Banyak individu membeli tanah lot lidi disebabkan tertarik dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding harga tanah di kawasan yang sama. Sebagai pengguna yang bijak, perlu selidik terlebih dahulu mengapa ia dijual murah.

Selain itu, bakal pembeli juga perlu tahu kesannya dari sudut undang-undang, apakah diiktiraf dirinya sebagai pemilik yang sah. Dan apabila telah meninggal dunia kelak, adakah waris-warisnya akan menghadapi masalah untuk mewarisi tanah lot berkenaan?

Jangan terkejut atau menyesal di kemudian hari!

Saya sendiri pernah berunding dengan prospek yang ingin menghibahkan tanah lot lidi. Setelah meneliti dokumen perjanjian jual belinya, saya terpaksa menolak permohonannya kerana tanah yang dibeli itu belum lagi dipindah milik kepada namanya walaupun bayaran tanah telahpun dibuat. 

 

Lot Lidi Status Tanah Pertanian

Kebiasaannya lot lidi yang dijual secara meluas ialah tanah berstatuskan tanah pertanian.

Tanah pertanian tidak boleh dipecah bahagian kepada lot-lot kecil sesuka hati. 

Klausa dalam Kanun Tanah Negara memperuntukkan setiap satu ekar tanah pertanian hanya boleh dipindahmilik kepada seorang penama sahaja.    

Menurut Seksyen 205 (3), Kanun Tanah Negara, untuk setiap satu ekar tanah pertanian yang mempunyai satu nama pemilik, ianya hanya boleh dipindahmilikkan kepada satu penerima pindahmilik sahaja.

Lot lidi yang dipecah-pecah jualan dari sebidang tanah pertanian biasanya berkeluasan kurang dari satu ekar. Oleh sebab itu, lot-lot tanah lidi tidak dapat dipecah bahagian kepada geran-geran individu.

Malah bagi mereka yang ingin membina rumah atau bangunan di tanah pertanian, subseksyen 4 di bawah seksyen 115 Kanun Tanah Negara menetapkan rumah atau bangunan hanya boleh dibina dalam 1/5 bahagian tanah sahaja. 

Sebabnya jelas.. objektif tanah pertanian ialah untuk tujuan pertanian, bukan untuk kediaman.

Sekiranya ingin membina rumah, terlebih dahulu pohon untuk penukaran kepada status tanah bangunan.

Namun begitu, perlulah bersedia dengan kos yang tinggi dan tempoh masa yang agak panjang untuk mendapat kelulusan.

 

Kesan Nama Pembeli Tidak Didaftar Dalam Geran 

Jual beli tanah lot lidi hanya termaktub dalam perjanjian jual beli atau surat ikatan amanah sahaja. Proses susulan untuk memindah milik hak tanah di’janji’kan untuk dilakukan pada masa hadapan, mungkin dalam masa beberapa tahun lagi.

Kesannya, nama pembeli tidak terus didaftarkan dalam geran walaupun pembayaran tanah telah selesai.  

Geran asal tanah kekal di bawah nama penjual, atau dipindahmilik kepada nama seorang pemegang amanah yang dilantik.

Beberapa persoalan timbul, melibatkan kesan apabila nama pembeli tidak didaftarkan dalam geran:

🤨 Adakah kaedah tersebut diiktiraf dan dibenarkan oleh undang-undang?

🤨 Apa yang berlaku pada hakmilik tanah lot lidi sekiranya penjual atau pemegang amanah meninggal dunia?

🤨 Apa yang berlaku sekiranya ‘pemilik’ atau pembeli lot lidi meninggal dunia.. adakah waris dapat menuntut hak ke atas tanah berkenaan?

 

Dan yang terakhir.. 

 

Adakah Lot Lidi Boleh Dihibahkan?

Seperti yang telah dijelaskan, proses jual beli lot lidi tidak dilakukan mengikut prosedur yang dikehendaki oleh undang-undang. 

Apabila nama pembeli tidak didaftarkan ke dalam geran, sukar untuk pembeli atau waris-warisnya menuntut hak ke atas tanah lot lidi. 

Sekiranya berlaku pertikaian hakmilik, pembeli sukar untuk menghujahkan pemilikan tanah itu. Kanun Tanah Negara menetapkan bahawa penama dalam geran merupakan pemilik yang ‘tidak boleh disangkal’.

Dalam membuat dokumen Hibah yang berkesan dan boleh dilaksanakan, pemilikan sesuatu harta itu mestilah diiktiraf undang-undang. Ini bagi memastikan perlaksanaan turunmilik kepada penerima Hibah dapat dibuat tanpa masalah berbangkit. 

Kesimpulannya, tanah lot lidi TIDAK boleh dihibahkan.

 

Wallahua’lam

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This