Sepertimana kita berjual beli barangan dan servis yang lain, jual beli emas mestilah memenuhi syarat-syarat umum jual beli mengikut parameter syariah, iaitu dari sudut pihak yang berakad, barangan yang dijual beli dan sighah akad yang jelas.

Bezanya bagi anda yang membuat pelaburan emas perlu lebih berhati-hati kerana emas termasuk dalam kategori barangan ribawi. Transaksi bagi barang ribawi mengandungi syarat yang lebih spesifik seperti penyerahan mestilah berlaku tanpa tangguh.

Sekiranya gagal disempurnakan sedemikian boleh menyebabkan pihak yang berjual beli tergelincir dalam transaksi riba‘.   

 

Syarat-syarat Umum Jual Beli

Syarat-syarat umum yang perlu dipenuhi bagi transaksi jual beli mengikut parameter Syariah meliputi syarat bagi pihak yang berakad, item jual beli dan sighah. 

 

Pihak Berakad

Pihak yang menjual dan membeli mestilah berkelayakan untuk melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud). Iaitu telah baligh, berakal dan rasyid.

Seorang yang gila atau masih kanak-kanak tidak berkelayakan untuk berakad jual beli. 

Kedua-dua pihak mesti saling redha meredhai dengan transaksi tersebut. Tidak sah jual beli secara terpaksa, ditekan atau dieksploitasi. 

 

Barangan Jual Beli

Harga barangan jual beli mestilah diketahui dengan jelas

Barang mestilah wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual. Ia juga mestilah barangan yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. 

Sifat barang mestilah diketahui oleh pihak yang berakad, melalui kaedah seperti berikut:

  • Melihat sendiri barang.
  • Melihat sampel barang.
  • Jelas sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian.

 

Sighah

Sighah akad dilakukan secara lisan, bertulis dan sebagainya. 

Jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.

Dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur tempoh seperti ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.

Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

 

Syarat Khusus Bagi Jual Beli Emas (Barangan Ribawi)

Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, syarat tambahan bagi transaksi jual beli emas ialah seperti berikut:

>> Penyerahan (taqabudh) kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah dari majlis akad.

>> Dijalankan secara lani, dan tiada penangguhan

 

Syarat Taqabudh

Serahan pembayaran boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:

  • Secara tunai
  • Cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
  • Cek peribadi
  • Kad debit
  • Kad kredit
  • Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki, yang akan memberi kesan berikut:

  • Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) dari penjual kepada pembeli.
  • Pembeli boleh mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa halangan.

Majlis akad ijab dan qabul dibuat secara pertemuan fizikal; atau maknawi seperti melalui telefon, sms, emel dan sebagainya. Disyaratkan berlaku taqabudh ketika majlis akad.

 

Syarat Penyerahan Berlaku Lani

Transaksi jual beli emas mestilah berlaku secara lani. Tidak boleh bertangguh, samada dalam penyerahan bayaran atau emas.

Penyerahan bayaran bertangguh yang tidak dibenarkan adalah pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau bayaran ansuran.

Tidak dibenarkan lewat penyerahan emas MELEBIHI tempoh TIGA HARI selepas akad jual beli dimeterai.

Terdapat perbezaan pandangan ulama bagi kelewatan penyerahan emas KURANG dari tiga hari. Namun Muzakarah cenderung pada pendapat yang tidak membenarkan, yakni penyerahan emas mestilah dilakukan dalam majlis akad tanpa ada penangguhan.

Ini kerana dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf.

Tidak tepat jika diqiyaskan dengan isu tukaran matawang asing yang dibenarkan tempoh T+2 yang mana prosesnya melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik dan clearing house.

Bagi pembayaran secara cek atau kaedah pembayaran yang mengambil tempoh masa untuk dikreditkan ke akaun penjual, kronologinya seperti berikut:

  • Pembeli membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibeli. Disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.
  • Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank dan diterima dalam akaun penjual, akad jual beli perlu dilakukan. Emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.

 

Wallahua’lam.

 

Disesuaikan dari: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan  yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 mengenai Parameter Pelaburan Emas. 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This