Wakaf harta merupakan sedekah berterusan yang membolehkan pewakaf mendapat pahala berterusan. Malah penerimanya turut mendapat faedah yang berpanjangan kerana pemberian harta wakaf bersifat kekal dan oleh yang demikian perancangan untuk manfaatnya adalah untuk jangka masa yang lama. 

Wakaf sah memadai dengan pewakaf berkata “Saya wakafkan harta ini kerana Allah” tanpa mengkhususkan kepada siapa dan untuk tujuan apa. 

Namun sekiranya pewakaf mempunyai hasrat yang spesifik, tidaklah dia terhalang untuk mewakafkan sedemikian. Asalkan ia menepati objektif wakaf menurut syara’.

Antara jenis-jenis wakaf harta ialah Wakaf Khairy, Wakaf Zurriy, Wakaf Irsad dan Wakaf Musytarak.    

 

Wakaf Khairy

Wakaf Khairy terbahagi kepada dua bentuk, iaitu Wakaf Am dan Wakaf Khas.

🤲 Bagi Wakaf Am, pewakaf tidak menetapkan benefisiari ataupun tujuan yang khusus bagi harta yang diwakafkan. Ia diserahkan bagi tujuan kebaikan kepada masyarakat secara umum.  

🤲 Untuk Wakaf Khas pula, pewakaf telah menetapkan penerima dan tujuan kegunaan harta tersebut seperti bagi membina masjid, surau, tanah perkuburan, madrasah dan sebagainya. 

Kegunaan harta yang telah diwakafkan mengikut hasrat Wakaf Khas tidak boleh diubah sesuka hati. Walau bagaimanapun, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku pemegang amanah boleh bertindak melakukan istibdal jika terdapat keperluan.

Contohnya apabila tanah wakaf sedia ada dijual kerana tidak dapat dibangunkan. Maka digantikan dengan hartanah lain yang bernilai tinggi dan boleh dibangunkan. 

Telah banyak institusi pendidikan yang dibina oleh ulama dan umara menerusi sumbangan wakaf. 

 

Wakaf Zurriy

Wakaf zurriy juga dikenali sebagai wakaf ahli.

Wakaf zurriy biasanya diberikan kepada keluarga pewakaf dan warisnya sendiri seperti ibu ayah ke atas, dan anak cucu ke bawah.

Pewakaf memperuntukkan bantuan yang khusus bagi mengelakkan keluarganya dibelenggu dengan kemiskinan pada kemudian hari. Juga memastikan manfaat dari harta tersebut dapat dinikmati oleh keturunannya secara berterusan dan tidak terhad. 

Namun perlaksanaan wakaf ahli ini perlu jelas untuk mengelakkan pertelingkahan antara ahli keluarga. Status harta wakaf itu perlu difahamkan dengan terang agar pahala jariah wakaf bagi pewakaf tidak terputus.

 

Wakaf Irsad

Wakaf Irsad adalah wakaf yang dilakukan oleh kerajaan, badan-badan atau organisasi tertentu. 

Pemerintah mewakafkan harta-harta Baitulmal yang terdiri daripada harta alih dan harta tak alih bagi pembinaan masjid, madrasah, hospital dan bangunan awam. 

Ada yang berpendapat ia bukanlah wakaf kerana harta Baitulmal itu milik awam. Peranan kerajaan ialah berkuasa menentukan kaedah penggunaan untuk dimanfaatkan oleh benefisiari wakaf. 

 

Wakaf Musytarak

Bagi Wakaf Musytarak, harta yang diwakafkan bercampur — sebahagiannya ditujukan kepada keluarga sendiri dan sebahagian lagi kepada masyarakat umum.   

Selain itu, termasuk dalam kategori Wakaf Musytarak ialah tabung amanah wakaf sumbangan orang ramai. Kutipan tersebut ditukarkan atau badal (ganti wang) kepada harta kekal seperti pembangunan hartanah, tanah wakaf dan aktiviti pembangunan sosioekonomi ummah.

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This