Sebut sahaja tentang wakaf harta, biasanya kita kaitkan dengan amal jariah untuk masjid, surau, sekolah dan tahfiz. Sebenarnya terdapat satu jenis wakaf yang mana manfaat harta yang diwakafkan itu ditujukan kepada keluarga, waris dan keturunan pewakaf sendiri!

Kebanyakan kita lebih cenderung untuk meletakkan prioriti mewariskan harta kepada keluarga terdekat dahulu. Maka seharusnya kaedah wakaf ini dibandingkan dengan kaedah perancangan harta lain seperti Hibah.

Meskipun penerima Wakaf Zurri dikhususkan kepada ahli keluarga sendiri, namun dari sudut lain ia sukar dilaksanakan berbanding Hibah. Mungkin atas sebab itu kaedah Wakaf Zurri belum lagi dapat disebar luas penggunaannya di Malaysia.  

 

Persamaan Wakaf Zurri dan Hibah

Wakaf dan Hibah merupakan instrumen yang digunapakai dalam perancangan kewangan kendiri bagi mengagihkan harta dan aset yang telah dikumpulkan dengan penat lelah.

Dalam piramid kewangan, pengagihan atau pembahagian harta adalah langkah merancang pewarisan harta.  

Persamaan antara Wakaf Zurri dan Hibah terletak pada waktu perlaksanaan dan penerima yang dihasratkan. 

 

Waktu Terlaksana

Instrumen perancangan pewarisan harta ada pelbagai. Antara perkara yang menjadi titik perbezaan ialah waktu ia terlaksana. 

Sebagai contoh, wasiat terlaksana SELEPAS pemilik harta meninggal dunia. Meskipun dokumen wasiat itu dibuat semasa dia masih hidup.

Berbeza dengan Wakaf dan Hibah. Kedua-duanya terlaksana sebaik selesai akad penyerahan harta tersebut. 

Dan disebabkan itu, hibah dan wakaf terkeluar dari kategori harta pusaka.

 

Penerima

Berbeza dengan jenis-jenis wakaf am dan khas, wakaf zurri atau wakaf ahli ditujukan kepada ahli keluarga dan keturunan pewakaf.  

Hibah boleh ditujukan kepada sesiapa pun, dan tiada had seberapa banyak harta yang hendak dihibahkan.

Pun begitu, praktis kebiasaannya penerima Hibah yang dinamakan merupakan ahli keluarga terdekat ataupun waris. 

 

Perbezaan Wakaf Zurri dan Hibah

Perbezaan Wakaf Zurri dan Hibah terletak pada ciri-ciri asas dan badan pelaksana bagi setiap instrumen berkenaan.

 

Ciri-ciri Asas

Seseorang yang mewakafkan harta bererti dia telah melepaskan pemilikan harta tersebut menjadi hak milik Allah untuk selama-lamanya.  

Harta wakaf tidak boleh dipindah milik, dihibahkan, dijual mahupun diwariskan. 

Sebagai perbandingan, harta hibah menjadi hak milik mutlak penerima.

Penerima hibah bebas untuk melakukan apa-apa transaksi ke atas harta yang dihibahkan; termasuklah memindahmilik, menjual, menghibahkan dan mewariskannya. 

 

Badan Pelaksana

Wakaf terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal. 

MAIN bertanggungjawab untuk mentadbir dan mengembangkan harta wakaf itu sebagaimana yang telah diamanahkan.

Tambah lagi, skop tugasan bagi wakaf zurri lebih sukar lagi disebabkan penerima manfaat wakaf telah dikhususkan kepada ahli keluarga dan keturunan pewakaf. Dan disebabkan tiada had tempoh, MAIN perlu memastikan kesemua keturunan pewakaf mendapat manfaatnya tanpa tercicir. 

Bagi hibah pula, sepertimana yang telah dijelaskan, harta yang dihibah adalah milik penerima hibah. Tiada keperluan untuk adanya badan pelaksana untuk memantau dan mentadbir kerana penerima berhak berbuat apa sahaja ke atas harta hibah tersebut. 

 

Kesimpulannya.. Hibah lebih mudah untuk dilaksanakan. 

 

Wallahua’lam.

 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This