Ibadah wakaf merupakan sedekah jariah yang membolehkan pewakaf memperoleh ganjaran pahala yang berterusan, walaupun setelah dia meninggal dunia. Selama mana harta tersebut memberi manfaat, selagi itulah pahala mengalir. 

Oleh yang demikian, harta yang diwakafkan mestilah bersifat kekal. Dari situ timbul perselisihan pendapat mengenai keharusan wakaf tunai dan wakaf harta alih.

Terdapat saranan untuk melakukan badal, iaitu menukarkan wakaf wang tunai yang terkumpul kepada harta kekal. Hasilnya disalurkan untuk manfaat wakaf.  

 

Hukum Wakaf Tunai

Pandangan yang mengharuskan Wakaf Tunai:

>> Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-77 yang bersidang pada April 2007: “berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam”

>> Jumhur fuqaha’ – harus selama mana ia bersifat kekal.   

>> Mazhab Maliki dan sebahagian Mazhab Syafie – tidak disyaratkan harta wakaf bersifat fizikal kekal.

>> Mazhab Hanafi – pengecualian hukum dengan menggunakan kaedah istihsan bil al-urf.

>> Imam az-Zuhri – wakaf tunai dijadikan modal usaha, dan untung disalurkan untuk wakaf.

 

Bidang Kuasa Perundangan Bagi Wakaf Tunai

Perkara wakaf tersenarai di bawah bidang kuasa negeri mengikut Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 74. 

Di bawah bidang kuasa negeri, statut perundangan bagi mentadbir harta dinyatakan menerusi enakmen negeri ataupun akta bagi wilayah persekutuan.

Terdapat tiga negeri yang mengeluarkan statut wakaf yang khusus, iaitu:

  1. Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999 (No. 7 Tahun 1999)
  2. Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005 (No. 5 tahun 2005)
  3. Enakmen Wakaf (Negeri Melaka) 2005 (No. 5 tahun 2005)

Bagi negeri-negeri lain yang belum ada statut wakaf yang khusus, rujukan dibuat kepada statut-statut Pentadbiran Agama Islam masing-masing.

Tafsiran Wakaf Tunai yang berbentuk wakaf harta alih boleh dirujuk dalam tafsiran wakaf, wakaf am dan wakaf khas. Ianya perlu dibaca bersama dengan tafsiran harta yang ada di bawah statut negeri.

Dua buah negeri telah mengadakan peruntukan Wakaf Tunai ini dalam bahagian yang relevan dalam statut wakaf:

  1. Negeri Perak tampil dengan peruntukan Wakaf Tunainya di bawah Peraturan 18(2), Peraturan Kawalan Wakaf 1959 bahawa:
    “Jawatankuasa Kawalan Wakaf Negeri bolehlah menerima wang tunai daripada siapa-siapa yang berhajat hendak mewakafkan bagi faedah am dengan mengisi satu borang yang ditetapkan baginya”.
  2. Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005 (No. 5 tahun 2005), peruntukan Wakaf Tunai termasuk dalam skim wakafnya sebagaimana peruntukan Seksyen 11(1)(a).

 

Badan Pelaksana Wakaf

Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah pemegang amanah tunggal bagi harta wakaf.

MAIN berkuasa melantik pihak lain untuk mengurus dan mentadbir harta wakaf. 

Konsep Wakaf Tunai telah dilaksanakan di beberapa buah negeri di Malaysia. Antaranya melalui pembelian unit-unit saham yang ditawarkan oleh MAIN.

 

Wallahua’lam

 

Rujukan: Manual Pengurusan Wakaf Tunai terbitan JAWHAR, JPM

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This