Kelmarin seorang pakar rujuk sistem fertigasi moden yang telah memajukan pertanian moden termasuklah sebelum ini menjadi pengusaha besar tanaman pokok tin telah pergi menemui Ilahi secara tiba-tiba.  Khabarnya beliau tidak sedarkan diri pada pagi itu, dan malam esoknya meninggal dunia, kemungkinan akibat strok.

Saya tidak kenal beliau secara peribadi – hanya mengikuti perkongsian beliau di Facebook dan pernah mengunjungi kebunnya beberapa tahun lepas semasa sedang kemaruk menanam pokok tin di halaman rumah yang sekangkang kera besarnya.

Beliau seorang pakar fertigasi dan penanaman moden yang giat menjalankan eksperimen dan sentiasa berusaha memperbaiki kaedah penanaman, pembajaan dan penjagaan pokok yang terbaik. Punyalah tinggi tahap pencapaiannya, sehingga kebunnya itu pernah dilawati oleh Tun Mahathir dan Tun Daim serta ramai VVIP yang lainnya.

Pokok tin beliau segar bugar, naik dengan cantik dan mengeluarkan hasil buah yang konsisten kualiti. 

Menjadi rutin bagi saya menelusuri Facebook mereka yang baru sahaja meninggal dunia, walaupun mereka yang saya tidak kenali. Saya teringin melihat apakah posting terakhir yang mereka sempat tinggalkan di timeline Facebook sebagai paparan terakhir.

Sedikit sebanyak dapat mengenali peribadi arwah (walaupun sudah terlambat), khususnya arwah yang kematiannya banyak disebut-sebut kebaikan yang dibuat semasa hidup, kerana itu bermakna mereka telah meninggalkan kesan positif dan manfaat kepada ramai orang. 

Ia menjadi teladan kepada kita yang masih hidup, untuk me’rancang’ perkara positif yang kita boleh ditinggalkan. Biar kebaikan yang menjadi sebutan diri, mohon dijauhkan kita diingati dengan perkara buruk yang pernah dilakukan.

Bagi arwah ini, posting-posting terakhir beliau antaranya banyak berkisarkan usahanya untuk mengembangkan projek pertanian, meneroka ke arah penternakan ayam berkualiti dan sebagainya.

Prospek cerah nampaknya dalam pengembangan bisnes kebun beliau. Namun tak disangka, dalam masa yang singkat setelah tidak sedarkan diri, beliau meninggalkan dunia yang fana’ ini. Usaha bisnesnya yang sedang berjalan mungkin tergendala – tidak pasti sama ada ia akan diteruskan oleh warisnya.

Betapa rapuhnya hidup ini.

Sedang kita menempa kejayaan dunia, maut boleh datang tanpa amaran. Jika pada masa itu kita tidak bersedia, tiada lagi peluang kedua untuk membetulkan dan bertaubat. Jika posting terakhir kita adalah posting membawang dan seumpamanya, maka itulah yang menjadi rujukan ramai yang mendoakan sepeninggalan kita.

Legasi pertanian moden beliau yang menjadi kebanggaan boleh hancur begitu sahaja jika tiada pengganti yang berkebolehan. Betapa kebun itu telah dijaga dengan baik, teknologi moden digunapakai, sistem fertigasi yang digunakan menjadi rujukan – semua ini boleh terkubur jika tiada waris atau individu yang berkelayakan mengurusnya sepertimana arwah.

Saya tidak pasti sama ada anak-anak arwah terlibat sama dalam menguruskan kebunnya sebelum ini. Bagaimanapun, sesuatu bisnes yang tidak dirancang pewarisan akan terkesan sekiranya tonggak bisnes meninggal dunia dan tiada waris yang meneruskan usaha bisnes tersebut.

Bisnes yang diusahakan dengan darah dan keringat, yang menjadi sumber pendapatan menyara keluarga dan satu kebanggaan diharapkan dapat berterusan menjalankan fungsi tersebut walaupun pemilik asal tiada lagi di muka bumi. Legasi bisnes diharapkan dapat terus memberi manfaat kepada masyarakat. 

Isu pewarisan bisnes membabitkan pindahmilik hak bisnes iaitu saham syarikat dan pengendalian pengurusan bisnes syarikat. Dua perkara ini boleh dirancang semasa hidup lagi.

Sekiranya anak-anak memang sudah dikenalpasti tidak berminat dengan sesuatu bisnes itu, mungkin ada baiknya pemilik bisnes merangka plan alternatif untuk memastikan kemandirian legasi bisnes selepas meninggal. Anak-anak dan isteri boleh mewarisi saham dan memiliki hak ke atas syarikat, namun hal-hal pengurusan syarikat boleh dirancang untuk diturunkan kepada individu tertentu yang berkemahiran dengan lenggok bisnes.

Al-Fatihah (dibaca) kepada arwah. Mudah-mudahan ilmu pertanian yang diturunkan kepada masyarakat menjadi asbab beliau mendapat pahala berterusan.

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This