Saya tertarik dengan ulasan sahabat saya tentang hibah harta bercagar. Rasanya perlu saya ulas kerana secara direct ia berkaitan tentang perkhidmatan yang ditawarkan Wasiyyah Shoppe Bhd. Walaupun telah beberapa kali saya ulaskan isu ini, saya tetap akan mengulasnya kembali apabila ditimbulkan.

Untuk pengetahuan masyarakat, kami telah menjalankan satu kajian ilmiah tentang hibah harta bercagar. Laporan penyelidikan setebal 380 ms ini telah menjadi panduan kepada kami dalam penghasilan perkhidmatan HIBAH HARTA BERCAGAR.

geran penyelidikan hibah harta bercagar
DARI kiri: Pensyarah kanan FPI UKM, Dr Noor Lizza Mohamed Said; Timbalan Dekan FPI UKM, Prof Madya Dr Salasiah Hanin Hamzah; Koordinator Undang-Undang Wasiyyah Shoppe, Affendy Nanyan; Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri UKM, Prof Dato Dr Imran Ho; Dekan FPI UKM , Prof Dr Wan Kamal Mujani dan Ketua Jabatan Syariah FPI UKM, Dr Mat Noor Mat Zain. (Sumber: Berita Harian)

Pandangan ulama’ muktabar dan kes-kes yg telah diputuskan Mahkamah Syariah Malaysia menjadi kajian dan telah ditemui satu panduan jelas baik dari segi hukum mahupun undang-undang yg terguna pakai di Malaysia bahawa hibah harta bercagar adalah SAH & MENGIKAT tetapi mestilah berdasarkan panduan ketat tertentu. Bukan semberono sahaja amalannya.

Hujah Dibenarkan Hibah Harta Bercagar

Walaupun hujah saya banyak tetapi saya akan hanya ketengahkan 4 hujah sahaja.

1. Pemindahan hakmilik dari sudut undang2 sivil dan hukum syarak adalah berbeza sifatnya.

Undang-undang Sivil menafsirkan ‘pemindahan hakmilik’ ialah tukar nama dari nama ayah kepada nama anak. Ini adalah PINDAHMILIK & bukan HIBAH secara harfiahnya.

Hukum syarak pula menafsirkan hibah sebagai tindakan pemberian secara sukarela dan ia sempurna apabila lengkap rukun dan syaratnya. Pindahmilik nama dalam geran TIDAK PERNAH menjadi syarat kepada sempurnanya hibah. Ada puluhan kes di dalam Jurnal hukum yang disahkan oleh mahkamah syariah tetapi tidak berlaku pindahmilik.

Rukun hibah ialah harta, pemberi, penerima, ijabqabul dan disempurnakan dengan al qabd. Pindahmilik nama dalam geran hanyalah salah satu bentuk al qabd iaitu al qabd hukmi.

Al qabd juga boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah saya hibahkan rumah saya kepada anak dan sempurna rukunnya . Saya tidak pindahmilik nama dalam geran sebaliknya saya hanya memberikan kunci rumah sahaja kepada anak. Itupun al qabd dan hibah itu sempurna.

Undang-undang hibah Brunei yang telah diwartakan secara jelas menyebut bahawa hibah itu sempurna apabila rukun dan syarat al qabd berlaku. Undang2 Brunei juga secara jelas menyatakan bahawa PINDAHMILIK nama dalam geran tidak perlu berlaku ketika aqad hibah dilaksanakan. Pindahmilik boleh berlaku pada bila-bila masa selepas aqad. Perlu kita faham Brunei memegang ketat pandangan Shafie jauh lebih ketat dari Malaysia sendiri.

2. Mahkamah Syariah bebas menggunapakai pandangan selain Shafie dalam urusan muammalat.

Benar kebanyakan hakim Mahkamah Syariah berpegang kepada pandangan Shafie namun bukan dalam semua keadaan rigidnya begitu. Hakim akan membuat keputusan berdasarkan hujah peguam, maslahah, panduan kes-kes lepas ( namun bukan precedent ) dan ijtihad. Enakmen Pentadbiran Islam Negeri2 juga memperuntukkan kebenaran penggunaan pandangan mazhab lain dan juga penggunaan ijtihad.

