Pada 26 Oktober 2021, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang telah diusulkan beberapa tahun lalu. Pindaan tersebut merupakan perkembangan baik yang akan memudahkan lagi prosedur pentadbiran harta peninggalan umat Islam di Malaysia, khasnya yang berkaitan dengan urusan pentadbiran pusaka di Pusaka Kecil.

Selain Pusaka Kecil, urusan pentadbiran tuntutan pusaka di Malaysia juga dijalankan di Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil. Pemohon mestilah memfailkan permohonan di salah satu institusi tersebut bersesuaian dengan bidang kuasa yang telah digariskan – iaitu berdasarkan jenis dan nilaian harta pusaka yang difailkan.

Pindaan akta yang terbaru ini akan meluaskan lagi bidang kuasa Pusaka Kecil dan membolehkan pegawainya mendengar permohonan tuntutan harta pusaka sehingga nilaian RM5 juta, berbanding had RM2 juta sebelum pindaan.

Selain itu, pindaan terbaru ini juga membolehkan Pusaka Kecil mentadbir kes pusaka ringkas melibatkan harta tak alih sahaja yang sebelum ini berada di bawah bidang kuasa Amanah Raya.

Peluasan bidang kuasa Pusaka Kecil ini pastinya akan menjadikan pegawainya menjadi lebih sibuk.

 

Perubahan Struktur Pentadbiran di Pusaka Kecil

Bersesuaian dengan tanggungjawab yang akan bertambah, struktur pentadbiran pusaka kecil juga akan ditambah baik.

Satu entiti khusus atau jabatan khas akan diwujudkan bagi mentadbir pembahagian harta pusaka. Berbanding struktur semasa yang lebih bersifat menumpang di pejabat tanah.

 

Fasal 3 (Seksyen 2)

– mewujudkan jawatan Estate Distribution Officer/ President of Estate Distribution Officer.

Dengan pindaan ini, kuasa mendengar perbicaraan yang asalnya diberikan kepada Pentadbir Tanah akan dipindahkan kepada Pegawai Pembahagian Harta Pusaka dan diketuai oleh Presiden Pembahagian Harta Pusaka.

Presiden akan menentukan bidangkuasa kawasan yang boleh ditadbir oleh Pegawai Pembahagian Harta Pusaka.

Sebelum ini, bidangkuasa sedemikian ditentukan bergantung kepada di mana harta tak alih itu berada.

 

Perubahan Bidang Kuasa

Fasal 5 (Seksyen 3)

– Sebelum ini, pejabat pembahagian pusaka hanya boleh mendengar kes yang mesti melibatkan harta tak alih. Menerusi pindaan seksyen ini, Pegawai Pembahagian Harta Pusaka boleh mendengar kes yang melibatkan

  • harta alih sahaja, atau
  • harta tak alih sahaja, atau
  • kedua-dua harta alih dan tak alih.

Nilai kes yang boleh dibicarakan ditingkatkan dari RM2 juta kepada RM5 juta.

ARB dan Majlis Agama diberikan peranan untuk lebih proaktif bertindak bagi mengenal pasti harta pusaka yang tidak ditadbirkan dan diberikan kuasa untuk memfailkan petisyen.

 

Fasal 10 (Seksyen 8B dan 8C)

– Kuasa kepada Pegawai Pembahagian Harta Pusaka untuk membuat perintah pembahagian secara ringkas (summary distribution) jika harta pusaka itu hanya terdiri daripada harta alih sahaja dan nilainya tidak lebih dari RM600 ribu bagi permohonan kali pertama. Sebelum pindaan, bidang kuasa pusaka ringkas ini di bawah bidang kuasa Amanah Raya Berhad. 

– Kini kuasa tersebut diserahkan kepada Pegawai Pembahagian Harta Pusaka. Kaedah perlaksanaannya tidak diperincikan lagi.

