Tujuan seseorang itu bernazar adalah untuk melakukan sesuatu sebagai balasan dia memperoleh nikmat yang diharapkan, atau apabila musibah yang ditakutinya tidak berlaku.

Contohnya bernazar untuk memberi sedekah kambing golek sekiranya berjaya mencapai jualan bernilai sekian-sekian.

Walaupun diharuskan, sebenarnya kita tidak digalakkan bernazar. Malah ada ulama’ yang berpendapat hukumnya makruh, walaupun untuk perkara kebaikan.

Namun sekiranya kita telahpun bernazar dan perkara yang dinazarkan itu telah tercapai, maka hukumnya wajib untuk menunaikan perbuatan nazar tersebut. 

Bagaimana pula sekiranya nazarnya itu melibatkan perbuatan maksiat?

Contohnya, jika pasukan bola yang disokongnya menang, dia akan keliling padang sambil berbo***? Adakah masih wajib menunaikan nazar tersebut? 

 

Definisi Nazar

Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan.

Dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. 

 

Jenis-jenis Nazar

Secara umumnya terdapat tiga jenis nazar:

(i) Nazar untuk melakukan atau meninggalkan sesuatu,  yang mana jika nazar itu tidak dilaksanakan, denda akan dikenakan.

(ii) Nazar atas tanda kesyukuran dalam meminta memperoleh sesuatu perkara baik atau meminta dipelihara daripada suatu perkara buruk.

(iii) Nazar mutlak yang tidak dikaitkan dengan sebarang masa atau syarat tertentu. Maka ia boleh dilaksanakan pada sebarang masa selepas nazar itu dilakukan.

 

Syarat Sah Nazar

Menurut pandangan Syafie dan Hanbali, sesuatu nazar itu sah hanya apabila dilafazkan dengan kata-kata.

Tidak sah nazar sekiranya seseorang itu hanya berniat dalam hati untuk bernazar. 

Terdapat pandangan mazhab Maliki yang berpendapat nazar dari hati itu sah dan wajib ditunaikan.

Pandangan yang lebih rajih dan diterima pakai adalah pandangan mazhab Syafie dan Hanbali iaitu nazar perlu dilafazkan untuk menjadikannya sah. 

 

Hukum Menunaikan Nazar

Sebahagian ulama berpandangan makruh melafazkan nazar yang muqayyad, iaitu nazar jika diberi nikmat atau dihindarkan musibah.

Hukum makruh ini berpandukan hadis Nabi SAW yang mengaitkannya dengan sifat bakhil:

 

Tidak usahlah kamu bernazar kerana nazar tidak dapat mempengaruhi takdir sedikit pun. Sesungguhnya ia berpunca daripada kebakhilan.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

إِنَّ النَّذْرَ لاَ يُقَدِّمُ شَيْئًا وَلاَ يُؤَخِّرُ، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِالنَّذْرِ مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya nazar itu tida mendahulukan suatu ataupun mengakhirkannya, ia hanya dibuat oleh orang yang bakhil sahaja.”

Hadis riwayat al-Bukhari (6692)

 

Mafhum hadis, bernazar itu menjadi petunjuk kepada kebakhilan diri sendiri. Lebih baik sekiranya kita terus melakukan perbuatan qurbah tersebut tanpa ‘syarat’ yang mengikat.

Walaubagaimanapun, apabila telahpun dilafazkan, wajib hukumnya untuk seseorang itu melaksanakan tuntutan nazar yang baik.

Dalilnya berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya : Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka. (Al-Hajj :29)

 

Nazar Dengan Perkara Maksiat

Bagaimana hukumnya jika seseorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu maksiat atau perkara yang melanggar syariat?

Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلَا يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia melakukan ketaatan tersebut. Manakala, barangsiapa yang bernazar untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT, maka janganlah dia melakukan kemaksiatan tersebut.

 

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor,

“Kalau nazar ini untuk berbuat maksiat kepada ALLAH maka tak perlu ditunaikan nazar itu, sebaliknya, perlu menebus nazar dengan kafarah.”

Maka orang tersebut perlulah menebusnya dengan kafarah atau denda. Begitu juga kafarah bagi mereka yang tidak dapat menunaikan nazar atas sebab-sebab tertentu. 

 

Kafarah Nazar

Kafarah yang dikenakan adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Ma’idah: 89, iaitu:

1. Memberi makan kepada 10 orang miskin; atau

2. Memberi pakaian kepada 10 orang miskin; atau

3. Memerdekakan seorang hamba (jika ada pada zaman ini); atau

4. Berpuasa tiga hari (tidak semestinya berturut-turut).

Mati Sebelum Sempat Menunaikan Nazar?

Nazar adalah satu bentuk hutang dengan Allah yang wajib dilaksanakan.

Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu meninggal dunia sebelum sempat menunaikan tuntutan nazarnya, maka warisnya wajib melaksanakannya bagi pihak orang yang bernazar.

Perkara ini pernah berlaku ketika zaman Rasulullah s.a.w.

Dari Ibnu Abbas RA, katanya:

“Sa’ad bin ‘Ubadah pernah meminta fatwa kepada Rasulullah s.a.w tentang nazar ibunya yang telah meninggal tetapi belum sempat ditunaikannya. Maka, sabda Rasulullah SAW: “Bayarlah olehmu atas namanya.” (Riwayat Muslim)

Sekiranya para waris tidak mampu menunaikannya, maka mereka perlu membayar kafarah nazar seperti yang di atas. 

 

Wallahua’lam.

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This