Harta curi atau yang rompakan jelas merupakan harta haram. Namun mungkin secara tidak tahu dan tidak sedar ada harta yang kita miliki yang termasuk juga dalam klasifikasi harta haram disebabkan ia diperoleh menerusi cara yang tidak patuh syariah. Contohnya harta riba dari pampasan insurans konvensional.
Harta sebegini tidak diiktiraf patuh syara’. ‘Pemilik’nya tidak boleh memiliki harta tersebut, tidak boleh diwariskan mahupun dihibahkan.
Harta-harta tidak patuh syariah perlu dilupuskan mengikut kaedah yang digariskan, antaranya menerusi kaedah Wakaf.
Jenis-jenis Harta Tidak Patuh Syariah
Menurut Imam Syafie, terdapat lapan kategori harta tidak patuh syariah. Iaitu harta yang diperoleh dari kegiatan yang melibatkan..
✍🏻 riba,
✍🏻 gharar,
✍🏻 perjudian,
✍🏻 penipuan,
✍🏻 rampasan,
✍🏻 ihtikar (monopoli barangan),
✍🏻 rasuah, dan
✍🏻 perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan
Cara Pelupusan Harta Haram
Meskipun harta tersebut tidak patuh syariah, namun ia tidak boleh dibuang atau dibazirkan.
Pertama, sekiranya harta itu perlu dikembalikan kepada pemilik, wakil atau waris-waris pemiliknya.
Sekiranya pemiliknya tidak dapat dikenal pasti, maka ia perlu diserahkan kepada baitulmal untuk dimanfaatkan bagi kemaslahatan umum.
Golongan yang layak menerima harta haram seperti riba, judi, arak dan seumpamanya adalah golongan fakir dan miskin, badan-badan kebajikan, golongan kurang upaya.
Bagi tujuan kemaslahatan umum, harta haram boleh digunakan bagi keperluan dan kebaikan masyarakat seperti pembinaan kemudahan awam, aktiviti-aktiviti kebaikan dan membanteras perkara haram.
Wakaf Harta Haram
Menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Ke-87, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam pada tahun 2009, harta yang diperoleh dengan cara tidak mematuhi syariah hukumnya haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri.
Walaubagaimanapun, ia boleh diwakafkan bagi kegunaan maslahat umum.
Sekiranya ‘pemilik’ harta tidak patut syariah tersebut telahpun meninggal dunia, menjadi tanggungjawab waris atau pentadbir pusaka untuk membersihkan harta pusaka arwah dengan kaedah yang dibenarkan syara’.
- Hibah Tanah Rezab Melayu - April 16, 2025
- Simpan Duit Anak: KWSP Bukan Tempatnya - April 13, 2025
- RM12.7 Bilion Wang Tak Dituntut – Adakah Anda Salah Seorang Pemiliknya? - March 12, 2025