Melalui data yang diperolehi daripada Jabatan Insolvensi Malaysia dari tahun 2014 sehingga 2018, terdapat 95,105 kes kebankrapan yang ditadbir. Kebanyakan kes berlaku di Selangor, dan sebahagian besar di Kuala Lumpur dan Johor Bharu. Dari segi umur, 35% adalah dalam kalangan umur 35-44 tahun dan sekitar 25% masing-masing yang berumur 25-34 tahun dan 45-54 tahun. Sekitar 13% daripada golongan warga emas, mereka yang pada tahap umur sebegini sepatutnya sudah mempunyai tabungan yang banyak untuk bersara. Tetapi berada dalam kalangan mereka yang muflis. Sadis, kan?

Hampir 70% adalah lelaki, berbanding perempuan. Sebanyak 55% yang bankrap adalah Melayu, 27% Cina manakala 12% India. Jika tanpa berfikir panjang, kita akan terus menghentam Melayu kerana membentuk majoriti mereka yang muflis – timbullah dakwaan yang Melayu boros dan tidak pandai merancang kewangan, tidak seperti orang Cina.

Tapi itu sebenarnya penghentaman yang tidak adil, samberono sangat. Sebetulnya kita kena bandingkan peratusan itu dengan bilangan populasi mengikut bangsa. Bumiputera (bukan Melayu sahaja, tetapi majoriti) merangkumi 69% populasi penduduk Malaysia, 23% Cina dan India 7%. Bila dibandingkan kedua statistik ini, barulah kita nampak… boros ni tak mengira bangsa. Serupa sahaja Melayu, Cina mahupun India.

 

Macam Mana Boleh Bankrap?

Tanda tanya yang menjadi persoalan utama ialah, sebab bankrap. Hampir 28% berpunca daripada pinjaman peribadi manakala 25% akibat dari sewa beli kenderaan. Pinjaman peribadi ni meluas kegunaannya, ada kala ia digunakan untuk tujuan ‘biar papa asal bergaya’, seperti mengadakan perkahwinan grand atau membuat renovasi rumah. Adakalanya ia diguna ke arah positif iaitu membina profil aset seperti membeli rumah lelong.

Oh, berkaitan membeli aset rumah. Sebanyak 14% muflis kerana pinjaman perumahan. Ini mungkin dalam kes rumah yang tidak dapat dibayar ansurannya dilelong pada bidaan rendah, dan hasilnya tidak dapat menampung baki pinjaman perumahan kepada bank pemiutang. Maka rumah terlepas dari genggaman, pemiliknya pula bankrap.

Bagi yang bankrap kerana tak mampu membayar ansuran kereta, memang jelas. Mampu kancil, tapi beli Mustang.

Hampir 10% muflis kerana hutang kad kredit. Interest kad kredit sangat tinggi, sekitar 18% p.a. Bila hutang dah banyak, berganda naiknya sebab interest. Mula lah gali lubang kambus lubang. Penjamin sosial atau guarantor, golongan teraniaya merangkumi 5% yang muflis. Menariknya, ada juga yang bankrap kerana biasiswa/pinjaman pelajaran, cuma tak banyak lah, iaitu 0.06%. Mereka ni menyesal tak agaknya belajar dulu?

 

Isytihar Bankrap/Muflis?

Seseorang itu hanya boleh diisytiharkan bankrap melalui Perintah Mahkamah. Pemiutang boleh memohon Penghutang dibankrapkan jika hutangnya melebihi RM50,000. Kadar minimum kebankrapan ini sebenarnya telah dinaikkan, di mana sebelum ini nilai tersebut hanyalah RM30,000.

Selain itu, kita juga boleh memohon untuk membankrapkan diri sendiri. Kenapa sendiri nak cari pasal? Sebabnya untuk melindungi diri dari tuntutan pemiutang yang berlebihan.

langsai hutang

 

Tetapi, bankrap ini adalah jalan terakhir, sebab banyak kekangan yang dihadapi oleh individu muflis.

Menurut Seksyen 8 Akta Insolvensi 1967, orang yang telah diisytihar bankrap akan hilang kelayakan menguruskan hartanya. Dia tidak dibenarkan untuk memindahmilik hartanya kepada pihak ketiga selepas dikenakan Perintah Kebankrapan. Semua transaksi atau urusan berkaitan asetnya terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). Semua akaun simpanan akan ditutup melainkan dengan kebenaran KPI dan dia hanya boleh menggunakan kad kreditnya dengan amaun tidak melebihi RM1,000. Bankrap juga tidak dibenarkan membuat pembayaran terus kepada pemiutang.

Dari segi perlindungan terhadap pemiutang, pemiutang tidak bercagar tidak ada kuasa untuk menguruskan harta anda dan mereka memerlukan kebenaran mahkamah jika hendak meneruskan tindakan undang-undang. Selain memfailkan saman, mereka juga perlu memfailkan bukti hutang mereka.

Walau bagaimanapun, pemiutang yang bercagar boleh menyita dan menghasilkan harta anda di bawah Seksyen 8(2) Akta Kebankrapan 1967 yang mana harta itu akan dihasilkan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh Perintah Penerimaan. Hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membayar hutang yang lain sekiranya hasil jualan tersebut mempunyai lebihan.

 

Sekatan Lain Untuk Bankrap

Seorang bankrap tidak dibenarkan meninggalkan negara kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada KPI ataupun Mahkamah.

Bankrap juga hilang kelayakan daripada:
(a) Memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen;
(b) Memegang jawatan sebagai penjawat awam (tertakluk kepada tindakan tatatertib Jabatan/KPI);
(c) Memegang sebarang jawatan dalam mana-mana badan berkanun, koperasi berdaftar atau organisasi;
(d) Mengamalkan profesion tertentu;
(e) Menjalankan perniagaan secara persendirian atau perkongisan atau menubuhkan syarikat;
(f) Bekerja dalam perniagaan saudara;
(g) Mengekalkan apa-apa tindakan tanpa sanksi KPI selain daripada tindakan untuk ganti rugi dalam kecederaan kepada orang lain;
(h) Meninggalkan Malaysia sebelum/tanpa kebenaran KPI atau Mahkamah;
(i)Pencen dan ganjaran lain yang diterima oleh bankrap hendaklah terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi untuk dibahagikan kepada pemiutang. Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Insolvensi mempunyai budi bicara untuk menentukan berapa jumlah pencen dan ganjaran yang boleh diberikan kepada bankrap.   
(j) Menguatkuasakan haknya di bawah undang-undang tertentu

 

Membuang Status Bankrap

Ada tiga cara untuk menamatkan status kebankrapannya iaitu:


(a) Membuat permohonan pembatalan ke mahkamah dengan alasan hutang telah dijelaskan sepenuhnya / tidak sepatutnya diisytiharkan bankrap;


(b) Membuat permohonan pelepasan ke mahkamah pada bila-bila masa tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh mahkamah. MdI perlu mengemukakan laporan kes yang menyatakan kelakuan dan kerjasama bankrap kepada Jabatan;


(c) Membuat permohonan pelepasan kepada KPI untuk pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi di bawah Seksyen 33A Akta Kebankrapan 1967. Permohonan hanya boleh dibuat sekiranya pentadbiran kes kebankrapan telah dijalankan selama lima tahun selain memenuhi kriteria dan syarat-syarat yang lain.

 

 

 
 
Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This