– Bagi permohonan berikutnya atau permohonan ulang bicara harta alih ini mestilah belum diisytiharkan lagi dalam bicara terdahulu dan nilainya tidak lebih RM600 ribu atau bertujuan untuk membatalkan perlantikan amanah (trustee) jika kanak-kanak itu telah mencapai umur majoriti.

– Seksyen 8C adalah berkaitan dengan kuasa Pegawai untuk memberikan surat kuasa mentadbir pendente lite (pentadbir sementara dalam hal keadaan wujud pertikaian) kepada pempetisyen atau waris lain.

 

Perubahan Pempetisyen

Fasal 8 (Seksyen 8)

– Sebelum ini, petisyen harta pusaka hanya boleh dibuat oleh waris, pemiutang, pembeli atau penghulu atau settlement officer. Pindaan seksyen ini membatalkan perkataan penghulu dan settlement officer.

Petisyen boleh dikemukakan oleh Perbadanan iaitu Amanah Raya Berhad, Majlis Agama Islam, penjaga (guardian) atau pun sahabat wakil (next friend). Sahabat wakil adalah seorang kanak-kanak atau seorang pesakit melalui seorang dewasa menyaman misalnya ayah kanak-kanak atau seseroang in loco parentis, penerima pesakit atau official receiver.

 

Fasal 11 (Seksyen 9)

– Seksyen ini dipinda bagi membolehkan Pegawai Pembahagian Harta Pusaka hanya perlu mengeluarkan notis bicara kepada pempetisyen sahaja dan menjadi tanggungjawab pempetisyen untuk menyampaikan notis itu kepada orang lain yang terlibat.

– Sebelum ini, adalah menjadi tugas pejabat pusaka untuk mengedarkan notis itu kepada semua yang dinamakan dalam petisyen.

 

Fasal 12 (Seksyen 10)

– Pegawai berkuasa melantik penjaga kepada orang yang tidak berupaya bagi tujuan menghadiri bicara kes. Pindaan seksyen ini dibuat untuk memasukkan perkataan pesakit (patient). Seksyen sedia ada hanya menyebutkan kanak-kanak atau orang tidak waras fikiran.

Pesakit ini telah diberikan definisi sebagai orang yang menjadi waris tunggal yang sedang menderita sakit yang serius atau kecederaan parah atau orang yang terlantar sakit di atas katil (bedridden) dan tidak berupaya untuk menghadiri perbicaraan kes.

 

Fasal 13 (Seksyen 11)

– Pindaan yang dibuat untuk memberikan kuasa kepada Pegawai Pembahagian Harta Pusaka untuk menentukan tempat bicara kes. Sebelum ini, tempat bicara mestilah berdekatan dengan di mana harta tak alih si mati itu berada.

Selain itu, kuasa juga diberikan untuk pegawai ini menyekat mana-mana orang berkepentingan untuk menghadiri mesyuarat.

 

Fasal 21 (Seksyen 18)

– Seksyen 18 yang lama adalah berkaitan tanggungjawab penghulu atau settlement officer. Kini tanggungjawab itu diletakkan kepada Amanah Raya atau Majlis Agama Islam untuk memaklumkan kepada Pegawai Pembahagian Harta Pusaka dan selepas itu memfailkan petisyen. Fi berkaitan seksyen ini boleh dicaj kepada harta pusaka.

 

Fasal 23 (Seksyen 29)

– Seksyen ini dipinda dengan memasukkan tempoh untuk merayu ke Mahkamah Tinggi bagi sesiapa yang terkilan dengan keputusan Pegawai Pembahagian Harta Pusaka adalah dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan atau perintah itu dibuat.

Sebelum ini, tempoh tidak dinyatakan dan rujukan harus dibuat kepada tempoh rayuan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Mungkin wujud kepayahan untuk membuat rujukan silang sedemikian bagi bukan peguam.

 

P/s: Senarai ini tidak exhaustive. Terdapat pindaan yang tidak disertakan di sini.

 

Sumber: Disesuaikan, disunting dan disusun semula dari posting asal facebook Dr Zulqarnain Lukman, 26/10/2021

 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This