah yang tertakluk di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 sekiranya memenuhi rukun-rukun Hibah dan mendapat keizinan Pihak Berkuasa Negeri.

 

Hibah Melalui Pemegang Amanah

12. SAH Hibah melalui pemegang amanah kepada mana-mana penerima, termasuklah kanak-kanak bawah umur, orang tidak sempurna akal dan orang kurang upaya dengan syarat rukun-rukun hibah dipenuhi.

 

Hibah Wang Simpanan/Unit Amanah

13. SAH Hibah wang simpanan atau unit amanah sekiranya harta yang dihibahkan ditentukan kadarnya.

 

Kepentingan Dokumentasi Hibah

14. Hibah boleh didokumentasikan supaya mempunyai sighah yang jelas dan memenuhi rukun-rukun hibah.

 

Fatwa Hibah Selangor

 

 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This