Peguamlah yang perlu berhujah kenapa kes hibah harta bercagar tersebut adalah sah berdasarkan pandangan2 ulamak. Untuk menyampaikan hujah yang baik pula para peguam perlulah melengkapkan diri dengan ilmu yang mantap.

3. MRTT / MRTA sebagai jaminan hutang.

Isu ini juga diulaskan sahabat saya. Pandangan yang diberikan ialah secara logik. Secara ilmiahnya perlu dihujahkan pandangan ini dari konteks kes-kes yang telah diputuskan dan kitab2 ulamak muktabar.

Dari sudut kes-kes yg telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah, ada alasan penghakiman Mahkamah Syariah telah menyebut secara jelas bahawa Mahkamah mengambilkira MRTA sebagai salah satu bentuk dhaman. Jika hakim yang bijaksana dan mempunyai kuasa undang-undang boleh menerima MRTA/MRTT sebagai jaminan siapa pula kita orang biasa ini nak menidakkan kebijaksanaan hakim ? Kes mana yang alasan penghakimannya begitu ? Boleh search sendiri😊.

Dari segi pandangan ulamak pula ada pandangan Allahyarham Dr Wahabah Zuhaili di dalam kitabnya yang menyebut secara jelas bahawa hibah harta bercagar boleh dilaksanakan dengan syarat didatangkan satu bentuk jaminan kepada pembiaya. Kitab mana? Kena search sendiri jugalah 😊

4. Hibah ini kuasa Mahkamah Sivil atau kuasa Mahkamah Syariah?

Antara sebab utama kekeliruan dalam masyarakat tentang hibah ini ialah apabila ia dlihat dari perspektif undang-undang sivil. Kita bicara tentang hibah tetapi kita melihat dari perspektif sivil sedangkan hibah itu bidangkuasa mahkamah syariah. Kanun Tanah Negara juga memperuntukkan tentang bidang kuasa mahkamah syariah.

Ya saya faham pandangan sivil tidak boleh diketepikan tetapi ia juga tidak boleh digunakan 100% untuk mentafsir hibah. Kalau inilah yang kita buat, maka apa gunanya kita ada mahkamah dan undang-undang syariah? Baik kita balik semula kepada zaman sebelum 1988 apabila kes2 berkaitan Islam dibicarakan di mahkamah sivil oleh hakim sivil & kadi hanya dipanggil sebagai saksi sahaja.

Bukankah kita sebagai orang Islam bertanggungjawab untuk memertabatkan undang-undang dan mahkamah syariah? Kalau bukan kita siapa lagi? Ini jugalah antara misi Ketua Hakim Syariah Malaysia Dato Dr Na’im apabila saya bertemu dengannya 22hb Jun yang lepas.

Kesimpulan

Ulasan tentang hibah harta bercagar perlulah dibuat berdasarkan kajian ilmiah dan bukan sekadar bertanya2 kepada dua tiga orang kawan atau sekadar dari pengalaman sendiri sahaja kerana kapasiti kita secara individu adalah terhad.

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami melalui proses yang panjang dengan disiplin ilmiah yang sangat ketat sebelum dihasilkan apa2 perkhidmatan. Dapatan penyelidikan dibentang di depan pakar undang2 Syariah dan dibahaskan secara terperinci. Keputusan dibuat secara kolektif bukan individu.

Malah pengerusi panel syariah kami yang baru Dato Seri Dr Hj Md Yusup Che Teh juga merupakan salah seorang mantan hakim mahkamah rayuan syariah yg telah meluluskan kes hibah harta bercagar yg ‘landmark’. Secara peribadi saya banyak belajar selok belok perundangan syariah dari beliau.

Apapun kita meraikan pandangan yang pelbagai ini dan semua orang berhak kepada pandangan masing2 berdasarkan pengetahuan dan pengalaman masing2. Khilaf itu rahmah dan tidak menjadikan kita bermusuh. Kita tetap bersaudara walaupun berbeza pandangan sebagaimana adabnya ulamak2 terdahulu dalam berkhilaf. Wallahuaklam.

~ En. Ariffin Sabirin, CEO Wasiyyah Shoppe

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This